hati

Kekangan kewangan bukan masalah

Oleh HM Digital

Lazimnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertemakan bantuan kemanusiaan, kemasyarakatan dan alam sekitar termasuk haiwan. Bagaimanapun, Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) Kota Raja adalah organisasi yang sentiasa berusaha menarik perhatian masyarakat terutama anak muda untuk bergiat aktif dalam sukan.

Diasaskan pada 2013 bagi menyahut cabaran untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadi negara yang mempunyai rakyat yang aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat serta bebas daripada gejala sosial.

Usaha dijalankan SRCC Kota Raja untuk menarik minat orang ramai bergiat aktif dalam sukan dan aktiviti rekreasi membuahkan hasil apabila berjaya melahirkan bakat sukan dalam sukan luncur air, gusti lengan serta sepak takraw.

Lebih membanggakan apabila usaha melahirkan atlet berkenaan dilakukan di sebalik kekurangan prasarana sukan dan kekangan kewangan.

Pengerusi SRCC Kota Raja Mohamad Khusyairi Abdul Aziz berkata, ramai belia yang aktif bersukan dan bakat mereka banyak dikesan bermula daripada kegiatan sukan yang biasanya dilakukan pada waktu petang. Namun, rata-ratanya terpaksa menyewa prasarana untuk bersukan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sukan memerlukan padang dan prasarana yang sempurna, tetapi hampir keseluruhan prasarana berkenaan perlu dibayar atas dasar sewaan sedangkan bukan semua orang berkemampuan.

“Misalnya, padang bola sepak yang perlu disewa daripada PBT untuk bermain. Tapi, bukan semua belia berkenaan berkemampuan terutama pelajar sekolah. Mereka terpaksa berkongsi duit belanja sekolah semata-mata untuk bersukan, malah padang bola sedia ada juga tidak mencukupi,” katanya.

Mohamad Khusyairi berkata, kekurangan prasarana sukan tidak menjadi penghalang kepada usaha pihak SRCC Kota Raja terus membantu pembangunan sukan rakyat dan kejayaan atlet selain atas inisiatif mereka sendiri turut menerima sokongan kewangan mengikut peruntukan khusus dari SRCC Kota Raja.

“Usaha melahirkan jaguh sukan tidak akan terencat kerana jaguh gusti lengan yang mewakili negara ke kejohanan dunia peringkat Asia Pasifik, Rony Iskandar lebih banyak berlatih di rumah saja.

“Walaupun kita berjaya melahirkan juara peringkat antarabangsa sekalipun usaha untuk pembangunan sukan perlu berterusan. Prasarana sukan perlu ditambah selain mewujudkan prasarana baru bersesuaian dengan sukan popular.

“Kita tidak mahu anak kita kelak hanya pandai bermain bola, bergusti dan berlumba kereta hanya dalam permainan video,” katanya.

Katanya, pihaknya berbangga kerana dapat melahirkan atlet dalam gusti lengan, di samping wakil negara dalam sukan SEA bagi acara luncur air walau hanya di tempat kelima iaitu Rody Buang.

Selain itu, SRCC Kota Raja juga mempunyai pemain muda sepak takraw yang bermain mewakili peringkat sekolah hingga peringkat negeri. Usaha ini berterusan sejak beberapa tahun lalu dengan pelbagai kejohanan tempatan dianjurkan selain penyertaan di kejohanan peringkat kebangsaan yang disertai mereka.

Untuk rekod, SRCC Kota Raja mempunyai jaguh seni mempertahankan diri, Aidel Azraff Abdul Mutalib dan Mohamed Ameer Ameruddin Zamri yang bukan saja hebat di negara ini malahan berpotensi mencipta nama di peringkat antarabangsa. - Zaitie Satibi

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 10:44am
d