hati

Tekad Kartini buahkan kejayaan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Memiliki tiga anak termasuk yang masih menyusu badan bukan halangan bagi dua wanita ini untuk mengembangkan syarikat pengurusan dan perakaunan kerana mereka percaya selain menguruskan keluarga wanita turut berperanan merancakkan sektor ekonomi negara.

Bagi membuktikan impian itu, Kartini Adris, 32, yang juga bekas kakitangan syarikat audit di Pulau Pinang memutuskan berhenti kerja dan membina empayar perniagaan sendiri pada 2013.

Kartini berkata, dia ketika itu baru melahirkan anak pertama, Irfan Mishary yang kini berusia enam tahun dan bersemangat tinggi membuktikan harapannya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, minat mendalam terhadap cabang itu mendorongnya menubuhkan syarikat Kartini Consultancy & Services Sdn Bhd di Taman Kemuning, Kulim, Kedah.

“Naluri saya cukup tinggi membuktikan wanita berkeluarga dan memiliki bayi menyusu badan boleh berjaya. Apa yang penting adalah orang Melayu boleh memiliki perniagaan sendiri,” katanya.

Kartini yang juga akauntan bertauliah dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) berkata, dia berdepan banyak cabaran termasuk kekurangan modal dan hal keluarga, namun bersyukur menerima sokongan bapa, Adris Hashim, 61 dan suami, Nor Adhar Abdul Rashid, 33.

Katanya, pada 2015 dan tahun lalu, dia melahirkan anak kedua, Afif Mishary dan ketiga, Ainul Mardhiah yang masih menyusu badan, namun tetap memberi tumpuan pada perusahaan.

“Saya mengendalikan syarikat yang menguruskan profil kewangan bagi ahli perniagaan, pengurusan zakat, cukai dan pengauditan syarikat. Pada masa sama sebuah bilik seminar disewa kepada individu yang mahu menganjurkan latihan dengan bayaran seikhlas hati,” katanya.

Kartini berkata, dia tidak keseorangan kerana dibantu rakan, Noor Mawarni Sharif, 33, yang mengikut jejak langkah apabila menubuhkan syarikat Pro Success Management di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Menurutnya, mereka memiliki kisah sama kerana Noor Mawarni juga mahu membuktikan wanita beranak tiga termasuk yang menyusu badan boleh berjaya. Anaknya Wardah Humaira Mohd Nazri, 6, Muhammad Mua’adz, 3, dan Muhammad Miqdad yang kini berusia lima bulan.

“Kami bekerjasama memberikan perkhidmatan setiausaha dan daftar syarikat, rundingan dan pendaftaran perniagaan bersama Kementerian Kewangan serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya.

Menurutnya lagi, mereka mengenali satu sama lain di Kulim selepas diperkenalkan rakan pada 2012.

“Apa yang ingin kami kongsikan adalah wanita perlu cekal untuk berjaya kerana kita juga penentu masa depan negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 12:37pm
d