hati

Berlian eksklusif serlah pemakai

Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap wanita menampilkan keanggunan berbeza mengikut cara tersendiri. Ada yang menyerlah menerusi busana dan solekan tidak kurang juga dengan pemakaian set barang kemas yang menjadikan pemakai kelihatan mempesonakan.

Sebagai jenama barangan kemas terkemuka di Malaysia sekali lagi Habib melancarkan kempen tahunan Pesta Berlian Habib 2018 bertempat di Ruang Legar Utama Suria KLCC, Kuala Lumpur sebagai penghormatan kepada bulan kelahiran permata dan berlian April ini.

Melalui kempen ini, Habib turut berkongsi secara terbuka mengenai keindahan dan nilai berlian bagi membolehkan pelanggan membuat keputusan tepat apabila membeli berlian. Pada masa sama pertunjukan fesyen koleksi terkini Habib turut diadakan buat tatapan tetamu.

Antara koleksi diperagakan adalah berlian eksklusif Habib Majestic Garden, iaitu rekaan terbaru Habib, dihasilkan menggunakan padanan emas putih dan emas ros. Tidak ketinggalan, Hearts On Fire iaitu potongan berlian paling sempurna di dunia, diedarkan secara eksklusif di Malaysia oleh Habib yang mendapat permintaan ramai. Kilauan berlian Habib membuatkan si pemakai persis seorang bintang selain menyerlah dalam apa juga acara.

Menurut Pengarah Urusan Habib, Datuk Seri Meer Habib, bagi menjadikan kempen ini lebih hebat daripada sebelumnya, Habib menampilkan rekaan mempesonakan menggunakan permata anggun berkualiti dan terkini.

Setiap rekaan mempunyai keunikannya yang tersendiri apabila semua berlian dipotong dengan ketepatan yang betul untuk menghasilkan kilauan menarik. Setiap potongan diberikan rekaan unik sesuai menggambarkan personaliti wanita yang anggun dan jelita.

“Selain melancarkan perhiasan terkini kempen ini bertujuan menyerlahkan keanggunan berlian yang menjadi pelengkap gaya wanita. Kami ingin wanita tampil mempesona dengan memakai barang kemas berlian Habib. Anggapan setiap pelanggan Habib mempunyai keunikan tersendiri turut memberi inspirasi kepada jenama unggul ini menghasilkan pelbagai koleksi berlian bagi menghadirkan pengalaman mengujakan,” katanya yang merasmikan acara petang itu. Majlis turut dihadiri Datin Sri Zarida Noordin dan selebriti tanah air.

Pesta Berlian Habib yang bermula dari 1 April hingga 1 Mei 2018 menawarkan pelbagai koleksi berlian dengan diskaun sehingga 70 peratus untuk koleksi berlian dan batu permata serta potongan RM8 sehingga RM20 setiap gram untuk emas 916 dan 999.

Habib turut menawarkan koleksi berlian bersijil pada harga terendah dan dengan setiap pembelian RM5,000 ke atas di dalam satu resit, pelanggan akan membawa pulang hadiah istimewa.

Sempena kempen ini juga, selain pameran, jualan barang kemas turut diadakan di Ruang Legar Utama Suria KLCC bermula dari 29 Mac hingga 8 April 2018. Pelanggan berpeluang menjadi antara yang pertama melihat koleksi barang kemas terbaru Habib untuk tahun ini.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 1:44pm
d