hati

Koleksi tudung eksklusif

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Buat julung kali, syarikat runcit kesihatan dan kecantikan Guardian Malaysia dan jenama fesyen tudung terkemuka, Ariani berkolaborasi untuk menampilkan koleksi tudung eksklusif Edisi Lebaran sempena Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Dijual secara eksklusif untuk pelanggan Guardian Malaysia, koleksi itu dihasilkan daripada material berkualiti dengan empat rekaan anggun berilhamkan flora di Malaysia dan paduan warna menarik untuk digayakan lebaran nanti.

Cetakan eksklusif selendang ini hadir dalam empat corak segar dan elegan. Ia dihasilkan daripada material berkualiti yang ringan dan tahan lasak, boleh disuaikan dengan pelbagai gaya, mudah serta selesa dipakai.

Pengarah Barangan Guardian Health And Beauty Sdn Bhd Anna Hull berkata, walaupun Guardian Malaysia adalah jenama kesihatan dan kecantikan, pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami.

Justeru katanya, dalam perancangan untuk Ramadan dan Aidilfitri, syarikat itu percaya pelanggannya ingin memiliki tudung terbaik dan yang lebih utama, pada harga yang memberi nilai kepada wang mereka.

“Untuk mendapatkan tudung ini, tiada pembelian minimum diperlukan. Pelanggan hanya perlu membeli satu produk daripada jenama yang mengambil bahagian, untuk layak membeli mana-mana selendang.

“Antara jenama utama yang mengambil bahagian adalah Dermo Expertise, Maybelline, Pantene, Safi, dan Thymos.

“Jika anda tidak membeli untuk diri sendiri, ia juga boleh diberikan sebagai hadiah istimewa untuk ibu, isteri atau sahabat handai,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani berkata, pengertian kecantikan dari dalam melalui penggunaan produk di Guardian kini dimantapkan dengan pemakaian tudung jenama itu dengan semuanya boleh didapati di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, jenama tudung itu menawarkan pelanggan dengan perincian yang halus dan ia direka bagi memenuhi tiga elemen teras, eksklusif, kesopanan dan kontemporari.

“Bertemakan konsep ‘mekar’, koleksi ini menampilkan empat rekaan anggun iaitu Essential Basic Shawl (kosong), Blush Printed Square (tudung empat segi), Blooming Printed Shawl (selendang), dan paling istimewa, Florescence Premium Shawl,” katanya.

Pelanggan juga layak membeli sebanyak empat helai tudung, iaitu sehelai untuk setiap corak. Pelanggan yang membeli dua produk daripada jenama yang mengambil bahagian pula, layak untuk membeli dua helai tudung untuk setiap corak.

Sepanjang tempoh promosi selama dua bulan bermula 1 Mei hingga 27 Jun, tudung itu boleh dibeli pada separuh harga iaitu antara RM29.90 hingga RM89.90, penjimatan 54 ke 57 peratus daripada harga pasaran yang disyorkan.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:17am
d