hati

Inspirasi kisah dongeng

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kajian menunjukkan populasi penyu kini semakin menurun dan sekali gus membuktikan hakikat haiwan eksotik itu kini berada di ambang kepupusan jika langkah pemuliharaan tidak dilakukan segera.

Bagi meningkatkan kesedaran dalam ancaman yang dihadapi haiwan laut itu, jenama butik SofeaRose bekerjasama dengan Unit Penyelidikan Penyu Universiti Malaysia Terengganu (SEATRU) dalam kempen pemuliharaan dan pemeliharaan penyu.

SEATRU bermula pada 1984 apabila penyelidikan penyu belimbing di Rantau Abang, Terengganu dimulakan. Jika kita tidak melakukan sesuatu untuk memelihara penyu, pada masa depan keturunan kita hanya dapat melihat penyu di muzium.

Secara purata, hanya satu daripada 5,000 anak penyu akan hidup sehingga ke peringkat dewasa kerana ancaman daripada pencemaran laut, pemburu penyu, haiwan pemangsa dan lain-lain.

Memasuki tahun keempat dalam industri, SofeaRose mengambil inisiatif menghasilkan koleksi pakaian bertemakan puteri duyung (Mermaid) bagi mengumpul dana untuk program ‘SEATRU - Adopt a Turtle’.

Dengan mengambil penyu sebagai anak angkat, wang akan digunakan untuk proses pemuliharaan penyu seperti memantau pergerakan hidupan laut itu, melindungi habitat, membeli peralatan veterinari dan banyak lagi.

Bagi membela nasib alam semula jadi, jenama itu akan menyumbangkan sebahagian jualan daripada koleksi Mermaid kepada program ‘SEATRU - Adopt a Turtle’ bagi menyokong pemuliharaan penyu.

Semua wanita di dunia ini tahu mengenai kisah dongeng puteri duyung yang digambarkan sebagai wanita cantik dengan perwatakan lemah lembut, penyayang dan periang.

Ini membuatkan ramai wanita mengagumi dan mengimpikan untuk menjadi seperti puteri duyung. Tidak terkecuali wanita di bawah jenama itu yang berusaha menghasilkan koleksi tudung serta pakaian sedia dipakai (RTW) dan juga koleksi Raya 2018 yang diinspirasikan oleh kecantikan duyung.

Antara koleksi tudung yang ditawarkan iaitu Diona, diperbuat daripada satin pusam berteknologi tinggi. Tudung bercetak ini boleh didapati pada harga RM79 dan dilengkapi charm serta kotak yang dibuat khas bagi koleksi ini.

Mencuba sesuatu yang luar biasa, jenama itu turut merakam video seorang ‘puteri duyung’ memakai tudung Diona berenang di dalam air yang boleh ditonton di YouTube.

Selain koleksi tudung, jenama itu juga mengeluarkan koleksi RTW dan 13 koleksi Raya Mermaid antaranya kurung mini, kurung moden, jubah dan kurung Kedah.

Koleksi Mermaid boleh didapati dengan harga bermula daripada RM59 hingga RM419 dan sebahagian daripada pembelian pelanggan akan digunakan bagi tujuan pemuliharaan penyu.

Bagi setiap pembelian RM100 ke atas, pelanggan secara langsung akan didaftarkan sebagai ahli butik itu percuma seumur hidup dan mendapat potongan harga 20 peratus untuk setiap koleksi.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 3:07am
d