hati

Murung selepas bersalin

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kepenatan menguruskan keluarga dan kerjaya selain masalah rumah tangga dikesan menjadi antara punca utama berlakunya masalah kemurungan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai meroyan.

Wanita yang mengalami kemurungan mula mendiamkan diri, lebih banyak termenung, mudah menangis hingga kadangkala bercakap seorang diri. Ibu selepas bersalin berisiko tinggi mengalami kemurungan teruk dalam tempoh berpantang dan ia berlaku disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pelbagai faktor lain yang mengundang tekanan hebat.

Selepas bersalin, ibu kehilangan banyak tenaga, berada pada keadaan mental dan fizikal yang lemah serta boleh dikatakan sebagai ‘kurang waras’ terutama pada minggu pertama dan kedua menerima cahaya mata.

Dalam senario ini, peranan suami sangat penting bagi memastikan si isteri terhindar daripada risiko mengalami masalah kemurungan yang akhirnya memungkinkan mereka melakukan pelbagai perkara luar kawalan.

Mengupas isu kemurungan atau meroyan secara terperinci, bidan profesional dan terlatih yang mempunyai pengalaman dalam ilmu perbidanan tradisional lebih 10 tahun, Nur Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi berkata, kemurungan selepas bersalin atau meroyan tidak boleh diambil mudah.

“Mengikut pengalaman saya membantu rawatan kes meroyan atau kemurungan ini, ada antara penghidapnya yang sudah mengalami tekanan emosi sejak sebelum bersalin. Antara tekanan berkenaan berkait rapat dengan kepenatan menguruskan keluarga, kerjaya dan masalah rumah tangga.

“Tekanan itu sudah disimpan di dalam hati tanpa diluahkan dan ia menjadi lebih teruk sebaik ibu melahirkan bayi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak semua kes sebegitu kerana ada juga wanita yang mula mengalami kemurungan atau meroyan ini selepas bersalin.

“Keadaan ini perlu ditangani dan dikenal pasti segera kerana sekiranya dibiarkan ia boleh menjadi kritikal dan ada kemungkinan si ibu mencederakan dirinya sendiri, bayi atau orang lain.

“Oleh itu, pengesanan awal amat penting bagi mengelak kejadian buruk ini terutama ibu daripada mengalami meroyan seumur hidup,” katanya.

Menurut Nur Qamarul Ramdhah, individu terdekat terutama suami seharusnya dapat mengesan perkara itu dengan lebih awal dan segera dirujuk kepada pihak berkaitan bagi menghindari perkara buruk.

Jenis meroyan

Menurut perubatan tradisional, meroyan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

• Meroyan api - Penghidapnya bersikap lebih garang, mudah marah dan berasakan segalanya tidak terkawal.

• Meroyan kentung - Ia menjadikan penghidapnya murung, hiba dan mudah berasa sedih.

• Meroyan tinggal - Kebiasaannya penghidap meroyan jenis ini bercakap seorang diri.

• Meroyan urat - Penghidapnya berasa ketegangan urat saraf dan mudah kejang selain seluruh badan berasa sakit.

• Meroyan lendir - Wanita yang menghidapnya kelihatan pucat, lesu, berasa penat, badan semakin susut atau keguguran rambut.

• Meroyan bulu - Sering berasa seram sejuk atau terkena kancing gigi.

• Meroyan kulit - Badan berasa gatal walaupun selepas mandi atau sudah bersih.

Antara tanda kemurungan atau meroyan:

• Bercakap seorang diri

• Berhalusinasi

• Sering berfikir perkara tidak rasional

• Berasa tidak yakin atau was-was

• Keliru

• Tidak mempercayai sesiapa

• Mudah berasa marah tanpa sebab munasabah

• Murung dan tidak berminat melakukan apa-apa

• Mudah dan sering menangis

• Sering mengadu perkara tidak logik

Suami perlu bertindak

Menurut Nur Qamarul Ramdhah, suami adalah individu paling utama yang perlu memainkan peranan bagi mengelak dan mengatasi masalah ini.

“Berikan sokongan dan bantuan dari semua sudut kepada isteri yang baru melahirkan anak terutama dalam tempoh berpantang kerana ketika itu mereka amat memerlukan sokongan.

“Paling mudah dan utama, jangan biarkan isteri terlalu terbeban dengan melakukan tugasan harian di rumah atau menjaga anak yang lain seorang diri,” katanya.

Menurutnya, selain bantuan fizikal, suami juga perlu menjaga emosi isteri dan jangan sesekali membiarkan mereka dalam keadaan tertekan atau sedih.

“Bantu lakukan kerja rumah, luangkan masa bersama isteri dengan membantu menjaga anak, mendoakan dan yang paling utama seringlah mengaji atau berzikir bagi ketenteraman isteri.

“Ketika berpantang, isteri masih dalam keadaan ‘tidak bersih’ yang mengundang pelbagai gangguan mudah meresap masuk ke dalam diri dan fikiran isteri,” ujarnya.

Selain itu, suami juga boleh membantu dengan menasihati isteri secara lembut mengenai perkara yang tidak baik bagi memastikan emosinya sentiasa terjaga.

“Jangan sesekali membiarkan individu negatif berada di sekeliling isteri terutama mereka yang suka bercerita perkara tidak baik kerana ia mungkin akan memburukkan keadaan.

“Individu negatif itu antaranya mereka yang suka berkata perkara tidak baik mengenai soal susu badan, bentuk badan atau apa saja perkara yang boleh mengganggu emosi isteri,” katanya.

Tambahnya, mana-mana ahli keluarga terutama suami yang menyedari sebarang perubahan pada isteri, perlu segera merujuk perkara berkenaan kepada pihak kesihatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Rawatan kemurungan atau meroyan

Antara rawatan yang dapat diberikan kepada ibu yang baru melahirkan bayi ini termasuk sokongan moral, emosi dan fizikal.

Menurutnya, ibu juga perlulah sentiasa berdamping dengan Allah melalui zikir, doa serta menambah ilmu agama pada saat diri tidak boleh menunaikan solat. Paling tidak, pasanglah rakaman bacaan al-Quran supaya anda dan anak berasa tenang.

Dalam zaman sekarang, kelas agama ada di hujung jari. Si ibu boleh mengikuti kelas ini melalui rancangan radio, televisyen atau YouTube. Jadi, alasan tiada masa mengikuti kelas agama sudah tidak boleh diterima.

“Aspek penjagaan semasa tempoh berpantang juga amat penting seperti berurut dan bertangas kerana pada masa sama, ia dapat mengeluarkan gumpalan darah kotor yang masih berada di dalam rahim,” katanya.

Nur Qamarul Ramdhah berkata, jangan sesekali mengabaikan soal penjagaan semasa berpantang bagi membantu mengelak kemurungan atau meroyan.

“Nasihat, kaunseling dan ubat-ubatan juga boleh diberikan kepada individu yang mula menunjukkan tanda meroyan. Masalah ini boleh diatasi sekiranya ada kesedaran awal daripada individu terdekat dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu menangani masalah ibu kemurungan atau meroyan,” ujarnya.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 5:01pm
d