hati

Tiada had masa

Oleh HM Digital

Cantik pada diri seseorang itu lebih menyerlah sekiranya ia digabungkan dengan kesihatan menyeluruh. Tidak ada gunanya rupa paras cantik namun tubuh lesu dan tidak bermaya.

Tidak dapat disangkal, setiap wanita tanpa mengira usia perlu ada masa untuk diri sendiri terutama berkunjung ke spa kecantikan, pusat kecergasan atau ke mana saja lokasi digemari.

Ia bukan saja kaedah melegakan tekanan, malah ia juga amat diperlukan bagi memastikan badan dan minda mempunyai sedikit ruang untuk berehat.

Bertujuan membantu setiap wanita tampil cantik dan sihat, Sari Cantik Ibu Enterprise di Medan Mara, Kuala Lumpur sejak 1995 menawarkan kaedah rawatan Ibu Terapi yang mempunyai banyak manfaat untuk kecantikan serta kesihatan.

Dihias indah dan mempunyai susun atur kemas, spa yang diasaskan Norazilawati Muhamad itu bukan saja memfokuskan untuk kecantikan pelanggan malah turut membantu dari segi kesihatan.

Menurut Norazilawati, dengan berkonsepkan tradisional Melayu, pihaknya menawarkan teknik memperbetulkan urat saraf melalui titik rangsangan.

“Ia menggabungkan tiga kecergasan utama manusia iaitu kecerdasan emosi, fizikal dan rohani. Rawatan ini akan dilakukan saya sendiri yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini.

“Seperti yang saya katakan, rawatan ini lebih kepada membantu mendapatkan tahap kesihatan terbaik kerana saya percaya kecantikan akan lebih terserlah sekiranya individu itu sihat,” katanya.

Norazilawati berkata, kaedah rawatan itu lebih memfokuskan kepada penghidap masalah strok, tekanan, cakera tergelincir, migrain juga berkaitan urat saraf.

“Tempoh rawatan ini tidak mempunyai had masa kerana ia bergantung kepada jenis masalah individu terbabit. Syukur, selepas bertapak hampir 24 tahun dalam bidang ini, saya cuba membantu ramai individu yang mahu kekal sihat.

“Atas sebab itu juga, setiap pelanggan yang datang akan diperkenalkan dengan rawatan ini berbanding rawatan lain kerana saya yakin kecantikan luaran yang diinginkan wanita itu tidak akan menyerlah sekiranya mereka tidak sihat secara dalaman,” ujarnya.

Katanya, rawatan Ibu Terapi dilakukan bukan secara mengurut tetapi melalui kaedah mencari titik rangsangan dengan cara akupuntur.

“Ini satu kaedah rawatan lain dari yang lain dan pelanggan akan diberikan penerangan dengan jelas mengenai kaedah rawatan sebelum memulakan rawatan.

“Jangan risau, kerana ia selamat dan tidak menyakitkan. Saya mahu terus membantu semua wanita kekal cantik dan sihat melalui kaedah ini,” katanya.

Menurutnya, selain rawatan terbabit, pihaknya turut menawarkan semua rawatan sama dengan spa lain antaranya urutan tradisional, rawatan wajah aura seri, totok wajah, mandi tujuh aura bunga, rawatan kuku, solekan, sental dan bertangas.

“Disebabkan kami berusaha membantu semua wanita tanpa mengira usia dan status, harga ditawarkan bermula RM15 hingga RM650 bergantung kepada jenis rawatan dilakukan.

“Dengan tiga juru terapi bertauliah dan saya sendiri, semua rawatan di sini dijamin selamat dan mampu membantu setiap pelanggan yang datang dan mempunyai kemahuan tersendiri,” ujarnya.

Menurutnya, dia berharap dapat mewujudkan kelainan konsep spa dengan rawatan Ibu Terapi yang dibawa selain dapat membantu merealisasikan impian setiap wanita untuk tampil cantik dan sihat. -Siti Nadirah Hafidzin

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 11:33am
d