hati

'Kebun dapur' menyihatkan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang ditanam sendiri sememangnya mendatangkan kepuasan berbeza yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selain segar dan menjimatkan kos, aktiviti kebun dapur menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah mampu mewujudkan suasana mendamaikan terutama ketika memandang tumbuhan hijau yang ditanam.

Bagi Rohaidah Hashim, 50, bercucuk tanam adalah hobi yang mempunyai banyak manfaat dan boleh menyihatkan badan, apatah lagi dalam usia sebegitu.

"Jika dulu, saya sering tidak cukup masa menguruskan anak dan bekerja namun kini semuanya berubah. Anak sulung sudah berusia 25 tahun, yang kedua berusia 19 tahun manakala yang bongsu berusia 14 tahun.

"Oleh itu, saya penuhi waktu terluang hujung minggu dan selepas pulang bekerja dengan menanam pelbagai jenis tanaman serta yang terbaru nanas madu.

"Saya tidak sabar menantikan pokok nanas saya berbuah dan ia dijangka satu atau dua bulan lagi," katanya.

Menurut Rohaidah yang tinggal di Taman Sri Sementa, Klang, Selangor, selain nanas, dia turut menanam serai, pelbagai jenis kekacang dan pandan kerana ia antara bahan masakan yang sering digunakan dalam masakan harian.

"Selain hobi, aktiviti ini memudahkan saya terutama apabila memerlukan serai atau daun pandan ketika memasak, hanya perlu ambil di laman rumah.

"Saya juga berkongsi minat ini dengan suami yang banyak membantu menguruskan dan menjaga tanaman ini. Seronok rasanya apabila kami menghabiskan masa bersama pada hujung minggu dengan aktiviti ini," ujarnya.

HOBI MENGELUARKAN PELUH

Rohaidah berkata, disebabkan tidak mempunyai kawasan lapang kerana tinggal di kawasan perumahan, dia perlu bijak menggunakan setiap ruang yang ada sebaik mungkin.

"Setiap kali bercucuk tanam di kawasan tanah kecil di belakang dan di depan rumah, membuatkan saya berpeluh dan ia dijadikan sebagai pengganti senaman harian.

"Selain menyihatkan, aktiviti ini juga antara terapi buat saya dan seluruh ahli keluarga setiap kali memandang semua tumbuhan yang ditanam hidup subur," katanya.

Menurut Rohaidah, dia juga sering menambah ilmu serta maklumat mengenai kaedah penanaman dan cara penjagaan melalui Internet.

"Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini berbuah dan saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasil sekali gus menjadi antara kaedah merapatkan hubungan kekeluargaan.

"Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai," ujarnya.

Menurutnya, walaupun hanya berbekalkan tanah kecil, namun dia gembira kerana masih dapat melakukan aktiviti diminati.

"Sukar digambarkan namun saya yakin hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

"Saya juga memastikan jumlah tanaman bertambah setiap bulan. Kadang kala saya bertukar tanaman dengan kakak yang turut berkongsi minat sama," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 12:47pm
d