hati

Bina empayar kecantikan

Oleh HM Digital

Meninggalkan kerjaya yang disayangi, apatah lagi dalam bidang profesional seperti kedoktoran bukanlah keputusan mudah untuk dibuat sesiapa saja.

Hanya mereka yang benar-benar nekad mampu membuat keputusan sukar itu selepas melakukan pertimbangan sewajarnya demi mencapai impian atau matlamat dalam kehidupan.

Situasi itu pernah dirasai Dr Maryam Aziz yang mengambil keputusan melepaskan jawatannya kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarganya.

Baginya, keputusan itu bukan mudah namun dia rela berundur agar dapat meluangkan masa bersama keluarga berikutan kekangan tugas, tambahan pula suaminya, Dr Athiq Marzuki turut berkecimpung dalam bidang sama.

Menamatkan zaman bujang ketika berada di tahun ketiga pengajiannya dan melahirkan anak sulung ketika di tahun akhir tidak pernah disesalinya, malah wanita ini bahagia dengan kehadiran dua anak lelaki dan menjadi isteri kepada seorang suami yang begitu penyayang.

Dia pernah bertugas sebagai doktor perubatan di klinik dan hospital kerajaan selama lima tahun sebelum berhenti kerja dan sejak itu dia mula berjinak-jinak dalam jualan suplemen kecantikan.

“Selama berada di rumah menguruskan keluarga, saya mula terfikir untuk meneruskan impian dalam bidang kecantikan dengan menghasilkan produk kecantikan.

“Saya memang suka apa saja yang berkaitan dengan kecantikan semula jadi malah mempunyai pengalaman bekerja di klinik dermatologi dan bercita-cita menjadi ahli estetika. Saya pernah menanam impian membuka pusat estetika sendiri.

“Dari sini, bermulalah perjalanan saya dengan mengasaskan jenama sendiri, Mary Jardin untuk membantu semua wanita menikmati kemewahan kulit dan kosmetik semula jadi.

“Tujuan saya untuk membantu dan memperkasakan wanita serta membuat mereka berasa yakin dengan produk yang selamat,” katanya.

Ditubuhkan pada September 2016, Jardin Beauty Sdn Bhd adalah syarikat milik Dr Maryam yang mengeluarkan produk penjagaan dan kecantikan kulit berasaskan bahan semula jadi.

Bermula dari rumah, Dr Maryam merumuskan dan menghasilkan produk penjagaan kulit daripada bahan organik di dapurnya sendiri.

Selepas hampir setahun, dia bersama suaminya yang juga pengasas bersama syarikat itu memiliki kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Alor Setar, Kedah bagi menghasilkan produk dalam skala besar.

Menurutnya, dia cukup bertuah kerana suaminya memberi sokongan penuh terhadap keputusannya membina empayar kecantikannya sendiri malah mereka saling bekerjasama dalam menghasilkan produk terbaik untuk pelanggan.

Selain produk penjagaan dan kecantikan kulit, jenama itu turut menjual tudung bagi melebarkan sayap perniagaan.

Seiring kehendak pengguna masa kini yang arif memilih produk bebas kimia, baru-baru ini mereka melancarkan koleksi produk kosmetik Mary Jardin Artisan Cosmetic (MJAC) yang ditambah adunan formulasi berasaskan bahan semula jadi.

Dua produk kosmetik ditampilkan kali ini adalah bedak asas dan kemasan bedak asas khas untuk wanita ingin bersolek cantik tetapi kelihatan semula jadi.

“Produk ini menampilkan formulasi produk kosmetik berkualiti dan dijamin tahap keselamatan serta kebersihannya, sekali gus memasarkan produk buatan tempatan bertaraf global.

“Kami menggunakan bahan semula jadi premium bagi memastikan penjagaan kesihatan kulit sepanjang pemakaian produk kosmetik ini,” katanya. - Yusliza Yakimir Abd Talib

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 12:23pm
d