hati

Terapi ekspresi seni

Oleh Siti Zarinah Sahib

Mengendalikan emosi kanak-kanak yang terbabit dalam kes penderaan, rogol atau liwat bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana kesukaran mendapatkan bahan bukti daripada mangsa menyebabkan anak-anak ini trauma dan sukar meluahkan perasaan kepada orang lain. Ditambah pula rasa takut dan sakit membuatkan mangsa mencari jalan untuk tidak mahu berkongsi apa yang berlaku kepada sesiapa.

Menurut Pengasas Modul REST, Dr Rafidah Kastawi, kanak-kanak juga perlu dihormati maruah mereka dan dijaga aibnya. Walaupun pada hakikatnya mereka seolah-olah tiada perasaan namun emosi mereka sarat pelbagai persoalan. Jika tidak dikendalikan dengan baik si kecil ini akan menjadi lebih murung dan tertekan.

“Sepanjang saya mengendalikan kes membabitkan penderaan seksual kanak-kanak, daripada fizikal mereka sudah menunjukkan bebanan ditanggung. Saya tidak boleh meminta mereka bercerita. Sebaliknya teknik paling sesuai adalah menerusi terapi ekspresi seni menggunakan peralatan atau medium perluahan secara kreatif dan spontan, seperti melukis dan mewarna, mengukir tanah liat atau bermain doh, menghasilkan kolaj dan bermain pasir.

“Ketika sesi pertama saya tidak berbuat apa-apa sebaliknya memberikan mereka ruang bermain. Walaupun saya perlu bersikap profesional namun naluri keibuan tetap ada. Bayangkan ada kes yang saya kendalikan membabitkan rogol dan liwat secara bergilir-gilir untuk kanak-kanak berusia enam tahun. Ibunya mengalami masalah mental jadi mangsa diletakkan di rumah perlindungan kanak-kanak.

“Ketika dibawa berjumpa saya dia sangat takut dan tidak mahu bercakap. Di sebuah bilik khas saya membiarkan dia bermain dengan apa saja bahan yang ada di situ. Antaranya anak patung dan bantal yang bersifat lembut membolehkan mangsa memeluk, sekali gus melepaskan perasaan mereka,” katanya.

Katanya lagi kebiasaannya anak-anak ini tidak tahu apa yang berlaku, tetapi selepas dibiarkan, mereka mulai selesa dan percaya. Apabila disoal perkataan pertama dikeluarkan adalah sakit dan rasa sengsara. Selepas itu baru Dr Rafidah menggunakan peralatan lain misalnya anak patung kecil, kenderaan, haiwan, pasir atau doh yang menjadi bahan perantara untuk luahan perasaan.

“Dalam sesi ini anak-anak bermain dengan peralatan ini dan mula bercerita. Saya pula tidak akan bertanya sebalik memberi ruang untuk mereka rasa selesa meluahkan apa yang dialami. Ia juga sebagai satu proses pembelajaran dan luahan perasaan supaya anak-anak dapat menzahirkan emosi yang terbuku di hati menerusi cara lebih santai. Malah, ia adalah kaedah menggalakkan seseorang meluahkan emosi melalui contengan pada kertas dan tidak boleh dizahirkan dengan perkataan,” katanya.

Jelas Dr Rafidah, modul REST yang dihasilkan ini mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan digunakan untuk pelbagai masalah serta individu berbeza. Ini termasuk orang perseorangan, rumah perlindungan kanak-kanak dan remaja, penagih dadah atau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kanak-kanak berusia lima tahun sehingga dewasa berusia 80 tahun antara pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat kaunseling dengannya.

Meskipun diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu namun orang ramai belum faham pendekatan diguna pakai. Apabila Dr Rafidah menerangkan berkenaan terapi menerusi cara melukis ramai beranggapan yang dia boleh membaca fikiran orang.

“Sebenarnya terapi ekspresi seni adalah salah satu teknik dalam kaunseling. Jika dulu sesi kaunselor bersifat soal jawab, tapi menerusi modul REST mangsa tidak merasakan yang mereka seperti disiasat sebaliknya berbual atau meluahkan perasaan secara sukarela. Sesiapa juga mampu melukis dan mewarna dan setiap hasilnya akan menggambarkan perasaan mereka. Sudah pasti semua cerita mangsa akan dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain,” katanya.

Konsep terapi seni

Menurut Dr Rafidah melalui ekspresi seni pelanggan lebih memahami cara mendedahkan keperluan dalaman dan konflik jiwa serta penyelesaian masalah. Ia bukan hanya dikhususkan kepada golongan normal bermasalah sebaliknya turut diajar kepada kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme bagi memperkembangkan emosi dan perasaan mereka.

“Kanak-kanak autisme atau bermasalah dalam pembelajaran dapat melahirkan isi hati mereka melalui idea dan gubahan yang dibuat dalam aktiviti seni visual. Ini secara tidak langsung menyelesaikan konflik emosi yang dialami, sekali gus meningkatkan kesedaran dan semangat kendiri pelajar. Jika ia dilakukan di rumah bersama ibu bapa hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat. Ibu bapa mempunyai masa berharga dengan anak terutama apabila sesi melukis dan mewarna dilakukan bersama-sama,” katanya.

Selain melukis iaitu teknik paling mudah dan biasa dilakukan, bermain tanah liat atau doh antara cara membolehkan seseorang meluahkan perasaan dan mendapat ketenangan. Memegang tanah liat, memicit dan membentuknya adalah proses penyembuhan dan transformasi pengalaman. Ia turut menyediakan persekitaran dan ruang selamat bagi mangsa melegakan perasaan yang terpendam selama ini.

Pada masa sama terapi seni dapat membina keupayaan dan keyakinan diri yang tinggi kerana ia berfungsi sebagai pendorong atau motivasi ke arah yang lebih baik. Melukis, mewarna, bermain pasir, kolaj atau kenderaan menguatkan motor kasar dan motor halus. Ia juga membina kesedaran sosial untuk bergaul dengan orang sekeliling.

Haziq positif jalani terapi seni

Memiliki perangai pelik iaitu gemar menangkap haiwan dan serangga seperti ular mengkarung dan cicak di sekolah membuatkan Mohd Haziq Rafiuddin dipinggirkan daripada kawan sekolah. Ketika itu dia gemar menyendiri, tiada kawan sehingga mengalami kemerosotan dalam pelajaran.

“Saya sendiri tidak tahu mengapa saya sangat suka memelihara ular. Apabila dijelaskan kepada ibu bapa mereka beranggapan saya pelik dan tidak dapat menerima kenyataan. Bayangkan ketika waktu rehat di sekolah saya mencari mengkarung dan cicak kemudian disimpan di dalam beg sekolah. Sudah tentu ia menimbulkan kekecohan apabila ada rakan melihatnya,” katanya yang kini memelihara dua ular sawa batik di rumah.

Untuk memberi kefahaman kepada ibunya, Haziq meminta mereka membaca di Internet, lama-kelamaan mereka memahami yang ada lagi hobi lebih pelik dilakukan orang lain. Haziq kemudian dibawa menjalani terapi seni menerusi kaedah melukis. Lama-kelamaan bakat melukis mulai kelihatan dan dia mulai nampak kekuatan dan kelemahan Haziq.

Dr Rafidah berkata mulanya Haziq suka menconteng, lama-kelamaan ia menjadi hasil lukisan yang cantik dan berseni. Haziq juga mulai meluahkan perasaannya selepas saya meminta dia menerangkan berkenaan lukisan yang dihasilkannya. Dia semakin positif dan mempunyai hala tuju dalam pelajaran.

Haziq kini menyambung pengajian dalam jurusan filem di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mula menjalani terapi seni sejak berusia 14 tahun, kini Haziq mulai nampak potensi dalam dirinya. Jika dulu dia tiada bakat melukis namun selepas menjalani sesi selama beberapa tahun bakatnya mulai menyerlah. Dia lebih matang, bersemangat dan tahu apa yang diinginkan untuk masa akan datang.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 12:36pm
d