hati

Bapa saudara pelanggan pertama

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kesibukan kerja dan tuntutan kehidupan kota yang memenatkan menjadikan tugas mengemas rumah ada kalanya merumitkan sesetengah orang.

Apabila pulang ke rumah selepas seharian penat bekerja, tugas mengemas mungkin perkara terakhir ingin dilakukan. Masa yang ada biasanya diisi dengan berehat atau menonton TV bersama keluarga.

Ada masanya, dek terlalu sibuk sepanjang minggu dan hujung minggu, rumah terpaksa dibiarkan tidak berkemas selama berbulan-bulan dan ketika ini pasti terfikir alangkah baiknya jika dapat mengupah pembantu untuk membersihkan rumah.

Menyedari perkara itu, kini banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan mengemas dan membersihkan kediaman secara fleksibel.

Malah, khidmat ini juga ditawarkan pada hujung minggu, cuti umum atau selepas habis waktu pejabat, selain hari biasa yang membuatkan lebih ramai memilih untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

Perniagaan seperti itu dilihat berpotensi berkembang pada masa akan datang, seiring peredaran zaman semakin maju dengan gaya hidup masyarakat yang sibuk, sekali gus menjadikan ia satu keperluan buat masyarakat.

Permintaan khidmat membersihkan rumah dan pejabat semakin tinggi mendorong Hamidah Risman, 30, menerusi Cuci Bersih Service menawarkan perkhidmatan itu sejak lima tahun lalu.

Katanya, percaturannya ketika itu ternyata membuahkan hasil apabila ramai pelanggan mula menaruh kepercayaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkannya.

“Semuanya bermula dari bawah, dengan hanya saya dan seorang pekerja ketika itu melakukan tugas membersihkan rumah. Rumah pertama yang kami bersihkan adalah milik bapa saudara saya.

“Sejak itu saya mula mengiklankan perkhidmatan ini menerusi laman sosial dan tidak sangka pula ramai yang memerlukan khidmat ini,” katanya.

Menurutnya, pakej yang ditawarkan hanya ada satu, iaitu pembersihan keseluruhan rumah untuk memudahkan pengurusan manakala hanya rumah berkeadaan kritikal saja yang diterima.

Harga pakej yang ditawarkan bagaimanapun berbeza bergantung kepada saiz dan jenis rumah dengan khidmat pembersihan menyeluruh. Caj bagi pakej pembersihan bermula RM200 hingga RM650 mengikut jenis rumah.

“Jika pelanggan mengambil pakej pembersihan, kami juga tawarkan khidmat penyelenggaraan dengan harga lebih murah untuk memastikan rumah mereka sentiasa dalam keadaan baik.

“Saya sendiri akan turun padang sebelum memulakan kerja pembersihan untuk berbincang dengan pelanggan apa yang mereka mahu. Kadang-kadang jika berkesempatan saya turut bersama pekerja untuk memastikan kerja pembersihan pada tahap terbaik.

“Mungkin pada mata orang lain, ia dianggap kerja bawahan, tapi tidak bagi saya. Ia menjanjikan pulangan yang baik jika kita rajin dan melakukan kerja sebaik mungkin kerana pelanggan biasanya akan memilih perkhidmatan kita semula pada masa akan datang.

“Kebanyakan pelanggan saya juga adalah pelanggan tetap yang berpuas hati dengan khidmat kami. Mereka juga yang membantu mempromosi kami kepada kenalan dan keluarga,” katanya

Hamidah berkata, dia yang baru mendirikan rumah tangga bersama Mohd Hazdmeer Rezza Baharom, 31, juga lega kerana selepas berkahwin, suaminya turut membantunya dalam pengurusan syarikat itu.

Ini kerana atas permintaan yang menggalakkan, dia tidak menang tangan menguruskannya seorang diri dan dibantu hampir 10 kakitangan.

Untuk rumah teres dan kondominium, dua kakitangan diperlukan bagi membersihkan rumah manakala banglo, bangunan atau masjid memerlukan sehingga tiga orang bergantung keluasan kawasan.

Kerja mencuci termasuk membuang sawang, mengelap habuk, mencuci langsir, kabinet, peti ais, tandas, mengemop lantai, mengelap beranda dan mengemas rumah.

Manakala kawasan perkhidmatan meliputi kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Tahun ini kami sasarkan bukan saja rumah kediaman tapi mendapat tempahan pembersihan di kawasan bangunan dan syarikat korporat.

“Meskipun syarikat ini kecil saja, tetapi kami berharap dapat bersaing dengan syarikat besar lain. Kami optimis dengan kemampuan dan tenaga kerja yang berpengalaman,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 1:39pm
d