hati

Bukan sekadar rupa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tanyalah kepada mana-mana wanita, pasti semua mahu tampil cantik kerana kecantikan adalah sesuatu yang sangat sinonim buat golongan itu. Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik.

Setiap wanita mentafsirkan makna cantik mengikut pandangan masing-masing, ada yang menganggap cantik itu apabila memiliki tubuh langsing menawan. Ada pula berpendapat seseorang wanita yang cantik mempunyai kulit wajah halus mulus bak bayi manakala ada pula menyatakan cantik itu dinilai apabila wanita itu mempunyai pakej lengkap iaitu paras rupa, bijak dan berbudi bahasa.

Hakikatnya, apakah maksud sebenar kecantikan pada diri seorang wanita? Perunding Imej Bertauliah Nor Fazidah Abd Samad atau lebih dikenali sebagai Azie Sam berkata, kecantikan itu subjektif kerana semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan sendiri.

"Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri sendiri. Kecantikan sebenar akan terpancar bermula daripada hati bersih, fikiran tenang.

"Kecantikan pada wajah itu pula adalah bonus tetapi ia bukanlah segala-galanya. Kecantikan yang dilengkapi pakej adalah suatu kelebihan. Maksud pakej di sini adalah kecantikan luaran dan dalaman yang membentuk personaliti seseorang menjadikan dirinya menarik," katanya.

Menurut Nor Fazidah, untuk kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, wanita itu perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan terutama apabila berdepan dengan khalayak.

"Serlahkan keyakinan, lengkapkan penampilan dan pembentukan diri dengan limu. Ilmu asas personaliti diri sangat penting untuk kelihatan sentiasa menarik dan secara tidak langsung membuatkan orang lain berasa selesa apabila berhadapan atau berurusan dengan kita.

"Penampilan yang baik disertakan tingkah laku dan komunikasi hebat dapat mempengaruhi tanggapan positif individu lain terhadap diri kita," ujarnya.

Sebagai perunding imej, Nor Fazidah menyarankan supaya wanita mengenali diri terutama kelebihan serta kekurangan bagi membentuk personaliti diri yang positif.

"Cari kelebihan dalam diri dan serlahkan. Persiapkan diri dengan ilmu kecantikan walaupun perkara asas dan berani untuk berubah. Memakai pakaian yang menarik dan bersesuaian juga dapat memberi impak kepada orang di sekeliling. la memberi tanggapan yang lebih baik dan membina kredibiliti awal.

"Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri sendiri. Ketahui cara membentuk imej positif di mana integriti dalaman dapat diserlahkan melalui penampilan. Kita yang menentukan mesej apa yang ingin disampaikan kepada orang lain melalui penampilan. Penampilan amat membantu seseorang wanita itu kelihatan cantik kerana ia mewujudkan pandangan pertama untuk membina kredibiliti sebelum berbicara," katanya.

Nor Fazidah menambah, memadai penampilan kemas dan bersesuaian dengan diri kerana ia akan memberi impak kepada individu sekeliling untuk menghormati dan dihormati.

"Bagi wanita yang sudah berkahwin, jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah dan yang lebih penting ialah menjaga penampilan diri ketika di rumah. Penampilan diri sahaja tidak mencukupi dalam urusan rumah tangga.

"Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada aspek fizikal atau luaran seorang isteri saja, apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sikap dan tanggungjawab. Biarlah kecantikan luaran itu seiring dengan kecantikan dalaman," ujarnya.

Nor Fazidah turut berkongsi tip untuk wanita dalam memperbaiki penampilan diri:

• Setiap wanita itu cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Sayangi, cintai, hargai diri dan fahami kekuatan atau kelebihan yang dimiliki.

• Jangan membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada.

• Berani menjadi diri sendiri, bentuk imej positif dan bina personaliti anggun.

• Mantapkan diri dengan ilmu supaya terserlah kecantikan luar dan dalaman seiring.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 12:48pm
d