hati

Amal MVM rentas sempadan

Oleh Nurul Husna Mahmud

“Pada usia 18 tahun, saya menjadi ahli termuda daripada 120 sukarelawan yang mengikuti misi amal ke Gaza pada 2012.

“Bersandarkan kepada amanah menerusi seorang wanita yang menawarkan penajaan ke bumi anbiya itu dengan kos mencecah RM7,500 menjadi kepada titik pembabitan saya dalam kerja amal hingga hari ini,” ujar Pengasas Muslim Volunteer Malaysia (MVM) Muhammad Jantan ketika ditemui dalam Program Pure Heart 3.2 di Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana Selangor baru-baru ini.

Menurut anak muda berusia 23 tahun itu, dia bukanlah individu hebat atau cemerlang tetapi mengumpul kekuatan dengan menubuhkan MVM sebagai platform buat dirinya meningkatkan kualiti diri selain bertujuan membina rangkaian sosial bersama rakan sebayanya dalam gerakan kerja amal.

“Secara rasmi MVM ini bergerak menerusi Misi Banjir Kuning Besar di Kelantan 2014 apabila saya melihat keperluan mengagihkan sumbangan orang ramai terutamanya makanan.

“Kemudian daripada bantuan banjir kami berdikit-dikit mengagihkan bantuan lain iaitu bekalan kotak makanan daripada tiga bulan ke enam bulan kemudian ke setahun selain pengisian membantu meningkatkan kualiti hidup isi rumah golongan asnaf.

“Pendekatan kami berbeza berbanding dengan NGO lain. Menerusi projek Pure Heart kami memilih sekolah tertentu dengan jumlah asnaf memenuhi bajet dan jumlah penerima bantuan untuk kami santuni sepanjang tahun.

“Ini ialah tahun ketiga dan dana kami peroleh ketika ini adalah sumbangan orang ramai termasuk berganding bahu bersama beberapa agensi atau NGO lain yang mempunyai matlamat sama.

“Pada 2016 saja sebanyak 33 program kami anjurkan. Cabaran terbesar ialah kami tiada penderma premium yang konsisten selain mendapatkan sukarelawan yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa sepanjang tahun.

“Selain misi dalam negara, MVM turut aktif dengan program kemanusiaan di luar negara dalam memberi pendedahan mengenai isu kemanusiaan kepada rakan Muslim dari negara lain,” katanya.

Bagi bantuan kotak makanan, pihaknya ketika ini memberi keperluan harian penting termasuklah beras, minyak, gula dan sebagainya untuk bekalan sebulan.

“Bantuan yang utama ialah barangan keperluan harian dengan nilai setiap bulan tidak kurang RM5,000 bagi lebih 200 keluarga. Jadi saya berharap sangat ada pihak boleh menawarkan harga istimewa untuk barangan keperluan harian dan kalau mereka mahu menaja tentulah lebih baik,” katanya.

Pengarah Program Pure Heart 3.2 Izzat Bazaie berkata, pihaknya mensasarkan perubahan menyeluruh membabitkan peserta terdiri daripada ibu bapa sehinggalah anak-anak asnaf.

“Dalam program ini, kami menyasarkan perubahan menyeluruh membabitkan individu itu sendiri untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Kami membantu mereka dari segi keperluan keluarga termasuklah persiapan sekolah anak. Kali ini kami menyerahkan sumbangan pakaian seragam selain daging segar.

“Untuk tahun ini kami mengadakan kempen kotak makanan bernilai RM80 bagi menaja sebuah keluarga dan bekalan ayam segar dengan penajaan RM20. Sebagai tambahan, untuk asnaf murid sekolah, kami memberikan kelengkapan pakaian seragam sekolah.

“Kami turut mengadakan sesi ‘pratonton’ kelas kemahiran seperti pastri dan kek serta jahitan. Untuk sesi kedua bagi tahun ketiga projek ini, ibu bapa dan anak mereka datang untuk slot pengisian rohani yang diserikan dengan kehadiran kumpulan Busking Dakwah dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Peserta hanya perlu datang menyertai program ini setiap bulan dan ada ganjaran istimewa buat peserta komited bersama kami antaranya penajaan umrah,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 11:59am
d