hati

Petua cantik Syaty

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Bukan artis atau selebriti, namun gaya dan penampilan wanita ini kerap mencuri tumpuan ramai. Mungkin ramai yang sudah kenal dengan si cantik manis berlesung pipit, Syaty Md Nor, 24.

Suri rumah sepenuh masa ini cukup popular di laman sosial Instagram. Dia dianggap ikon fesyen dalam kalangan gadis dan remaja kerana bijak menggayakan apa saja persalinan mengikut caranya yang tersendiri.

Hati bagaimanapun terpaut mengajak Syaty berkongsi petua kecantikan diamalkan selepas membelek gambar terbarunya di Korea Selatan. Sekalipun bercuti untuk berbulan madu, Syaty tetap aktif memuat naik fotonya yang manis dalam pelbagai gaya.

Menurut anak kelahiran Kuantan, Pahang ini, dia mula memberi perhatian kepada penjagaan diri dan wajah seawal usianya mencecah 15 tahun.

“Sebenarnya, tidak kira sama ada bahan semula jadi atau produk penjagaan diri di pasaran, kedua-duanya dekat dengan diri Syaty. Sama seperti orang lain, Syaty akan amalkan pilihan yang ada mengikut kesesuaian masa.

“Jika ditanya pilihan produk penjagaan diri, saya lebih suka yang berasaskan organik. Pada masa sama, saya juga selesa mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat,” katanya.

Bukan setakat mengambil buah-buahan segar, Syaty turut mengakui dia agak cerewet dalam memilih jenis hidangan. Wanita ini akan memastikan diet hariannya rendah lemak dan gula, mengurangkan makanan segera, minum air dan mendapatkan tidur yang cukup serta bersenam sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

“Bangkit dari tidur, saya sentiasa cuba untuk tidak melihat skrin telefon bimbit kerana ia mudah melalaikan. Biasanya saya akan terus mencuci muka dan mandi untuk kelihatan segar.

“Selepas menyiapkan diri, saya akan turun ke dapur. Sarapan adalah perkara yang tidak akan tinggalkan untuk memastikan diet sihat dan tampil bertenaga,” katanya.

Biarpun aktif memperagakan pelbagai jenama fesyen di media sosial, Syaty berkata, dia masih tidak mempunyai petua khusus untuk diamalkan setiap kali sebelum atau ketika bersolek.

“Apa yang wajib diamalkan adalah menanggalkan semua kesan mekap dan mencuci muka sehingga bersih sebelum tidur. Ini kerana liang kulit yang tersumbat dengan sisa mekap boleh menyebabkan pori hitam dan muka berjerawat.

“Kalau mahu mendapatkan wajah cantik berseri, saya galakkan minum air yang cukup untuk memastikan kulit sentiasa segar dan lembap. Makan makanan segar dan semula jadi (tidak diproses), minum jus buah-buahan yang dibuat sendiri di rumah dan kurangkan solekan untuk mengelak kesan penuaan kulit yang cepat dan ketara.

“Satu amalan saya yang mungkin jarang dilakukan orang lain adalah menggunakan kopi. Kopi mengandungi kafein yang mampu membantu sel kulit melawan radiasi sinar ultra lembayung (UV). Sinar UV inilah yang boleh menyebabkan kesan penuaan dan kedutan awal.

“Selain itu kafein juga boleh membantu melancarkan peredaran darah, seterusnya mencerahkan kulit dan menaikkan seri wajah. Saya sendiri mengamalkan pupur dan lulur kopi tiga hingga empat kali seminggu.

“Caranya campurkan serbuk kopi dengan minyak zaitun dan gosok ke kulit muka. Ratakan selama 15 minit, kemudian bersihkan dengan air,” katanya.

Jelas Syaty, dia percaya bahan semula jadi lebih senang diserap kulit. Ini kerana kulit dicipta untuk menyesuaikan diri dengan alam semula jadi di sekelilingnya, bukan bahan kimia.

“Logiknya, penggunaan bahan kimia yang berlebihan boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang tidak baik kepada kulit. Namun, untuk mendapatkan produk yang 100 peratus mengandungi bahan semula jadi adalah sukar. Jika ada sekalipun, ia mungkin agak mahal.

“Sebab itu seboleh-bolehnya saya mengelak daripada memakai produk yang mempunyai bahan kimia berlebihan. Dengan longgokan produk ‘timbang kilo’ di pasaran, saya memang lebih berhati-hati dalam memilih,” katanya.

TIP

1. Sentiasa pakai pelembap muka dan krim pelindung UV ketika keluar rumah.

2. Lulur wajah dan gunakan pupur sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

3. Kurangkan makanan ringan

4. Lebihkan sayur-sayuran dan buah segar dalam diet harian.

5. Kurangkan pengambilan gula.

6. Minum air yang cukup.

7. Pastikan mendapat tidur yang cukup.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 1:08pm
d