hati

Kekal tradisi penuh kelembutan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bertemakan Semanis Lebaran 2018 , Watie’s Collections tampil dengan koleksi terbaru inspirasi moden dan tradisional bagi mencetuskan keunikan tersendiri buat mereka yang mementingkan gaya tapi masih mahu mengekalkan tradisi.

Ditemui ketika pertunjukan fesyen sempena ulang tahun pertama jenama itu, pengasasnya, Nor Syafafwati Arifin berkata, koleksi itu mengetengahkan rekaan yang lebih santai dan bersahaja.

Selain itu katanya, koleksi lebaran juga direka dengan pemilihan warna yang lembut dan fabrik tidak panas dan selesa dipakai bila-bila masa dan di mana saja.

“Kali ini kami menampilkan lapan koleksi rekaan baju hari raya eksklusif dengan pelbagai corak dan warna pilihan.

“Malah kami juga tampilkan beberapa koleksi untuk lelaki dan kanak-kanak dengan padanan warna sedondon.

“Tumpuan dan konsep utama kita adalah rekaan moden fesyen mewah untuk wanita serta lelaki Muslim.

“Kami masih mengekalkan tradisi yang penuh kelembutan dan kesopanan,” katanya.

Menggunakan beberapa jenis fabrik antaranya kapas, satin, bercorak floral dan sifon, pereka dari butik ini juga bijak bermain fabrik dan membiarkan ia tidak kelihatan keterlaluan.

Warna trend pastel iaitu hijau, merah jambu, ungu dan biru tidak ketinggalan dalam setiap helaian. Rekaannya juga bukan hanya bertumpu kepada perayaan Aidilfitri, ia boleh digayakan dalam pelbagai majlis.

Bagi anda yang ingin mendapatkan rekaan moden selain baju kurung, kebaya atau jubah, butik itu turut menyediakan cetusan idea yang terkini dan elegan.

Gabungan moden dan tradisional dalam setiap helaian tidak menjejaskan dua elemen terbabit malah memberi nafas baru untuk anda tampil berbeza pada hari lebaran.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:56am
d