hati

Bersatu pulihara alam sekitar

Oleh Nurul Husna Mahmud

Tidak mahu ketinggalan dalam menjadi nadi penggerak kepada perubahan positif termasuk membabitkan isu alam sekitar, Samsung Malaysia Electronics (SME) mengambil inisiatif sebagai penaja korporat bagi kempen Tabung Alam Sedunia (WWF) Earth Hour Malaysia, baru-baru ini.

Earth Hour ialah gerakan global mengenai kempen kesedaran terhadap perubahan iklim ekstrem selain kepupusan kepelbagaian bio biodiversiti akibat pencemaran dilakukan manusia dengan Sydney bandar pertama mengambil langkah untuk bergelap selama 60 minit pada 2007 dan kini lebih 7,000 bandar mengambil bahagian termasuk di Malaysia.

Atas kesedaran itu, seramai 170 pekerja Samsung Malaysia Electronics mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan malam ketika acara Earth Hour Night Walk tahunan WWF Malaysia.

Ia bagi mewakili visi Samsung untuk masa depan dan gaya hidup yang mampan demi kelestarian alam sekitar.

Menurut Presiden Samsung Malaysia Electronics Yoonsoo Kim, dalam acara berkenaan kakitangan syarikatnya berjalan sejauh 2.5 kilometer (km) bermula dan berakhir di Sunway Giza Mall, Kota Damansara sebagai tanda menyokong inisiatif global tahunan WWF.

“Semasa Earth Hour setiap tahun, kita melihat seluruh dunia bersatu menyampaikan sokongan mereka untuk pemuliharaan planet ini. Memandangkan Samsung menggalakkan perkembangan sosial dan komuniti serta sokongan yang mampan untuk mewujudkan dunia yang lebih baik, kami gembira menjadi sebahagian daripada misi WWF dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara planet kita.

“Samsung sentiasa mengiktiraf kepentingan pemuliharaan dan menyokong WWF selama ini. Tambahan pula, usaha pemuliharaan WWF juga sejajar dengan strategi kelestarian syarikat dalam memacu kecekapan dan penjimatan tenaga yang lebih besar di persekitaran perniagaannya.

“Sebagai syarikat terkemuka dalam industri teknologi, pembabitan Samsung yang berterusan boleh mencipta perubahan positif dan membantu komuniti sekitarnya hidup dalam persekitaran yang harmoni,” katanya.

Oleh itu, dengan menghantar kakitangannya bagi mengambil bahagian dalam acara Earth Hour, ia akan terus membina momentum ke arah masa depan dan gaya hidup yang boleh diperbaharui. Perkongsian dengan WWF diharap memberi contoh kepada semua peminat, pengguna dan rakan perniagaan untuk mengambil akauntabiliti bagi jejak ekologi mereka dan melindungi planet ini, katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 10:41am
d