hati

AIFW 2017 cetus fenomena

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Tahun lalu, Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2017 mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menarik banyak nama besar dalam industri tempatan dan antarabangsa untuk memeriahkan pentas peragaan.

Biarpun diperkenalkan buat julung kali, namun kesediaan ramai pereka tersohor menampilkan karya masing-masing membuka jalan seluasnya buat AIFW untuk sekali lagi menghampar pentas sama, tahun ini.

Mengalu-alukan kedatangan pengunjung, pembeli, anggota media, pereka fesyen, usahawan dan pemain industri dari lebih 10 negara, edisi kedua AIFW ini dijadualkan berlangsung selama empat hari, bermula 29 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Membawa tema kebanggaan negara iaitu Batik dan Songket, pentas peragaan kali ini akan dimeriahkan dengan koleksi busana indah daripada tujuh pereka ternama, sepanjang tiga hari berikutnya.

Mengekalkan tradisi tahun pertama penganjurannya, pentas kali ini terus memperkenalkan ramai pereka baru dan mereka yang sudah dikenali di persada antarabangsa.

Selain pertunjukan fesyen, pelbagai aktiviti menarik disusun, termasuk jualan rekaan unik menonjolkan trend, penampilan dan stail pakaian Muslim yang masih mengekalkan ciri sopan dan Islamik. Ia disertai 80 pengusaha gerai inspirasi barangan kosmetik halal, aksesori, produk gaya hidup Muslim serta pilihan produk patuh syariah.

Jadual AIFW 2018

Melihat kepada perancangan dan skala projek, lebih 30 pereka fesyen tempatan dan luar negara dijangka memeriahkan pentas peragaan AIFW 2018. Pereka antarabangsa Bulbulia (South Africa) dan Kamiidea (Indonesia) akan menonjolkan kolaborasi mereka bersama Celessence UK, sementara pereka tempatan seperti Rico Rinaldi, Cosry, Naelofar Hijab, Imaan Boutique, Bianco Mimosa, Eja Shahril dan Ridzuan Bohari pula akan mempersembahkan koleksi terkini masing-masing.

Menghangatkan lagi pentas peragaan tahun ini, tiga pemilik jenama terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella, Ayu Dyah Andari dan Kursein Karzai akan menceriakan pengunjung pada Jumaat, diikuti Jeny Tjahyawati dan Zainal Songket pada hari Sabtu, serta Nina Nughoro Ivan Gunawan pada Ahad. Jenama baru seperti Chic (Iran) dan Maryam Bakhtiari (Iran) juga akan memperagakan koleksi mereka buat julung kalinya di pentas fesyen Kuala Lumpur.

Pengasas AIFW, Fuza Umar berkata, beliau berbangga dengan pencapaian AIFW 2017 dan sentiasa mengalu-alukan pembabitan peserta, pereka fesyen, pembeli asing, delegasi perdagangan dan pengunjung dari serata dunia yang berminat mengambil bahagian dalam minggu fesyen berkenaan.

“Kami akan bawakan pakej peragaan terbaik daripada pelbagai skala tidak kira membabitkan pereka baru mahupun yang sudah dikenali. Dalam masa sama, kita juga akan tonjolkan beberapa jenama hasil karya pereka tempatan yang kian menyerlah seperti Mak Cun by Erma Fatima, Sofea Rose, Miraki, Maqilla, Daanya, Peace Collection, Hanees Hijabees dan Watie Collection.

“Sebagai nilai tambah, kita sediakan juga ruang inspirasi dalam perniagaan berteraskan Islamik melalui ceramah fesyen yang dijadualkan pada Khamis dan Jumaat,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 1:24am
d