hati

Bertindak sebagai ibu bapa

Oleh Aniza Zainudin

Lima tahun menjinakkan diri dengan kerja kemasyarakatan dan kebajikan, barulah Liyana Abdul Samad memiliki keyakinan dan keberanian untuk membuka rumah perlindungan bagi kanak-kanak yang keciciran pelajaran, Pusat Jagaan As Samad (PJAS).

Beroperasi sejak November 2017, wanita berusia 33 tahun ini melihat pendidikan adalah satu daripada kaedah paling tepat untuk membantu anaknya membina kehidupan lebih baik pada masa depan.

Kes sembilan beradik mengalami masalah keciciran dalam pelajaran disebabkan pendapatan ibu bapa yang terhad menjadi permulaan operasi PJAS meskipun ketika itu, proses pengubahsuaian masih rancak dilaksanakan.

“Apabila mendapat maklumat daripada rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain, saya menziarahi kediaman keluarga 12 beranak ini di sebuah flat di Cheras.

“Pasangan ini memiliki 10 cahaya mata dan tidak mempunyai pendapatan tetap bagi menampung keluarga besar mereka.

“Rumah berkenaan hanya mempunyai sebuah bilik dan mereka perlu berasak-asak. Lebih menyentuh perasaan saya sebagai seorang ibu, apabila anak ini terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu.

“Dilahirkan dalam keluarga yang menitikberatkan pendidikan, saya terpanggil untuk memperjuangkan nasib anak ini. Lantas, kami mempercepatkan proses pengubahsuaian PJAS.

“Kemudian, hasil perbincangan dengan kedua-dua ibu bapa, mereka bersetuju membenarkan sembilan daripada 10 beradik ini diletakkan di bawah jagaan kami,” katanya yang mengusahakan PJAS bersama dua rakan lagi, Muhammad Afiq Md Shahid dan Intan Norhana Ahmad Mohsinon.

Menggunakan pendekatan mesra keluarga, wanita yang mesra disapa ‘mami’ ini memperkenalkan sistem lebih terbuka apabila membenarkan ibu bapa melawat anak pada masa tertentu tanpa mengganggu rutin pembelajaran mereka.

Menjaga 12 kanak-kanak yang berusia antara enam bulan hingga 16 tahun, objektif utama PJAS adalah memberi peluang kedua kepada anak tidak bernasib baik ini untuk mengubah masa depan mereka menerusi pendidikan.

Katanya, rata-rata anak jagaannya memiliki keinginan tinggi untuk belajar, namun disebabkan faktor ekonomi keluarga membuatkan mereka tercicir daripada sistem persekolahan negara.

“Oleh kerana sudah lama mereka meninggalkan alam persekolahan dan ada segelintir tidak mendapat pendidikan awal, membuatkan tahap akademik mereka agak ketinggalan berbanding rakan sekolah yang lain.

“Dalam situasi ini, saya sangat mengharapkan kerjasama dan sikap toleransi pihak sekolah dan guru untuk memahami masalah anak ini kerana tahap intelektual masih dalam proses penggilapan.

“Bertindak sebagai ibu bapa kepada mereka, saya sentiasa memberi motivasi dan sokongan supaya mereka sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu,” katanya ketika ditemui.

Mengakui terkesan apabila melihat anaknya menangis gara-gara tidak mampu mengikuti pelajaran di sekolah, Liyana sentiasa mencari penyelesaian terbaik bagi memperkayakan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Ini termasuk menghantar anak yang bakal menghadapi peperiksaan penting mengikuti tuisyen berbayar, setahun lebih awal.

Selain itu, beliau turut mengamalkan pendekatan berbincang dengan guru tuisyen dan pihak sekolah untuk mendapatkan manfaat maksimum kepada 11 anaknya yang bersekolah.

Mengulas isu dana, Liyana sentiasa optimis dan yakin dengan rezeki serta aturan ditetapkan Allah SWT buat dirinya dan anaknya.

Mempelbagaikan program kutipan dana, PJAS turut menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan masyarakat yang bermurah hati untuk menderma kepada anak jagaannya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 1:05pm
d