hati

Tayangan eksklusif untuk 3,600 kanak-kanak

Oleh HM Digital

Filem animasi, ‘Peter Rabbit’ menjadi hadiah istimewa daripada MBO Cinemas dan Kiwanis Malaysia kepada lebih 3,600 kanak-kanak apabila menganjurkan tayangan eksklusif menerusi program ‘Kiwanis-MBO Mega Movie Treats 2.0’, baru-baru ini.

Tayangan eksklusif di 24 cawangan pawagam MBO seluruh tanah air, program yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records ini turut dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom bersama 150 kanak-kanak.

Gabenor Daerah Kiwanis Malaysia, Dr Mario Del Castillo berkongsi keterujaan apabila pelbagai organisasi bersatu demi melahirkan impak positif kepada kehidupan kanak-kanak istimewa dan kurang bernasib baik di Malaysia.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada majlis tayangan filem mega yang menyaksikan penyertaan 33 kelab Kiwanis, enam JCI Malaysia dan 24 cawangan MBO Cinemas di seluruh negara.

“Bagi segelintir kanak-kanak di sini, ini adalah pengalaman menonton filem pertama bagi mereka dan ia menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MBO Cinemas, Cheah Chun Wai berkata penambahan cawangan baru di seluruh negara memberi ruang kepada pihaknya menambah nilai dalam program kebajikan.

Katanya, MBO Cinemas sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan badan kebajikan seperti Kiwanis Malaysia sebagai simbolik mengembalikan semula kepada masyarakat.

Memiliki 213 layar perak di 27 lokasi, Cheah melihat ia sebagai satu kelebihan untuk bersama-sama komuniti menerusi pelbagai segmen program jangkauan yang dirancang.

Antara cawangan yang terbabit dalam program ini, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Kuantan, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Melaka, Seremban, Ipoh, Teluk Intan, Taiping, Alor Star, Kulim, Kota Kinabalu dan Kuching.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 10:39am
d