hati

Martabat industri penulisan, penerbitan

Oleh Zaitie Satibi

Jika tidak kerana selebriti, Fattah Amin yang mendapat pengiktirafan di Anugerah Buku Negara 2017 menerusi buku kontroversinya #99KataKataFattahAmin yang menerima anugerah bagi kategori Buku Popular, mungkin ramai yang tidak menyedari peranan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang menganjurkan acara penganugerahan itu.

YPBN yang dilancarkan pada 2003 dengan misi untuk membangunkan penggiat industri buku yang berdisplin, bertanggungjawab, dinamik, proaktif, cergas, berkepemimpinan, berkemahiran, berdikari, berbudaya dan patriotik dengan daya perjuangan yang tinggi.

Malah visinya juga ingin memimpin industri buku ke peringkat global dengan meningkatkan koleksi sumber pengetahuan Malaysia secara sepusat, berterusan dan bersepadu. Antara tanggungjawab utama yayasan adalah menganjurkan Anugerah Buku Negara, Anugerah Telenovela, menggerakkan Akademi Buku Malaysia dan menerbitkan buku serta ensiklopedia.

Pengerusinya, Hasan Hamzah berkata, YPBN berperanan memajukan industri buku dan membina masyarakat berilmu melalui buku sama ada bercetak atau digital (e-book) sentiasa komited dalam membantu kerajaan memupuk minat membaca dan menulis dalam kalangan rakyat berbilang bangsa selaras dengan misi dan matlamat untuk memartabatkan industri penulisan dan penerbitan.

“Industri buku negara memerlukan satu transformasi khusus dalam mencapai hasrat mengangkat industri kreatif tanah air menerobosi pasaran global.

“Sudah tiba masanya penulis tempatan menghasilkan karya buku bukan setakat untuk pasaran tempatan sahaja malah seharusnya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia.

“Buku berkenaan juga perlu dipromosikan untuk pasaran antarabangsa, manakala penulis dan penerbit tempatan mestilah menghasilkan buku untuk pasaran dunia,” katanya.

Katanya, beliau berharap pelbagai program yang dijalankan yayasan dapat membantu mencungkil bakat baru ke arah menjadi menjadi penulis tersohor.

“Kita lebih berminat untuk melatih pengarang dan penerbit baru untuk menambah judul buku baru. Adalah menjadi harapan kita supaya penerbit di Malaysia dan rakan-rakan di rantau Asia Tenggara dapat berganding bahu dalam usaha mencapai matlamat dan objektif memajukan lagi industri penerbitan dan penulisan negara masing-masing.

“Yayasan juga memperkenalkan kategori baru iaitu Anugerah Telenovela untuk mengiktiraf pengarang novel yang berjaya diadaptasi menjadi telemovie atau drama bersiri yang semakin diminati ramai,” katanya.

Anugerah Buku Negara (ABN) dianjurkan bagi mengiktiraf warga kerja industri perbukuan di Malaysia. Penganjurannya menepati Dasar Buku Negara yang mengalakkan mana-mana pihak menganjurkan anugerah atau skim galakan bagi mengikitraf pengiat industri perbukuan negara.

“Perkembangan dunia seni digital dan perkembangan teknologi bukan sahaja menyaksikan produksi layar perak dengan idea sendiri malah mengangkat naskhah percetakan sebagai sebahagian daripada kandungan.

“Menterjemah manuskrip buku kepada telemovie, filem dan drama berepisod di televisyen sudah menjadi fenomena masa kini. Selain daripada SEA Write tiada lagi penganugerahan bersifat serantau dalam kalangan anggota Asia Tenggara. Oleh itu, Anugerah Buku ASEAN yang diperkenalkan mengiktiraf warga kerja industri perbukuan serantau,” katanya.

Penubuhan Akademi Buku Malaysia yang dilancarkan pada 2008 berperanan sebagai pembekal maklumat pintar kepada pengguna tempatan dan antarabangsa. Dengan penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan Malaysia pusat pengeluaran buku dan bahan multimedia yang unggul.

Selain itu, akademi ini juga akan menganjurkan pelbagai program latihan secara intensif, sekaligus melahirkan pengarang dan penerbit yang berwibawa bagi menghasilkan penerbitan yang berkualiti tinggi.

Program lain diadakan YPBN seperti BookTV, Ekspo Buku Malaysia, Seminar Buku Antarabangsa, Kempen Tulis Buku Malaysia, Kempen Jom Baca Malaysia, E-Book, Wakaf Buku, Kelab Penulis Muda Borneo Book Village dan dalam usaha membangunkan Kampung Buku Sedunia di Rungkup, Perak.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 2:15pm
d