hati

Kerjaya sampingan lepas bekerja

Oleh HM Digital

Sifat positif dan keikhlasan anak muda ini dalam menjalankan pekerjaannya wajar dijadikan inspirasi kepada semua. Mana tidaknya, dia berjaya membuktikan wang dan bayaran bukanlah segala-galanya.

Mengakui perlu mencari pekerjaan sambilan bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat kini, anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini memilih menjalankan perkhidmatan penghantaran sebagai kerjaya sampingannya.

Namun, anak muda ini terus cekal dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik dalam setiap khidmat dijalankan demi memudahkan pelanggan.

Lebih membanggakan apabila individu berhati murni ini tidak mengenakan bayaran tetap dan ia bergantung kepada keikhlasan pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya.

Bagi Helmi Mohamed Halim, 25, dia mempunyai kerjaya tetap yang dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

“Bagi menambah pendapatan, saya mula berfikir untuk mencari kerjaya sampingan yang boleh dilakukan selepas bekerja terutama pada malam dan waktu cuti. Disebabkan tinggal di Puchong, Selangor yang juga antara kawasan sesak, saya mengambil peluang itu untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran.

“Ramai individu tidak mahu berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk, namun mempunyai tugasan perlu diselesaikan. Keadaan ini membuka peluang kerjaya sampingan kepada saya,” katanya sambil tersenyum.

PERNAH DIBAYAR RM1

Ternyata perkhidmatan yang dipilih tidak semudah disangka kerana dia perlu menempuh pelbagai cabaran dan dugaan ketika menjalankan tugasnya.

Cabaran utamanya ialah faktor cuaca memandangkan dia menawarkan khidmatnya dengan menunggang motosikal.

“Selain itu, saya juga berdepan pelbagai risiko ketika berada di jalan raya namun sentiasa berhati-hati, sekali gus menyelesaikan tugasan diamanahkan terutama apabila membawa barangan penting yang perlu dihantar segera.

“Saya juga berdepan cabaran masa terutama apabila pelanggan sudah menetapkan tempoh tertentu dan perlu menyelesaikan tugasan dalam tempoh berkenaan.

“Saya tidak menetapkan caj perkhidmatan, ia bergantung kepada keikhlasan pelanggan namun kebanyakan pelanggan membayar bermula daripada RM10 hingga RM40 bergantung kepada jarak dan tugasan.

“Adakalanya bayaran yang saya terima lebih daripada setimpal namun ada juga yang mengambil kesempatan dan hanya membayar RM1, RM2 dan RM3.

“Namun kini kebiasaannya saya berbincang dahulu dengan pelanggan mengenai jarak lokasi penghantaran,” katanya.

Mohamed Helmi yang menetap di Bandar Kinrara Puchong menerima tempahan perkhidmatan melalui Facebook, aplikasi WhatsApp, panggilan telefon dan SMS.

“Saya melakukan perkhidmatan penghantaran di Selangor dan Kuala Lumpur. Antara tugasan saya termasuk penghantaran hadiah dan pelbagai bentuk barang serta membeli barangan keperluan,” katanya.

Anak muda ini memasang impian memiliki sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran dan menggunakan sistem sistematik seperti perkhidmatan GrabCar.

“Saya yakin impian dan cita-cita ini akan menerima sambutan menggalakkan memandangkan ramai individu yang tidak mahu membazirkan masa di jalan raya disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Namun saya sedar, impian ini tidak mudah dan bagi mencapainya perlu berusaha keras bagi memastikan ia dapat direalisasikan suatu hari nanti,” katanya. -Siti Nadirah Hafidzin

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 12:58pm
d