hati

Solekan ringkas sudah memadai

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan dan atas sebab itu juga di dalam beg tangan bahkan di laci tempat kerja pasti ada bekas berisi alat solek.

Tidak kira individu itu seorang yang sering bersolek atau sebaliknya, yang pasti setiap wanita mempunyai koleksi alat solek tersendiri atau setidak-tidaknya set asas seperti bedak padat, gincu, pemerah pipi, celak dan bedak asas.

Lain orang lain caranya, ada yang memilih untuk tampil bersolek namun ada juga yang lebih selesa berwajah polos tanpa secalit solekan ketika melangkahkan kaki ke pejabat setiap hari.

Tidak kira apa juga pandangan dan jawapan, wanita dan kecantikan bak irama dan lagu. Oleh itu tidak hairan mengapa ramai memilih untuk tampil dengan wajah bersolek ringkas kala ke pejabat.

Mengenakan solekan ringkas iaitu bedak padat dan gincu berona lembut dan sedikit celak mata, ramai wanita bersetuju solekan ringkas ke pejabat mampu meningkatkan semangat serta memberikan emosi gembira untuk memulakan hari yang sibuk.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, jurusolek profesional yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang itu, Noraini Ab Hamid berkata, solekan antara faktor yang boleh menaikkan semangat dan keyakinan diri wanita.

"Setiap individu ada pandangan tersendiri, namun bagi saya solekan ini antara perkara penting buat wanita. Tidak perlu mengenakan solekan tebal kerana ia tidak sesuai untuk penampilan harian terutama ke pejabat.

"Solekan asas dan ringkas selain menjaga kulit wajah dan penampilan sudah cukup untuk meningkatkan keyakinan diri terutama ketika bertemu orang ramai," katanya.

Noraini berkata, atas faktor itu juga, setiap wanita perlu tahu teknik solekan asas supaya 'lakaran' yang terhasil tidak kelihatan janggal atau keterlaluan.

"Terlalu banyak teknik solekan asas terutama di laman YouTube yang boleh dijadikan contoh namun seelok-eloknya belajar daripada individu yang mahir. Individu mahir itu tidak semestinya merujuk kepada jurumekap semata-mata kerana ramai juga yang tahu bersolek namun tidak menjadikan bidang itu sebagai kerjaya.

"Tidak kira apa juga alasan, setiap wanita perlu tampil manis ketika melangkah masuk ke pejabat kerana ia turut mempengaruhi pandangan orang lain terhadap diri kita," katanya.

Aura bekerja perlu diutamakan

Seorang lagi jurumekap berpengalaman Marlin Afzan Saidin turut bersetuju solekan ringkas amat penting kerana ia memberikan aura positif yang amat diperlukan untuk menaikkan keyakinan diri terutamanya dalam bekerja.

"Setiap wanita perlu tahu betapa pentingnya solekan dalam kehidupan seharian kerana penampilan tanpa solekan itu umpama perkara yang tidak sempurna.

"Wajah kelihatan pucat dan tidak bermaya sekiranya tidak disolek. Bukan bermaksud perlu bersolek tebal, cukup sekadar mengenakan bedak tabur, celak mata, sedikit pemerah pipi serta gincu sebelum melangkah penuh yakin ke pejabat," katanya.

Tambah Marlin Afzan, solekan juga perlu disesuaikan dengan busana sesuai kerana tidak ada gunanya bersolek manis namun aspek penampilan pakaian tidak diutamakan. Pilih busana yang mempunyai rona ceria namun manis dipandang.

"Siapa kata solekan itu tidak penting, bukan saja ke pejabat namun wanita juga digalakkan untuk sentiasa dalam wajah manis dipandang tidak kira ke mana saja termasuklah di rumah.

"Atas sebab itu, setiap wanita perlu sedar betapa pentingnya solekan dalam kehidupan. Jangan pula keterlaluan kerana solekan yang sarat dengan warna dan teknik ini hanya sesuai untuk majlis formal," katanya.

Marlin Afzan berkata, cerminkan imej yang baik dan menawan dengan penampilan manis supaya mudah didekati sesiapa saja terutama untuk urusan harian.

"Pastikan juga jenis alat solekan yang digunakan itu sesuai dengan diri kita terutama rona bedak asas, pemerah pipi dan gincu kerana sekiranya tersalah pilih, imej yang terhasil kelihatan teruk.

"Apa yang penting adalah bersederhanalah dengan solekan dipilih kerana solekan ke pejabat tidak sesuai dengan rona yang terlalu menyerlah," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 12:52pm
d