hati

Derma darah jadi aktiviti prapelancaran

Oleh Nurul Husna Mahmud

Widad Royal Residence UTMKL menyantuni rakan strategik selain komuniti setempat dengan pendekatan berbeza iaitu menerusi program amal derma darah yang berlangsung di dewan hotel berkenaan.

Program terbabit dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Negara itu berjaya mengumpul 87 penderma membabitkan kakitangan Widad Royal Residence UTMKL dan orang awam yang prihatin menyumbangkan darah mereka bagi tujuan kebaikan.

Menurut Ketua

Pegawai Operasinya Zamzuri Mahmood, program derma darah itu sebagai acara prapelancaran hotel berkenaan dijangka bakal beroperasi secara rasmi pada September nanti.

“Program derma darah berlangsung di Widad Royal Residence UTMKL adalah pendekatan relevan yang boleh kami fikirkan sebagai pengenalan awal kepada kemudahan penginapan selain fasiliti lain yang ditawarkan di hotel ini.

“Produk kami berasaskan pelancongan mesra Muslim dan bersesuaian dengan imej korporat kumpulan syarikat sendiri yang menyokong semua bentuk urusan perniagaan berdasarkan garis panduan syariah. Oleh itu, aktiviti menderma darah dilihat seiring dengan objektif berkenaan.

“Kami mahu menerap nilai murni dalam kalangan kakitangan sendiri iaitu kesedaran membantu mereka yang memerlukan darah. Meskipun tidak berkemampuan dalam aspek kewangan, rasanya ada alternatif lain boleh dilakukan semua orang termasuk menyumbangkan darah bagi keperluan individu lain. Anggaplah ini sebagai sedekah dan tanda prihatin terhadap orang kurang bernasib baik,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Widad Hospitality Management Sdn Bhd Abdul Latib Ahmad, selain kakitangan, pihaknya turut menerima kehadiran 30 pelajar Kolej Universiti Widad dan Kolej Widad dari Pahang untuk memeriahkan acara berkenaan.

“Bagi Kumpulan Widad, program ini bukan perkara asing kerana kami mempunyai universiti dan kolej yang menawarkan pengajian perubatan. Jadi acara ini sering dilakukan pihak kampus dan kali ini mereka datang untuk memberi sokongan kepada program Widad Royal Residence UTMKL .

“Pada masa sama, aktiviti derma darah ini memberi kebaikan kepada kesihatan dan membawa keberkatan kepada hidup penderma. Konsep inilah yang cuba kami semaikan dalam diri kakitangan atau orang awam yang menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu bagi penderma Suhaila Abd Rasid, dia terdorong untuk mendermakan darah sejak rakannya mengalami masalah mendapatkan darah yang sama jenis tidak lama dulu.

“Memang pada awalnya saya keberatan menderma kerana tiada kesedaran sehinggalah rakan saya mengalami kemalangan dan memerlukan darah. Sejak itu saya berasa seronok dapat menderma darah. Apabila melakukan kebaikan, saya rasa manfaatnya kembali kepada diri sendiri, saya rasa lebih tenang dan gembira,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 12:03pm
d