hati

Keunikan sepatu buatan tangan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Pemilihan kasut memainkan peranan besar dalam mengubah penampilan seseorang. Meskipun memilih konsep sederhana, jika digandingkan dengan kasut yang bersesuaian, seseorang itu tampak lebih manis dan bergaya.

Jika tepat kasut yang disarung pastinya imej wanita itu seakan-akan sempurna sekali gus meningkatkan tahap keyakinan berdepan dengan khalayak.

Mencipta kelainan dalam setiap kasut dihasilkan supaya ia kelihatan eksklusif dan menonjol, jenama 2morrow menghasilkan koleksi terbarunya, Jayla.

Menurut pengasasnya Roszaliza Yusof, koleksi Jayla adalah antara koleksi kasutnya yang tular dan menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Dengan rekaan kemas dan elegan, koleksi Jayla antara yang terbaik dan memberikan keselesaan ketika digayakan.

“Ramai wanita tidak berani bergaya dengan sepatu bertumit, namun Jayla membuktikan bukan semua kasut itu menyeksakan kerana jika kena dengan rekaannya ia mampu memberikan keselesaan ketika berjalan,” katanya.

Menurutnya, dengan harga RM229 sepasang, koleksi ini didatangkan bermula saiz empat hingga 10 dengan tiga pilihan warna putih, hitam dan coklat.

“Kami juga menawarkan beberapa pilihan warna lain untuk pelanggan yang ingin menempah koleksi ini, namun dengan tawaran harga lain.

“Syukur, sehingga kini sambutan diterima untuk koleksi Jayla amat menggalakkan dan kami yakin ia disebabkan rekaannya yang kemas serta ekslusif selain keselesaan,” ujarnya.

Kata Roszaliza, selain Jayla, pihaknya mempunyai lebih 12 koleksi kasut termasuk sepatu pengantin yang kesemuanya direka khas dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Antara keistimewaan kami adalah kasut kami buatan tangan dan pelanggan boleh memilih warna kegemaran mereka juga perincian yang dimahukan.

“Kami juga akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik terutama daripada dua aspek iaitu rekaan dan keselesaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 9:02am
d