hati

Francisca tebal jiwa 'kampung'

Oleh Siti Zarinah Sahib

Mengenali wanita ini, banyak perkara yang menjadi perbualan, daripada isu perniagaan sehinggalah politik, semua mendapat perhatiannya. Namun berkali-kali dia memberi penekanan pentingnya berpegang kepada nilai tradisi dan adat yang membentuk peribadi seseorang menjadi apa yang mereka inginkan.

Bagi pengasas jenama Frankitas, Francisca Turner Shaik, 39, walaupun luarannya dia kelihatan moden, naluri dan jiwanya sangat bersifat kekampungan. Bermain permainan kampung, mandi air perigi, mandi sungai dan memasak menggunakan kayu api antara perkara yang sangat dirindukan hingga kini. Sebab itu walaupun sudah menjelajah ke hampir seluruh negara di dunia tetapi jiwa dan hatinya tetap kepada kehidupan di kampung.

Dia yang dilahirkan di Jakarta dan dibesarkan di Bogor, Jawa Barat, Indonesia sejak kecil didedahkan dengan nilai murni yang menjadi pegangan mereka sekeluarga.

“Ayah seorang yang kuat berpegang kepada integriti dan penerapan nilai murni. Tidak boleh melakukan perkara menyalahi undang-undang, jujur dan ikhlas manakala ibu menekankan kepada kasih sayang, sopan santun, bertanggungjawab dan berbuat baik kepada semua orang. Hal ini sentiasa diberi penekanan sehingga ia menjadi kuat dan menebal di dalam diri,” katanya memulakan bicara.

Melancarkan jenama Frankitas sejak empat tahun lalu, ia lahir daripada menifestasi kekuatan dan ingin mengabadikan zaman kanak-kanak ketika dibesarkan di Bogor.

Jelasnya, pengaruh Indonesia oleh datuk dan nenek sangat kuat dalam dirinya. Mereka sering menekankan agar Francisca tidak melupakan asal-usul dan budaya yang dipegang selama ini. Jadi walaupun pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar terkenal Amerika Syarikat namun jati dirinya masih kepada budaya dan tradisi.

Tuturnya lagi, sepanjang bertugas di akhbar terkenal termasuk New York Times dan USA Today dia berpeluang bertemu dengan ramai individu daripada golongan bawahan, pengarah urusan, sehingga perdana menteri. Semua ini memberikan pengalaman berharga kerana dia dapat mempelajari pengalaman orang lain menerusi penceritaan.

“Kerjaya wartawan banyak memberikan pengalaman berharga. Saya suka mempelajari sesuatu menerusi kisah orang lain. Ini membuatkan saya menjadi lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki. Namun selepas melangsungkan perkahwinan dan ada anak, saya mula berasakan keluarga menjadi keutamaan. Saya rela melepaskan kerjaya sebagai wartawan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

KEKALKAN ADAT DAN BUDAYA

Pernah bertugas di Madrid Sepanyol, Syria, Jamaica dan beberapa negara Asia yang lain Francisca belajar pelbagai budaya dan warisan masyarakat. Lalu sedikit demi sedikit dia menjadi pengumpul tekstil di beberapa negara termasuk Asia.

“Saya dapati kain tradisi ini sangat cantik. Ikat misalnya adalah kain terkenal dari Indonesia, begitu juga batik dan songket dari Malaysia yang cukup berseni dan terpelihara sehingga kini. Kesemua fabrik ini saya kumpulkan dan simpan untuk dijadikan khazanah peringatan berharga,” katanya.

Menceritakan bagaimana Frankitas bermula, apabila anak bongsunya berusia dua tahun, dia kembali merindui untuk bekerja. Otak mula ligat berfikir apa yang boleh dilakukan. Lalu saya terpandang pelbagai fabrik yang dikumpul dari seluruh dunia.

“Saya bercadang menghasilkan rekaan beg menggunakan fabrik tradisi ini. Saya percaya apa yang cuba dilakukan ini penting untuk masa depan, agar tradisi seni halus ini kekal dan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi lain. Saya juga mahu mereka faham asal usul dan dari mana mereka datang,” katanya.

Jelasnya lagi, Frankitas melambangkan budaya Asia yang penuh kelembutan dan kesopanan. Ia bukan sekadar rekaan sebaliknya penceritaan di sebalik pembuat tekstil ini adalah lebih penting. Ada berasal dari Lombok, Indonesia, Uzbekistan, Afrika, Kelantan dan Terengganu. Ia perlu diangkat dan dipaparkan sebagai hero. Setakat ini Frankitas yang menghasilkan beg, tas tangan, alas kusyen, lapik meja dan selendang sudah berada di Sepanyol, Tokyo Jepun, Singapura, Thailand, Indonesia dan Maldives.

“Sudah tentu menerusi penghasilan pelbagai jenis kain dan corak ia dapat mengingatkan kita mengenai sejarah dan budaya masyarakat. Ia sangat penting dikekalkan untuk disampaikan kepada generasi akan datang,” katanya yang memiliki Galeri Frankitas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

AJAR ANAK MENGENAI ADAT DAN AKHLAK

Mempunyai tiga cahaya mata, Francisca sering menggalakkan anak-anak fasih bertutur bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, walaupun mereka dihantar bersekolah di sekolah antarabangsa. Selain itu setiap dua tahun sekali mereka perlu pulang ke Bogor bertemu saudara-mara dan kawan supaya tidak melupakan asal usul dan sejarah keluarga.

“Inilah yang saya lakukan untuk anak-anak agar tidak hilang jati diri. Pengaruh kemodenan sangat besar, sebab itulah saya amat mementingkan perkara ini kerana jika tidak dijaga anak-anak akan hilang nilai kesopanan dan

akhlak. Saya tidak mahu mereka lupa daratan. Sebab itu saya lebih menekankan kepada sopan santun, akhlak dan berbudi bahasa berbanding mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Saya juga akan pastikan anak menziarah orang yang lebih tua, melihat kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik supaya mereka tahu bersyukur. Alhamdulillah saya dapat memberikan kesenangan tetapi saya mahu kesenangan ini tidak membuatkan mereka lupa diri sebaliknya mempunyai keinginan membantu orang lain,” katanya yang akan pulang ke Bogor bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Francisca, dia dan suami pernah berhari raya di Kuala Lumpur tetapi sangat merindui suasana kampung di Bogor.

“Di sana lebaran sangat meriah. Sepanjang malam kedengaran takbir di masjid, kanak-kanak mengunjungi rumah saudara -mara, bermain bunga api pada malam raya. Juadah pula meriah dengan pelbagai masakan seperti ketupat dan rendang. Saya sangat rindukan masakan kampung apabila raya menjelang,” ujarnya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 9:32am
d