hati

Senaman berpasangan lebih berkesan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Bersenam juga ada pasang dan surutnya. Ada kala anda bersemangat melakukannya, ada masa melihat kasut sukan saja membuatkan naluri malas mulai muncul sehingga menenggelamkan semangat untuk bersenam. Lama-kelamaan jika dibiarkan akan membuatkan berat badan naik semula. Jadi bagaimana caranya menjadikan diri berdisiplin dan konsisten sepanjang masa?

Mengikut satu laporan kaji selidik yang pernah dijalankan sebuah badan kesihatan, wanita yang mempunyai teman untuk bersenam akan 45 peratus lebih bermotivasi untuk melakukannya daripada wanita yang bersenam secara bersendirian.

Ini kerana selain saling memberikan motivasi, perbualan dan gelak tawa memberikan semangat serta keseronokan yang diinginkan. Lihat saja bagaimana permainan badminton dan tenis di antara dua sahabat yang diselang-seli senyuman dan ketawa ceria. Bukan sahaja peluh mengalir laju malah keceriaan yang hadir menjadikan situasi itu sangat menyeronokkan.

Menurut Jurulatih Kecergasan Bangi Fitness Norhaizum Mohamed, pergerakan senaman berpasangan sama saja dengan latihan dilakukan setiap hari. Apa yang membezakannya, ia dilakukan bersama-sama dengan sokongan antara satu sama lain.

Setiap pergerakan saling dibantu, sehingga berlaku sentuhan, pegangan tangan dan kaki yang mempunyai kekuatan tersendiri.

“Bagi wanita yang baru memulakan senaman, senaman berpasangan mampu meningkatkan stamina dengan lebih berkesan. Ia diibaratkan mendapat panduan daripada jurulatih kecergasan namun dilakukan bersama-sama. Lama-kelamaan anda mulai mahir dan mampu melakukannya bersendirian,” katanya.

Sambil menunjukkan senaman berpasangan kepada pembaca, jelas Haizum, apa yang perlu dielakkan adalah memaksa pasangan bergerak sedangkan dia belum mahir. Cuba lakukan pergerakan perlahan-lahan mengikut keupayaan masing-masing. Antara senaman berpasangan yang boleh dijalankan adalah:

1- Duduk-V

Senaman ini menguatkan otot perut dan bawah badan. Caranya duduk menghadap pasangan. Kedua-dua kaki dibengkokkan dan bersentuhan dengan kaki pasangan. Seorang memusingkan kaki lawan arah jam manakala pasangan kedua memusingkan kaki arah berbeza. Ulang pergerakan untuk 12 kali sebanyak tiga set.

2-Tekan tubi

Ia membantu mendapatkan perut yang ramping. Caranya, duduk menghadap pasangan, kedua-dua kaki dibengkokkan dan diselitkan di celah kaki pasangan. Perlahan-lahan angkat bahu ke atas dan sentuh tangan pasangan seperti dalam gambar. Tahan posisi ini selama dua saat, dan kembali ke posisi awal. Turunkan bahu ke bawah. Ulang pergerakan 12 kali untuk tiga set.

3&4- Bangun tubi

Dalam posisi duduk, menghadap pasangan dengan kaki dibengkokkan dan diselitkan di celah kaki pasangan. Perlahan-lahan jatuhkan badan ke bawah sehingga menyentuh lantai. Kemudian bangun semula. Memang ia agak sukar namun kekuatan kaki pasangan membantu untuk melakukan dengan lebih berhati-hati. Lakukan 12 kali dalam tiga set untuk kesan optimum.

5&6- Plank

Kedua-dua pasangan saling menghadap antara satu sama lain. Dalam posisi meniarap kedua-dua tangan dan lutut menyentuh lantai. Perlahan-lahan angkat lutut selari badan. Tahan dalam posisi ini dan angkat tangan kiri dan sentuh tangan kiri pasangan. Ulang untuk tangan kanan pula. Ulang pergerakan sebanyak 12 kali dalam tiga set.

7&8- Angkat kaki

Seorang berdiri tegak manakala seorang lagi dalam posisi berbaring dengan muka menghadap ke atas. Pastikan kepala berada di hujung kaki pasangan. Perlahan-lahan pasangan di bawah mengangkat kedua-dua kaki ke atas pada masa sama pasangan menyambut kaki dan berada dalam kedudukan ‘squat’. Tahan seketika sebelum kembali ke posisi asal. Ulang 12 kali untuk tiga set. ‘Squat’ berfungsi menguatkan otot perut dan mencantikkan pinggul manakala pasangan yang berada di bawah mampu mengembalikan kekuatan otot perut.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 11:20am
d