hati

Pengambilan vitamin tidak boleh diabai

Oleh HM Digital

Sukar digambarkan dengan kata-kata kegembiraan yang dirasai apabila disahkan hamil kembar. Mungkin sedikit gementar terutama jika ia kehamilan pertama namun keterujaan mengatasi segalanya.

Pelbagai perkara dan tanda tanya mula membelenggu diri, ada yang bimbang bagaimana kaedah terbaik untuk memastikan diri dan bayi berada dalam keadaan sihat, tidak kurang ada yang sudah memikirkan kaedah untuk melahirkan kelak sama ada secara normal atau pembedahan.

Kehamilan kembar atau berganda adalah istilah yang digunakan apabila seseorang wanita disahkan hamil lebih daripada satu janin pada satu masa. Ia berlaku satu dalam 80 kelahiran.

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, kehamilan kembar boleh dikesan ketika melakukan ujian imbasan ultrabunyi sama ada hamil kembar dua, tiga atau lebih.

“Apa yang utama adalah memastikan jenis kehamilan kembar itu sama ada bayi berkongsi uri yang sama atau sebaliknya. Ia penting kerana bayi yang berkongsi uri lebih berisiko mendapat komplikasi.

“Diamniotik dwikorionik (DCDA) adalah keadaan apabila dua telur disenyawakan atau satu telur yang disenyawakan membahagi kepada dua, setiap bayi mempunyai uri sendiri dengan selaput luar membran dipanggil korion (tetuban) dan kantung amnion. Kembar DCDA adalah kembar tidak seiras.

“Diamniotik monokorionik (MCDA) pula adalah keadaan apabila telur yang disenyawakan membahagi sedikit lambat, bayi berkongsi uri dan korion, tapi mereka mempunyai kantung sendiri. Jenis kembar ini adalah kembar seiras,” katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, monoamniotik monokorionik (MCMA) pula terjadi pada beberapa kes tetapi kebiasaannya jarang ditemui apabila telur yang disenyawakan membahagi sedikit lambat, bayi berkongsi uri dan korion serta berada dalam kantung yang sama. Bayi untuk jenis kembar ini adalah seiras namun jenis kehamilan ini berisiko.

“Jika bayi berkongsi uri, mereka adalah seiras (monozigotik), manakala bayi yang tidak berkongsi uri adalah kembar tidak seiras (dwizigotik).

“Bagaimanapun, boleh saja bayi yang tidak berkongsi uri menjadi kembar seiras. Ini disebabkan hampir satu pertiga monozigotik atau kembar seiras mempunyai uri sendiri maka mereka mempunyai ciri yang sama pada pemeriksaan imbasan ultra bunyi seperti kembar DCDA (kembar tidak seiras),” ujarnya.

RISIKO KEHAMILAN KEMBAR

Menurut Dr Muhammad Izzat, masalah ringan yang dialami kebanyakan wanita pada peringkat awal kehamilan seperti mabuk, pedih ulu hati, kaki bengkak, urat timbul dan sakit belakang biasanya akan berganda jika mengandung anak kembar.

“Gejala ini akan berkurangan secara semula jadi selepas bayi dilahirkan. Perlu diingatkan setiap ibu yang hamil kembar tidak boleh mengabaikan pengambilan vitamin bagi memastikan kandungan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Selain itu, jangan sesekali bersikap sambil lewa dan mengabaikan kesihatan sepanjang kehamilan kerana kini anda ‘membawa’ dua nyawa,” katanya.

Dr Muhammad Izzat menerangkan antara risiko hamil kembar:

- Anemia (kekurangan sel darah merah) yang disebabkan kekurangan zat besi disebabkan tumbesaran bayi kembar menggunakan banyak zat besi.

- Praeklampsia iaitu keadaan tekanan darah ibu meningkat dan terdapat protein di dalam air kencing.

Peluang tinggi untuk berdarah lebih daripada biasa (tumpah darah) selepas bersalin akibat rahim tidak mengecut.

- Kemungkinan besar kelahiran adalah secara pembedahan atau dengan bantuan (forsep atau vakum).

- Kemungkinan berlaku kelahiran pramatang. Secara purata, 60 daripada 100 kehamilan kembar dua lahir sebelum 37 minggu dan 75 dalam 100 kehamilan kembar tiga lahir sebelum 35 minggu. Dalam perbandingan dengan wanita yang hanya hamil seorang bayi , 10 dalam 100 kehamilan lahir sebelum 37 minggu.

- Bayi yang lahir pramatang ini mempunyai risiko berkaitan dengan masalah pernafasan, pemakanan dan jangkitan kuman. Lebih awal bayi dilahirkan, lebih kerap masalah ini berlaku kerana tubuh mereka masih terlalu lemah dan tidak berkembang sempurna. Bayi mungkin perlu dimasukkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan ibu digalakkan untuk memberikan susu badan walaupun bayi berada di wad ICU.

- Kehamilan kembar mempunyai risiko uri tidak berfungsi dengan baik dan memberikan kesan kepada tumbesaran bayi.

- Sindrom transfusi kembar ke kembar (TTTS). Kembar yang berkongsi uri turut berkongsi peredaran darah yang sama. Dianggarkan 15 dalam 100 kembar yang berkongsi uri mengalami peredaran darah yang mungkin menjadi tidak seimbang dan keadaan ini dinamakan TTTS.

Dalam kes TTTS, seorang bayi menjadi ‘penderma’, menerima bekalan darah yang terlalu sikit dan mempunyai tekanan darah yang rendah, manakala seorang lagi bayi menjadi ‘penerima’ akan menerima banyak darah dan mempunyai tekanan darah yang tinggi.

Ibu yang mempunyai kehamilan kembar seperti ini akan dipantau dengan teliti dengan pemeriksaan yang kerap untuk mengenalpasti tanda TTTS. Kadangkala TTTS adalah ringan dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia juga boleh menjadi sangat serius dan ibu akan dirujuk ke hospital yang mempunyai kepakaran fetomaternal untuk rawatan selanjutnya.

LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL

Dr Muhammad Izzat berkata, semua kehamilan kembar mempunyai risiko tersendiri dan perlu dipantau pakar.

“Untuk kehamilan kembar apabila bayi mempunyai uri sendiri dan tidak berkongsi, imbasan ultra bunyi perlu dilakukan setiap empat minggu. Bagi kehamilan kembar yang berkongsi uri, imbasan ultra bunyi perlu dilakukan setiap dua minggu apabila kandungan memasuki 16 minggu dan ke atas.

“Anda dinasihatkan untuk mengambil pil zat besi dan asid folik sepanjang kehamilan. Selain itu, anda dinasihatkan untuk ambil aspirin pada dos rendah sejak kehamilan berusia 12 minggu untuk mengurangkan risiko mendapat praeklampsia. Paling penting, patuhi nasihat doktor kerana ada ibu sengaja tidak mahu mengambil vitamin yang diberikan untuk mengelakkan anak menjadi besar tanpa menyedari tindakan itu merugikan diri sendiri dan bayi,” katanya.

WAKTU KELAHIRAN

Untuk memilih waktu kelahiran, sebenarnya ia bergantung kepada keadaan ibu itu sendiri. Jika kehamilan kembar itu tidak mengalami masalah, anda dinasihatkan untuk bersalin pada:

- 37 minggu sekiranya kembar DCDA (bayi tidak berkongsi uri)

- 36 minggu sekiranya kembar MCDA (bayi berkongsi uri)

- 35 minggu sekiranya kembar tiga

Kata Dr Muhammad Izzat, cara kelahiran sama ada secara normal atau pembedahan juga bergantung kepada keadaan si ibu ketika itu dan selepas berbincang dengan pakar obstetrik dan ginekologi.

“Antara faktor penting yang perlu diambil kira adalah bagaimana bayi itu membesar, jenis uri ataupun pernah melalui proses pembedahan sebelum ini.

“Jika bayi yang paling dekat dengan serviks dengan kedudukan kepalanya di bawah dan ibu tidak ada masalah lain sepanjang kehamilan, si ibu boleh cuba untuk bersalin biasa. Kedudukan atau posisi bayi kedua boleh berubah selepas bayi pertama dilahirkan dan tidak perlu pening kepala untuk memilih kaedah bersalin,” katanya.

Menurutnya, sekiranya bayi yang paling dekat dengan serviks berada pada kedudukan kepalanya di atas (songsang), biasanya doktor akan menasihatkan ibu untuk bersalin secara pembedahan.

“Perlu diketahui, kedua-dua cara kelahiran sama ada normal atau pembedahan mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi, penting untuk berbincang dengan doktor anda sebelum membuat keputusan.

“Namun kehamilan kembar lebih daripada dua selalunya dilahirkan secara pembedahan melainkan kehamilan sangat pramatang atau ibu melahirkan bayi pertama lebih awal daripada jangkaan,” ujarnya.

TIP PENJAGAAN

1. Utamakan kesihatan diri

Pastikan anda mengambil makanan sihat dan kekal terhidrat dengan minum air masa secukupnya. Dengar bahasa badan, jika mengalami gejala seperti sakit perut atau ada lelehan vagina, segera dapatkan nasihat doktor.

2. Bersedia hadapi kesakitan dan ketegangan otot

Apabila hamil anak kembar, tekanan ke atas badan juga akan berganda. Jadi bersedia menghadapi kesukaran yang lebih banyak sepanjang tempoh ini dan banyakkan berehat.

3. Patuhi jadual pemeriksaan bulanan

Ini penting bagi memastikan bayi anda dalam keadaan yang baik. Mungkin juga anda perlu pemeriksaan yang lebih kerap.

4. Dapatkan sokongan

Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika menunjukkan ibu yang hamil anak kembar mempunyai risiko 43 peratus lebih tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin. Jadi, amat penting untuk anda membina jaringan sokongan membabitkan keluarga, rakan, bidan, penjaga anak, pakar perubatan dan wanita yang mempunyai anak kembar.

5. Buat persediaan awal

Bagi kehamilan kembar, tempoh kehamilan penuh biasanya 37 minggu, bagaimanapun anda perlu bersedia kerana kemungkinan bersalin awal sentiasa ada, bergantung kepada keadaan kehamilan anda. Lebih banyak anak dalam kandungan, lebih cepatlah kelahirannya.

6. Kekal positif

Jika bayi anda terpaksa dimasukkan ke dalam NICU, anda harus sentiasa berfikiran positif. Banyakkan berdoa supaya hati sentiasa tenang.

7. Belajar mengenai penyusuan badan

Ketahui tip memberikan susu badan kepada anak kembar. Mungkin ada perkara yang perlu anda lakukan sebagai persediaan menerima dua bayi pada satu masa terutama dalam soal pemakanan dan rehat. Ia juga penting untuk mengelakkan anda daripada keletihan melampau.

8. Tetapkan rutin

Anda harus menetapkan rutin untuk si kecil khususnya masa makan dan tidur sebaik dibenarkan pulang ke rumah. Apabila seorang bangun untuk menyusu, kejutkan juga kembarnya supaya mereka mempunyai rutin yang sama.

9. Tetap luangkan masa untuk pasangan

Bila ada dua bayi, kesibukan ibu akan bertambah. Walaupun anda mengharapkan suami memahami, tetapi jangan abaikan perasaan dan keperluannya. Luangkan masa berdua-duaan dengan suami, walaupun hanya mampu ‘bertemu janji’ di ruang tamu rumah sendiri!- Siti Nadirah Hafidzin

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 11:03am
d