hati

Olah resipi dengan sos

Oleh Asmah Rusman

Ramai di antara kita cukup berbakat mengolah resipi di dapur. Tidak kira suri rumah atau berkerjaya, hobi memasak bukan sekadar terapi terbaik untuk minda, malah kini mampu membawa pulangan wang tunai!

Tidak kira sama ada sarapan, hidangan tengah hari, minum petang, pencuci mulut mahupun makan malam, Kimball-Harian Metro mahu melihat kreativiti dan kecekapan pembaca menggunakan sos Kimball sebagai ramuan utama.

Seramai 25 peserta diumumkan sebagai pemenang mingguan pertandingan Jaguh Dapur Kimball-Harian Metro yang diadakan pada 19 Februari hingga 25 Mac lalu. Senarai nama pemenang bertuah itu disiarkan dalam akhbar Harian Metro hari ini.

Pemilihan pemenang dilakukan dua orang cef iaitu Cef Norzailina Nordin atau Cef Lin dan Cef Fikree Aznan bersama Eksekutif Jenama Kimball Vivian Chua, Pengurus Kategorinya Tania Lee serta Pengarang Bersekutu Digital dan Rencana Harian Metro Husain Jahit.

Proses pengadilan yang dijalankan di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu dibuat berdasarkan rasa, persembahan hidangan, kreativiti dan keaslian resipi berkenaan.

Daripada jumlah itu, 10 peserta yang menghantar resipi terbaik akan dipilih untuk memasuki peringkat separuh akhir.

Pada peringkat separuh akhir, finalis perlu menyediakan hidangan berdasarkan resipi yang dihantar untuk dinilai juri bagi memasuki peringkat akhir.

Untuk peringkat akhir kreativiti peserta akan diuji apabila mereka perlu menghasilkan resipi istimewa masing-masing secara spontan menggunakan 'bahan rahsia' yang disediakan ketika itu.

Pemenang utama Jaguh Dapur bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 bersama trofi, bekalan produk Kimball untuk satu tahun dan peluang menyumbang resipi sendiri di seksyen Hati, Harian Metro.

Tempat kedua Jaguh Dapur pula berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 bersama trofi dan bekalan produk Kimball untuk tiga bulan. Manakala hadiah tempat ketiga merangkumi RM3,000 dan trofi serta bekalan produk Kimball untuk satu bulan.

Hadiah tempat keempat dan kelima berupa wang tunai RM500 dan hamper Kimball. Sementara hadiah mingguan adalah baucar tunai RM200 dan hamper Kimball, setiap seorang.

Pertandingan Jaguh Dapur terbuka kepada semua jurumasak amatur warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Mereka yang memiliki kelayakan tertier atau profesional, pernah bekerja di dapur, restoran, kafe atau kantin, tenaga pengajar kelas masakan atau pengusaha makanan dan minuman (F&B) tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 3:39pm
d