hati

'Dulu main sebut saja'

Oleh Siti Zarinah Sahib

Dari kejauhan kedengaran bacaan al-Quran pasangan suami isteri, Rosland Mohd Nor, 65, dan Munira Mohd Salleh, 62, di kediaman mereka di Setapak, Kuala Lumpur.

Sambil memperbetulkan bacaan di hadapan seorang guru muda, Mohamad Afif Rosli, 23, kedua-dua pasangan ini kelihatan bersungguh-sungguh membaca buku Iqra tiga walaupun sudah lanjut usia.

Hampir enam bulan mengikuti kelas mengaji di rumah bersama Mohamad Afif, sedikit demi sedikit mereka mampu memperbaiki bacaan daripada mengenal, membunyikan huruf sehingga boleh membaca dengan baik.

Menurut Rosland, keinginan mendalami al-Quran sudah lama terpendam, tetapi disebabkan masalah kesihatan kerana penyakit darah tinggi membuatkan impian itu sering tertangguh. Dia juga pernah mengikuti kelas yang diadakan di surau berhampiran rumah namun tidak konsisten. Malah membaca dalam jumlah bilangan yang ramai membuatkan dia tidak dapat memahami dengan baik.

“Akhirnya saya dan isteri tidak dapat meneruskan kelas. Apabila anak saya mengambil guru mengaji menerusi program kelas mengaji datang ke rumah, saya terus bersetuju. Pada Disember 2017 kelas pertama diadakan sehinggalah sekarang,” katanya yang bermula dengan buku Iqra satu dan kini meningkat ke Iqra tiga.

Menyedari bacaannya yang kurang lancar membuatkan keinginan Rosland bertambah untuk memperbaiki diri. Setiap kali ada majlis kenduri dan memerlukan bacaan Yasin dialunkan, Rosland amat sedih kerana tidak mampu membaca dengan baik. Bukan dia tidak belajar mengaji sejak kecil, tetapi separuh jalan saja.

“Zaman dulu berbeza dengan sekarang kerana sejak kecil anak-anak sudah didedahkan dengan al-Quran dan tajwid yang betul di sekolah. Berbeza kanak-kanak pada zaman dulu, kami hanya belajar di rumah atau ke rumah guru mengaji. Tetapi, kami tidak dapat pendedahan ilmu tajwid secara jelas. Sekadar boleh membaca saja. Jadi perkara ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Sekiranya tidak mengambil inisiatif untuk belajar sendiri terasa amat rugi,” katanya.

Menerusi Kelas Mengaji Datang ke Rumah, Rosland dan Munira lebih terbuka bertanya mengenai pelbagai kemusykilan tanpa rasa segan. Guru pula dapat memberikan sepenuh tumpuan kerana mengajar dalam kelompok kecil. Pengajaran berlaku dalam dua hala dan mereka mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan.

Tambah Munira pula, dia gembira kerana dapat mengakhiri sisa hidup dengan mendalami al-Quran bersama suami. Walaupun kelas diadakan hanya seminggu sekali selama satu jam, banyak perkara dapat dipelajari dan diperbaiki.

“Kini baru sedar banyak kesalahan yang kami lakukan selama ini. Terutama sebutan huruf. Dulu saya ‘main’ sebut saja janji ada bunyi, rupanya apa yang dibaca itu salah. Perlu mengikut makhraj dan tartil yang betul. Alhamdulillah, Allah bagi kesedaran dan kelapangan masa kepada kami berdua untuk mempelajari al-Quran.

“Jangan rasa bila diri sudah tua tidak perlu memperbaiki bacaan. Inilah masanya, sekurang-kurangnya banyak kesalahan boleh diperbaiki. Apabila membuka helaian kitab Allah ini jiwa lebih rasa tenang kerana dapat melunaskan tanggungjawab sebagai hamba-Nya yang diwajibkan belajar sekiranya tidak tahu,” katanya yang tetap meneruskan kelas mengaji seperti biasa sepanjang Ramadan ini.

Mengakui ada masa terlupa dengan pengajaran yang diberi, namun setiap kali kelas dia dan suami berusaha untuk fokus dan bertanya sekiranya kurang faham. Munira dan suami juga akan cuba meneruskan pengajian sehingga mereka benar-benar menguasainya dan membaca dengan betul.

SAMPAI DAKWAH MENERUSI AL-QURAN

Ketika menjadi tenaga pengajar di Pusat Permurnian Akidah Ulu Yam, Selangor, Muhammad Sheikh Bukhari Muhd Arif, 27, melihat kebanyakan penghuni terdiri daripada dewasa dan kanak-kanak langsung tidak mahir membaca al-Quran.

Ada tidak kenal huruf, masih bertatih membaca dan tidak mengikut tajwid yang betul. Di sekolah walaupun penekanan subjek al-Quran diberi namun guru tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian disebabkan bilangan murid terlalu ramai.

Memiliki kemahiran menguasai al-Quran, ditambah pengalaman sebagai tenaga pengajar membuatkan Muhammad Sheikh mula memenuhi permintaan ibu bapa untuk mengajar anak mereka di rumah. Pertambahan bilangan murid membuatkan dia tidak lagi mampu mengunjungi ke setiap lokasi disebabkan jarak yang jauh.

“Bermula dari situ saya bersama seorang rakan memikirkan kaedah terbaik agar matlamat menyampaikan dakwah menerusi al-Quran dapat dilaksanakan. Lalu kami mencipta akaun Instagram Kelas Mengaji Datang ke Rumah dan Home Tutor Agama Diperlukan di bawah syarikat BF Smart Services bagi merealisasikan impian ini.

“Ia juga bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini yang sangat menekankan ilmu Fardu Ain dan al-Quran sebagai salah satu daripada keperluan hidup bagi membina sahsiah diri. Tidak sangka sejak awal 2017, Kelas Mengaji Datang ke Rumah mula dikenali dan mendapat sambutan bukan saja golongan kanak-kanak, malah dewasa dan warga emas,” katanya.

Menurut Sheikh lagi, dia sedia maklum disebabkan kebanyakan suami isteri bekerja dengan kekangan masa jadi keinginan untuk mendalami al-Quran terpaksa dilupakan. Walaupun ada kelas diadakan di masjid atau surau, namun masa pula tidak sesuai. Faktor lokasi turut menjadi masalah untuk individu datang belajar.

“Selain itu, ada juga mengakui belajar secara beramai-ramai membuatkan individu berasa malu terutama apabila bercampur dengan golongan muda. Rasa rendah diri sekiranya tidak dapat membaca al-Quran dengan betul sentiasa menguasai diri. Ini juga antara sebab mereka tidak datang belajar,” katanya.

Mengulas mengenai kelas mengaji yang diadakan, jelas Sheikh, ia bukan saja memberikan kelebihan kepada mereka yang menyertainya tetapi juga membuka peluang pekerjaan baru. Ini kerana semua tenaga pengajar adalah dalam kalangan pelajar yang mempunyai kemahiran menguasai al-Quran.

“Banyak keistimewaan individu yang mengikuti kelas ini, antaranya menjimatkan masa kerana guru akan terus ke rumah pelajar, boleh menguasai al-Quran dengan baik serta ilmu lain yang turut disampaikan seperti bacaan ketika solat dan hafazan.

“Menerusi program ini secara tidak langsung kami juga membuka peluang pekerjaan kepada anak muda yang masih belajar atau baru saja menamatkan pengajian bagi bersama-sama membantu menyebarkan dakwah melalui al-Quran. Ia bukan tertumpu kepada mereka yang memiliki diploma atau ijazah dalam bidang agama tetapi sesiapa saja yang layak. Kami akan meneliti latar belakang dan pengalaman tutor terlebih dahulu sebelum mengambil mereka sebagai guru,” katanya.

Menurut salah seorang tutor kelas mengaji datang ke rumah, Mohamad Afif Rosli, 23, dia berminat menjadi salah seorang guru al-Quran bukan saja kerana ingin menambah pendapatan, sebaliknya ingin berkhidmat kepada masyarakat. Masih menuntut dalam jurusan ijazah pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kerjaya sambilan sebagai guru mengaji bermula sejak dia menjalani latihan amali di Pahang pada tahun lalu.

“Saya menjalani latihan amali di pejabat agama selama tiga bulan. Masa bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang menyebabkan saya mempunyai banyak masa terluang. Jadi saya menawarkan diri menjadi guru mengaji untuk tiga pelajar berusia enam, 10 dan 11 tahun. Sekembalinya saya ke kampus, semangat untuk berbakti kepada masyarakat menyebabkan saya menyertai kelas mengaji datang ke rumah sebagai tutor,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 9:00am
d