hati

Rekaan lebih segar

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Musim bunga kembali lagi dan pastinya pelbagai rekaan terkini ditampilkan tidak kiralah daripada jenama tempatan mahupun luar negara.

Bagi peminat jenama fesyen Sweden, Monki pastinya berasa teruja menantikan rekaannya untuk musim bunga tahun ini dengan idea menyegarkan.

Helaian longgar, lebar, kurang perincian dan polos menjadi tanda pengenalan jenama ini sementara aksesori minimum ditambah sebagai olahan gaya ikonik.

Menariknya, koleksi ditampilkan kali ini bertujuan menggalakkan perasaan kasih sayang dengan tema 'Hug Life' dengan koleksi lebih menyerlah dan berwarna warni.

Menerusi motif bunga-bungaan dan jalur, potongan besar dan selesa antara yang ditonjolkan pada rekaan musim ini.

Palet warnanya diserikan dengan simbahan rona terang dan pastel terutama kuning, merah jambu, hijau dan biru lembut.

Daripada denim lebar dan longgar ke padanan retro dan kemeja T kapas, koleksi ini lebih santai, mudah digayakan dan versatil. Ia menawarkan semua keperluan yang diingini gadis Monki bagi meraikan musim baru ini.

Suai padan pelbagai gaya dari kot labuh dan blazer dengan warna menarik, seluar berpotongan besar dan selesa atau gayakan saja rekaan 'jumpsuits' untuk penampilan segar serta bergaya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:44am
d