hati

Selesa bergaya

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Sesuai dengan visi perekanya untuk sentiasa meraikan wanita, jenama kasut tempatan, Nelissa Hilman membawakan lebih banyak himpunan sepatu indah buat mereka yang mementingkan keselesaan dalam gaya.

Meneliti pilihan sepatu yang ditawarkan kepada pelanggannya tidak kira di butik, mahupun di atas talian, jenama ini menjadi tumpuan wanita yang sukakan rekaan ringkas, tidak bertumit dan jenis mudah disarung.

Kata perekanya, Nelissa Hilman Cheow, dia lebih senang memilih apa yang dirasakan selesa dipakai setiap hari untuk dikongsikan bersama lebih ramai wanita.

“Ketika ini, ada banyak jenama yang mengeluarkan sepatu bertumit dengan pelbagai rekaan menarik. Namun hakikatnya, masih ramai wanita yang memerlukan sepatu bertapak rendah dan selesa untuk dipakai ke pejabat mahupun majlis formal.

“Saya sendiri pernah berdepan kesukaran mencari sepatu tidak bertumit. Tetapi, memang sukar ditemui. Kalau ada sekalipun, mungkin rekaannya tidak sesuai untuk majlis formal, apatah lagi ke pejabat.

“Berikutan itu, kami bawakan pilihan sepatu tapak rendah dan sandal kulit untuk wanita yang sukakan gaya ringkas, tetapi masih mengekalkan ciri elegan,” katanya.

Jelas Nelissa, setiap koleksi sepatunya adalah buatan tangan, manakala koleksi bertumit pula dihasilkan daripada kulit asli berkualiti tinggi.

“Ini antara keunikan yang jarang ditemui. Banyak sepatu kini dihasilkan daripada material campuran, tetapi dijual pada harga mahal. Di sini, semua sepatu dijual pada harga sepadan rekaan dan kualiti.

“Sempena Tahun Baru Cina lalu, kami juga melancarkan koleksi kerjasama kapsul eksklusif dengan pereka Cassey Gan. Antara sepatu yang dihasilkan menggunakan warna cerah namun hangat seperti merah jambu, merah dan kuning, sesuai dengan suasana perayaan.

“Koleksi khas hari raya juga akan diperkenalkan dalam waktu terdekat. Pastinya banyak pilihan sepatu pelbagai warna dari terang, pastel hingga gelap bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 7:55am
d