hati

Terapi mata, minda

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Ruang tanah yang terhad atau halaman rumah diliputi tar bukan halangan untuk Siti Salasiah Taslim menggunakan kreativiti tersendiri untuk memenuhkan ruang itu dengan pelbagai tanaman.

Malah wanita berusia 43 tahun ini bijak menggunakan ruang yang ada dengan kaedah penanaman hidroponik memandangkan kawasan rumah yang tidak bertanah.

Mula menanam minat dalam hobi berkebun ini sejak tiga tahun lalu, Siti Salasiah bermula dengan menanam pokok daun sup selepas anak kecilnya mula makan dan menggemari sup.

Katanya, hidangan sup yang dibuat wajib ditabur daun itu dan dia semakin seronok menanam tumbuhan itu lebih-lebih lagi tanaman itu boleh dipetik segar jika mahu memasukkannya ke dalam masakan.

Selain itu katanya, dia juga mula menanam sayuran seperti sawi, tomato, aneka jenis cili, bayam Brazil, kunyit, kesum, limau purut dan kucai selain ulam-ulaman seperti selom dan ulam raja.

“Bagi saya, hobi menanam ini sangat bagus bukan saja dari segi ekonomi terutama buat suri rumah kerana dapat berjimat, tidak perlu membeli sayur malah ia sebagai terapi mata dan minda.

“Saya dapat kepuasan dan berasa tenang dengan hanya melihat pokok cili yang membuahkan hasilnya selain perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila melihat tanaman subur.

“Selain itu, hobi ini bagus untuk anak yang gemarkan gajet. Apabila kita menunjukkan contoh yang baik, ia akan mempengaruhi minda anak. Saya dedahkan anak-anak dengan pokok, tanah, siput, cacing dan ulat. Saya rasakan inilah masanya untuk mendidik mereka mengenal alam sekitar kerana ramai anak zaman ini yang tidak tahu pun bentuk dan jenis pokok,” katanya.

Wanita yang menetap di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor ini juga berkata, hasil tanamannya itu digunakan sendiri dan sering memberinya kepada jiran tetangga untuk merasainya bersama-sama.

Dia juga jarang menjual anak pokok. Jika ada yang meminta, dia hanya memberikannya secara percuma.

Baginya, dia cukup bertuah kerana suami dan anak lelakinya banyak membantu membina rak dan batang paip kerana ruang kosong di rumahnya sudah diratakan dengan tar dan dia perlu menanamnya secara hidroponik dalam polibeg.

“Banyak juga kumpulan menanam yang saya sertai di laman sosial untuk berkongsi pengalaman dan maklumat. Antaranya kumpulan kebun Qonita Sofea, Group Kebun Kecil, Group Kebun Bandar dan Kebun Kampung Tanam Sendiri.

“Bagi yang menanam secara hidroponik, pastikan tiada jentik-jentik dan botol ditutup rapi dengan pita pelekat selain sentiasa membersihkan kawasan persekitaran. Kita juga perlu rajin menyiram, membaja dan membersihkan kebun,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 11:18am
d