hati

Jualan amal Hari Autisme Sedunia

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Membesarkan anak autistik boleh membawa banyak cabaran. Selain tekanan emosi dan kos terapi yang mahal, keluarga juga terpaksa berdepan stigma sosial dan salah tanggapan terhadap mereka.

Walaupun dilahirkan istimewa, mereka juga manusia biasa yang inginkan masa depan seperti insan normal lain.

Oleh itu, selain kesedaran yang tinggi mengenai kekurangan dihadapi, dana juga antara keperluan utama dan diyakini mampu membantu memberikan sinar untuk hidup mereka.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu mendorong Butik Wardia menganjurkan kempen jualan kebajikan sempena Hari Autisme Sedunia dalam usaha mengumpul dana untuk Autism Cafe Project.

Kempen membeli sambil menderma dengan kerjasama jenama tudung Fellora Scarf, Sherry Scarves dan Autisme Cafe Project itu berlangsung sepanjang April dengan sebahagian pembelian akan disumbangkan kepada kafe itu.

Pada pelancaran kempen, acara bidaan skaf edisi terhad oleh Fellora Scarf yang dihasilkan bersama remaja autisme itu turut diadakan dengan hasil lelongan akan disumbangkan kepada Autism Cafe Project .

Acara bidaan turut membabitkan pelbagai produk seperti baju dan gelang yang dihasilkan remaja autisme dari kafe itu.

Pengarah Autism Cafe Project Mohd Adli Yahya berkata, projek kios kafeteria itu bukan berorientasikan perniagaan tetapi menjadi tempat remaja istimewa ini mendapat latihan kemahiran hidup.

Katanya, idea itu tercetus selepas anaknya disahkan autisme dan beliau memikirkan masa hadapannya sama ada mampukah anaknya hidup berdikari.

Inisiatif itu bermula di iM4U Sentral di Puchong pada 2016 dengan objektif utama penubuhan bagi membantu dan membimbing anak muda autisme berdikari serta memperoleh pendapatan selain membina kerjaya untuk diri mereka sendiri.

“Projek ini boleh dikatakan yang pertama dilaksanakan kerana saya memikirkan jika tidak dibuka peluang kerja untuk anak istimewa ini, siapa lagi yang akan membantu mereka.

“Untuk mengurangkan kos, kami juga mendapat khidmat empat sukarelawan yang akan membantu menyelia remaja autisme ini bekerja,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Butik Wardia Ali Ikhwan Mohd Noordin melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat sama-sama membantu dan meraikan insan istimewa menerusi penganjuran kempen sempena Hari Autism Sedunia.

Katanya, bulan jualan kebajikan autisme itu turut membabitkan beberapa jenama terkenal antaranya Sherry Scarves, Marshmallow Scarf, Sofearose, Qaalbee, iBawal, Abam Brand dan Madrehermosa.

“Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kemampuan remaja autisme dalam industri pekerjaan dan menyumbang untuk program pembangunan remaja dan kanak-kanak autisme.

“Bagi menjayakan kempen ini, orang ramai boleh menyumbang dengan membeli barangan di butik Wardia di Melawati Mall dan sebahagian daripada hasil jualan akan diserahkan kepada tabung Autism Cafe Project,” katanya.

Kempen menyasarkan dana berjumlah RM150,000 untuk disalurkan kepada tabung Autism Cafe Project. Dana akan dimanfaatkan untuk membeli van bagi kegunaan aktiviti anak autisme yang bekerja di kafe itu.

Ali berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah kesinambungan daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan anak itu.

Katanya, 10 peratus daripada hasil jualan disalurkan kepada tabung amal untuk dimanfaatkan bersama.

“Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kemampuan remaja autisme dalam industri pekerjaan, bagi menyumbang pembangunan mereka,” katanya.

Sempena Bulan Kesedaran Autisme disambut di seluruh dunia setiap April, banyak aktiviti dijayakan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan golongan autisme dalam pembangunan masyarakat.

Antara aktiviti berkaitan, kempen antarabangsa Light It Up Blue (LIUB) yang dianjurkan di lebih 157 negara.

Pengasas Wacana Autisme, Mumtazah Mustajab berkata, pada peringkat kebangsaan pula Semarak Biru adalah antara inisiatif penjenamaan LIUB anjuran Autism Speaks, New York yang dianjurkan di Malaysia.

Katanya, setiap tahun pada 2 April, bangunan dan mercu tanda bandar di seluruh dunia dinyalakan dengan api berwarna biru.

Beliau berkata, ini sebagai memperingati Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kempen antarabangsa itu mendapat sokongan individu dan pelbagai organisasi, bertujuan memupuk kerjasama erat dalam kalangan warga korporat untuk membantu golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon tanah air, Sherry Ibrahim menerusi jenama tudungnya Sherry Scarves membuka tirai perniagaan dengan penyertaannya dalam kempen kebajikan autisme.

Menurutnya, dia mengambil kesempatan sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun untuk melancarkan koleksi tudungnya bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat agar lebih peka terhadap golongan ini.

Dengan tema ‘Light Up’, Sherry menyeru masyarakat untuk memahami, menyelami dan membantu anak istimewa ini.

“Saya sendiri terpanggil untuk sama-sama menjayakan dan menyambut Hari Kesedaran Autisme Sedunia bersama anak-anak syurga ini dan berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada mereka.

“Sebagai pengasas bagi jenama saya sendiri, saya berbangga kerana dapat turut serta dalam menjayakan majlis ini. Justeru sebagai tanda sokongan dan menghargai anak-anak istimewa ini, sebahagian daripada setiap penjualan produk saya akan disumbangkan kepada Autisme Cafe Project,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 2:23pm
d