hati

Terapi terbaik kurangkan tekanan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Dari jauh kedengaran kanak-kanak ketawa riang. Mereka bermain sambil usik-mengusik. Tiada tantrum sebagaimana kerap dilakukan di rumah. Teman merajuk dipujuk, rakan menangis diceriakan dengan mimik wajah lucu sebelum dipimpin bermain bersama.

Siapa kata anak kecil hanya tahu bertindak agresif semata-mata? Mereka mempunyai banyak kebolehan dalam menonjolkan diri yang sebenar. Namun kebanyakan ibu bapa hanya memfokuskan soal tantrum, ragam tangis dan sikap pasif si manja.

Majoriti ibu bapa seakan-akan terlupa mengenai nilai jenaka, rasa lucu dan lawak sinis yang dulunya kerap dijadikan asas dalam membentuk diri serta mendisiplinkan anak.

Masih ingatkah kita kepada himpunan cerita jenaka Pak Pandir, pantun lucu, kartun dan hikayat lama yang kerap menjadi pilihan di perpustakaan sekolah dulu? Buku sebegini mungkin dianggap ketinggalan, namun sarat dengan jenaka lucu bersulam pengajaran.

Sedar atau tidak, jenaka sebenarnya memiliki kuasa ajaib dalam membentuk diri positif anak. Malah, dalam ilmu psikologi, jenaka dianggap terapi terbaik untuk mengurangkan tekanan.

Jadi, mengapa ibu bapa masih cenderung mendidik anak dengan ajaran yang tegas, peraturan ketat, teguran keras dan kemarahan setiap kali mereka melakukan kesilapan kecil?

Menurut Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mariani Md Nor, ketawa, unsur jenaka dan rasa lucu dalam diri kanak-kanak berlaku kesan daripada perkembangan sosioemosi bermula usia bayi, kanak-kanak bertatih hinggalah mereka mampu berdikari. Unsur jenaka dan rasa lucu di bawah kategori perkembangan sosioemosi ini tidak boleh dirancang, tetapi spontan dan semula jadi.

“Rasa lucu atau jenaka cukup sinonim dengan suasana gembira. Apabila mendengar orang berjenaka, kita biasanya mudah tertawa. Ada jenaka spontan yang mudah difahami dan mudah mencetuskan deraian ketawa.

“Namun, ada juga yang mengambil masa untuk difahami. Asalkan pada akhirnya jenaka itu menerbitkan ketawa, itu bermakna mesej yang cuba disampaikan difahami orang yang mendengarnya.

“Hal ini serupa dengan kanak-kanak. Mereka mempelajari ‘rasa lucu’ daripada persekitaran, keluarga dan teman-teman. Jika anak-anak sering terdedah dalam persekitaran lucu yang dipenuhi dengan gelak ketawa, mereka pasti boleh meniru jenaka dan menyampaikan pula kepada orang lain,” katanya.

RASA LUCU DAN KELUARGA

Dalam perkembangan kanak-kanak, Dr Mariani berkata, kelompok cilik itu memang cenderung meniru perlakuan atau percakapan orang dewasa dan rakan sebaya.

“Jika melihat emosi tegang, anak mungkin menjadi seorang pemarah. Begitu halnya apabila timbul rasa lucu atau melihat perbuatan melucukan, kanak-kanak pasti suka dan mereka mudah tertawa gembira.

“Jenaka yang menjadi ikutan boleh bertukar menjadi rutin. Kanak-kanak mungkin mengulang perkara lucu sebagai kebiasaan baru dan boleh menjadi tabiat dalam diri.

“Melihat dari sudut perkembangan psikologi kanak-kanak, rasa lucu dianggap sebagai sebahagian daripada kesan perkembangan sosial emosi. Mereka sentiasa belajar untuk menzahirkan perasaan gembira, ceria, marah, geram, kecewa dan lucu.

“Sebagai ibu bapa, didikan berunsur jenaka antara pilihan terbaik. Perlu diingatkan, jenaka dan perkara seumpamanya tidak boleh membabitkan orang lain. Usah jadikan orang di sekeliling bahan untuk mencetuskan rasa lucu dalam mendidik anak kerana ia boleh meninggalkan nilai negatif.

“Anak sepatutnya diajar menghormati, bukan memalukan, mengejek atau membuka aib orang lain. Perbuatan sebegini tidak membawa manfaat, malah secara tidak langsung menanam sifat negatif dalam diri anak-anak,” katanya.

Jelas Dr Mariani, ada banyak kaedah untuk menyelitkan unsur lucu dalam mendidik anak-anak. Disiplin dan ketegasan masih perlu dikekalkan, namun cuba rebut kembali hati anak dengan nasihat melucukan.

“Rasa lucu jarang menjadi topik perbincangan dalam menyelesaikan isu berkaitan didikan anak. Namun, saya saya percaya jika amalan yang baik diteruskan ibu bapa dari semasa ke semasa, anak mungkin mewarisi sikap humor serta mampu menjalani hidup dengan semangat, ceria dan positif.

“Sama seperti perbuatan lain, rasa lucu boleh dibentuk, diajar dan dipelajari. Jika nilai humor sentiasa ada, tidak mustahil anak mampu menerbitkan rasa lucu dalam perbualan dan membuat orang di sekeliling senang dengan kehadirannya.

“Hal ini boleh bermula seawal usia dua tahun. Pada umur ini, mereka mula mempamerkan aksi comel, pelik, tetapi lucu dalam gaya yang tersendiri,” katanya.

JENAKA ‘BERSIH’

Mengulas sama ada rasa lucu dan kebolehan berjenaka penting dalam perkembangan kanak-kanak, Dr Mariani berkata, kedua-duanya adalah nilai penting yang wajar ada dalam diri.

“Rasa lucu adalah kualiti positif. Ia biasanya mudah mempengaruhi emosi, mendatangkan rasa gembira dan teruja. Perkembangan emosi sebegini amat digalakkan. Ia meletakkan kanak-kanak dalam suasana yang lapang, selesa dan menyenangkan.

“Apabila dihidangkan dengan pelbagai jenaka, kanak-kanak akan tertarik untuk berinteraksi. Mereka banyak bergaul dan mengutip banyak pengalaman menggembirakan. Ada waktunya, kanak-kanak mungkin berupaya membantu menyelesaikan masalah dengan membuatkan orang di sekeliling mereka ketawa.

“Mungkin ramai tidak sedar bahawa, jika rasa lucu ditanam dalam diri kanak-kanak, ia boleh membantu mengurangkan tantrum. Jadi, cuba didik anak dengan menyelitkan unsur jenaka. Beritahu kesalahan dan didik mereka dengan pengajaran dalam cara lebih unik.

“Sekiranya anak ada melakukan kesilapan, mungkin ibu bapa boleh beri reaksi tegas. Bergantung kepada sebesar mana kesalahan, mungkin anak lebih berhak menerima teguran dengan reaksi lucu. Apabila ibu bapa mempamerkan reaksi sebegini, tidak bermakna mereka tidak tegas. Bagi si kecil, teguran melucukan tetap amaran untuk dirinya tidak mengulang perbuatan sama pada masa akan datang.

“Selebihnya, bangkitkan rasa lucu menerusi aktiviti menyeronokkan. Penting untuk ibu bapa memahami rasa lucu untuk menyokong perkembangan anak-anak. Tambahan pula, merekalah yang bertanggungjawab menyemai nilai positif buat si manja, asalkan rasa lucu berlandaskan perkara yang baik dan tidak membabitkan orang lain,” katanya.

Satu perkara yang perlu disemat dalam fikiran ibu bapa, anak-anak boleh belajar (mengenai rasa lucu) dari persekitaran paling dekat dan kemudian dipraktikkan mengikut kesesuaian masa. Mereka memerlukan persekitaran menarik, menceriakan dan bersih berbanding suasana negatif seperti ejek-mengejek atau perbuatan memperkecilkan orang lain.

Jika ibu bapa terlalu serius, garang dan tegas kala mendidik, anak mungkin membesar dalam tekanan. Keadaan sebegini cenderung menyebabkan masalah tantrum, anak pasif atau mungkin lebih agresif. Tiada rasa lucu atau kebolehan berjenaka.

“Anak yang dididik dengan kekerasan mungkin jadi pasif jika tidak dipujuk. Mereka juga mudah memberontak jika dimarahi dan dalam masa sama dibela, walaupun jelas melakukan kesilapan.

“Berbeza jika mereka didedahkan dengan persekitaran menggembirakan, ada lawak jenaka dan dididik dengan rasa lucu. Inilah yang memberi pengaruh baik kepada anak. Ada sesetengah ibu bapa memang menerapkan unsur jenaka dalam memberi pengajaran kepada anak-anak. Mereka sedar akan risiko perubahan emosi anak pasif atau agresif hingga menunjukkan tantrum.

“Mungkin akan ada yang berpendapat bahawa jenaka bukan cara terbaik kerana gagal mendidik anak dengan nilai positif. Realitinya, jenaka bukan hanya untuk menerbitkan rasa lucu semata-mata. Mendidik dengan jenaka masih memerlukan ketegasan. Barulah anak akan menjadi seorang yang lebih positif,” katanya.

ANAK POSITIF

Jika dulu, ibu bapa terlalu banyak menumpukan perhatian terhadap isu tantrum anak. Malah, banyak nasihat dan cadangan dibincangkan untuk membantu mengatasi masalah ini.

Kata Dr Mariani, tiba masanya ibu bapa mula fokus kepada cara mendidik anak positif dalam tegas, tetapi masih menyelitkan unsur jenaka.

“Kanak-kanak yang memiliki kebolehan berjenaka biasanya seorang yang lebih positif. Mereka berfikiran tenang dan melihat banyak perkara dari sisi berbeza. Mereka juga boleh berfikir secara sistematik dan tiada huru-hara.

“Lazimnya, tantrum berlaku kerana perasaan yang bercelaru dan emosi yang tidak tenang. Tetapi didikan santai membolehkan mereka berkongsi nilai positif dengan rakan sebaya. Lebih utama, mereka mudah akur dengan sistem dan peraturan serta mempunyai nilai komunikasi yang positif,” katanya.

Menilai dalam gambaran yang lebih besar, beliau berkata, nilai humor boleh dianggap sebagai sikap atau perasaan yang boleh membawa implikasi karakter positif.

“Apabila anak ketawa, ia akan membentuk konsep kendiri penting dalam diri mereka. Anak akan merasakan diri mereka cantik, baik dan positif. Malah daripada penglihatan orang lain, mereka juga akan nampak perkara yang positif. Situasi ini secara tidak langsung akan membentuk harga diri dan identiti positif anak,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 12:09pm
d