hati

Aura pemanduan jarang dirasai

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Memandu lebih 250 kilometer semata-mata untuk memburu sajian enak mungkin kede­ngaran tidak munasabah. Namun peluang memandu lima varian Volkswagen dalam siri jelajah baru-baru ini menjadikan semuanya nampak relevan.

Ketika jemputan program Volkswagen Food Discovery tiba di meja awal bulan lalu, hati menjerit girang. Bukan tidak pernah memandu kereta jenama ini, tetapi peluang mencuba lima varian di jalan raya dalam satu hari kedengaran cukup mengujakan.

Tambahan laluan dipilih bukanlah lebuh raya besar, tetapi merangkumi trafik sekitar ibu kota, jalan kampung, laluan berbukit dan tanah lapang.

Tiba hari yang dinanti, Ketua Pemasaran Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Isabela Pascu meluangkan masa bertemu wakil media yang sejak pagi sudah bersedia untuk meneroka pengalaman berharga itu.

Kemudian jurulatih pemanduan jemputan, Adian Yein yang mengetuai konvoi turut memberi taklimat berkaitan laluan jalan, etika pemanduan, langkah keselamatan dan aktiviti yang akan dilakukan di sepanjang perjalanan.

Lima varian disediakan untuk wakil media hari itu antaranya Vento Highline, Golf Sportline, Passat Comfortline Plus, Tiguan Highline dan Beetle Sport. Sementara tiga lagi kereta dipandu Adian, pasukan pengiring dan jurugambar rasmi.

Kebetulan penulis dan seorang lagi teman media diberi model Passat Comfortline Plus sebagai kereta pertama untuk dipandu uji. Kami bersorak ceria. Kagum dengan kemasan bahagian dalam model eksekutif ini.

Perincian mewah, selesa dan penuh gaya. Sempat juga kami berjenaka ala eksekutif ternama kerana karisma Passat memberi aura pemanduan yang jarang dirasai ketika memandu. Dengan sokongan enjin berkuasa 2.0 liter, kami mencuri peluang memecut dan memintas sepanjang jalan menuju ke Hulu Langat, Selangor.

Selepas menempuh trafik sesak di ibu kota, menyusur jalan berbukit dan melalui kawasan kampung, kami akhirnya tiba di Nam Wah Kopitiam.

Kopitiam lama di Pekan Batu 18, Hulu Langat ini memang popular dalam kalangan komuniti berbasikal di Lembah Klang. Di sini semangat muhibah masih dapat dilihat dan dirasai dengan jelas.

Tidak kira masyarakat Orang Asli, Melayu atau Cina, mereka cukup seronok bersembang sambil menikmati gabungan enak roti Hainan bakar atau kukus, telur ayam kampung, barli sejuk, kopi dan nasi lemak bungkus. Lebih menarik, kopitiam ini juga dikenali dengan keenakan kaya buatan sendiri.

Usai menikmati sarapan dan menjenguk dapur melihat pembuatan kaya, perjalanan diteruskan ke lokasi makan tengah hari di Elda’s Farm­house di Semenyih.

Kali ini kami bertukar kepada Tiguan Highline. Lebih ‘sporty’, santai dan selesa untuk menempuh perjalanan lebih mencabar merentasi laluan kampung, kawasan berbukit berdekatan empa­ngan Hulu Langat serta jalan sempit yang berliku.

Sebagai penerima Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017, Tiguan memiliki rekaan ringkas tapi elegan dengan ciri kenderaan Eropah yang mantap ketika meluncur di atas jalan. Ciri Paparan Info Aktifnya pula membantu menyalurkan maklumat pemanduan, sudut parkir dan jarak pemanduan ketika trafik sesak.

Dilengkapi enjin 1.4 liter TSI pengecaj turbo suntikan terus dengan kotak gear klac basah Direct Shift Gearbox (DSG) enam kelajuan, ia menjana kuasa 150PS dan daya kilas 250Nm di antara 1,500 sehingga 3,500rpm.

Roda stereng rekaan sporty dengan pedal penukar gear pula memberikan gaya pemanduan prestasi buat mereka yang mahukan pengendalian lebih lasak, manakala sistem brek pintar, memberi lebih keyakinan.

Tiba di Elda’s Farmhouse, wakil media tersenyum lebar. Rupanya makan tengah hari yang dirancang bukanlah di restoran, sebagaimana kerap dilakukan kebanyakan pe­nganjur. Rumah milik Noraidah Lembang itu cukup unik.

Lorong masuk yang lapang menghala terus ke rumah, dataran menghijau dikelilingi tanah dusun, suasana kampung, hiasan antik. Semuanya sedap dipandang.

Khas buat tetamu hari itu, Noraidah menyediakan pelbagai masakan kampung enak antaranya daging dendeng, ikan siakap goreng bawang putih, bendi goreng, kacang panjang, jantung pisang hutan serta air asam.

Kemudian Noraidah me­ngajak tetamu ke laman untuk menunjukkan resipi dan cara memasak sambal udang istimewa. Paling menarik, Noraidah juga berkongsi cerita mengenai latar belakang dan minatnya bercucuk tanam.

Tengah hari berlalu pantas. Perjalanan diteruskan dengan Beetle Sport. Model malar segar ini memang padan de­ngan mereka berjiwa ranggi. Ada juga yang mengatakan ia sesuai buat individu berperwatakan retro. Namun bagi penulis, Beetle sememangnya memiliki gaya tersendiri.

Kekal dalam reka bentuk ikonik, penulis kagum dengan prestasi Beetle Sport. Gabungan enjin TSI 1.2L de­ngan pengecas turbo berkuasa 105PS dan transmisi automatik DSG 7 kelajuan bersama tork maksimum 175Nm meninggalkan pengalaman memandu yang mengujakan.

Prestasi cemerlang varian ini membuatkan kami ketawa lucu. Masakan tidak, di luar nampak retro, namun dalaman dan enjin Beetle Sport seiring teknologi kini.

Keterujaan berganda apabila kami selamat tiba di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS). Di sini wakil media diberi peluang mencuba pandu uji berhalangan. Empat varian (kecuali Beetle Sport) bersama jenama pesaing disediakan di kawasan lapang.

Sebelum bermula, wakil media dipecahkan kepada kumpulan. Pasukan pertama boleh menguji adrenalina de­ngan tiga ujian berbeza, sementara sebahagian lagi mengikuti demonstrasi membuat popiah basah bersama pemilik (generasi ketiga) Lee Wah Popiah.

Banyak ilmu berkaitan keselamatan dan langkah kecemasan dikongsi jurulatih pemanduan sepanjang tempoh pandu uji di dataran. Selesai percubaan, barulah penulis tahu sejauh mana prestasi setiap varian ketika dipandu dalam kelajuan tinggi.

Penutup jelajah sehari suntuk itu, kami memandu Golf Sportline dan singgah di premis milik wanita Indonesia, Anissa Iwan. Dikenali dengan kepakaran membuat keju, wanita ini mengusahakan perniagaan Milky Whey Cheese dari rumah.

Model hatchback berprestasi tinggi Volkswagen ini menjadi idaman ramai sejak dulu kerana prestasi dan revolusi reka bentuknya yang kian serasi dengan pelbagai peringkat umur. Selesa untuk perjalanan di lebuh raya mahupun dalam keadaan trafik sesak, tidak puas rasanya memandu varian ini dalam tempoh singkat.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 10:42am
d