hati

Si kecil suap makanan sendiri

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bersepahnya, aduh penatnya mahu mengemas, habis semua berterabur! Itu antara rungutan biasa hampir semua ibu bapa apabila si kecil mula mahu menyuap makanan sendiri.

Sudah menjadi lumrah bayi yang berusia enam bulan dan ke atas mula mempunyai kemahuan untuk menyuap makanan sendiri. Dalam fasa ini ibu bapa sepatutnya memberi rangsangan dan bantuan kepada si kecil supaya dia meneruskan usahanya.

Walaupun majoriti ibu bapa memilih untuk tidak membenarkan si kecil menyuap makanan sendiri namun percayalah banyak manfaat yang bakal diperoleh apabila mereka mula melakukannya atas usaha sendiri.

Berkongsi pengalaman, Nur Shamiza Shuhaimi berkata, dia mula membiasakan anaknya, Nurul Iman Adelia Mohd Fareez, 2, menyuap makanan sendiri sejak berusia lapan bulan lagi.

“Saya mula ajar dia dengan memegang biskut bayi dan dia kemudian menghisap biskut itu. Sejak itu, saya beri dia memegang sendiri apa juga makanan bayi jenis lembut yang boleh dipegang.

“Dalam tempoh itu juga, hari demi hari saya biasakan dia makan atau memegang makanan sendiri bukan saja menggunakan tangan, malah sudu dan garpu,” katanya.

Menurut Nur Shamiza, antara kaedah lain yang digunakan adalah dengan memberikan anaknya memegang makanan seperti roti dan biskut ketika berada di dalam kereta.

“Sebagai peniaga yang banyak menghabiskan masa bersama anak di dalam kereta untuk menghantar stok ke pejabat pos atau terus kepada pelanggan. Jadi saya gunakan masa berada di dalam kereta itu untuk membiasakan anak makan sendiri.

“Apa yang penting pastikan makanan itu lembut dan selamat selain sentiasa sediakan air dan perlu bersabar. Bersepah itu perkara paling biasa yang perlu ditangani namun percayalah lama-kelamaan anak anda akan mahir,” katanya.

Tambahnya, kini selepas berusia dua tahun terbukti langkah diambil dengan mendidik anak menyuap makanan sendiri banyak memberi manfaat dan kelebihan.

Lima sebab perlunya biasakan anak makan sendiri

• Meningkatkan kemahiran menggunakan deria

Waktu makan adalah antara waktu yang paling banyak memberi pendedahan kepada anak kecil dengan deria baru seperti rasa, bau, dan tekstur. Membiarkan mereka memegang makanan mereka sendiri adalah cara yang baik untuk mengembangkan kemahiran menggunakan deria mereka.

• Meningkatkan kemahiran koordinasi

Pergerakan menceduk dan menyuapkan makanan memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi tangan, tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk tidak menumpahkan makanan. Bersabarlah!

• Memupuk nilai berdikari

Membiarkan bayi anda menyuap makanan sendiri dapat memupuk nilai berdikari pada diri bayi anda, tetapi pastikan juga anda mengawasinya supaya tidak terlalu gelojoh atau berlaku sebarang perkara tidak diingini.

• Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang lebih baik

Dalam anak anda melatih diri untuk menyuapkan makanan, mereka akan mempelajari di mana letaknya mulut, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan, cara memegang cawan dan lain-lain anggota badan yang digerakkan.

• Pembangunan saraf motor

Anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor. Mereka akan belajar sendiri cara membuka mulut, cara mengambil makanan daripada sudu atau bagaimana untuk mengambil makanan yang tertinggal di bibir. Semua ini akan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak anda.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:03am
d