hati

Kecekalan arwah datuk beri inspirasi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Penuh visi dan misi. Itu yang terlintas di fikiran saat menemu bual wanita ini. Ketika melangkah masuk ke studio Jalan Riong kelmarin, Rosnawati Salleh, 44, pantas mesra menyapa jurugambar. Wanita ini memang dikenali ramai pengamal media kerana banyak terbabit dalam kerja di belakang tabir sejak dulu.

Mengakui terlibat dalam dunia perniagaan selepas melihat kecekalan arwah datuknya menguruskan banyak ladang, estet dan kebun, ibu kepada empat anak ini rupanya memiliki semangat tinggi.

Kata jurugambar studio hari itu, Rosnawati yang dipanggil Kak Rose dulu memang kerap datang ke Balai Berita NSTP untuk menyolek artis yang menjalani penggambaran. Jadi, tidak hairanlah jika wanita ini tidak henti disapa rakan wartawan sepanjang berjalan masuk ke studio.

“Jualan pertama saya adalah rambutan dari kebun datuk. Setiap kali tiba musim buah, saya akan ke dusun dan memetik rambutan. Di sini biasanya datuk berurusan dengan peraih Cina. Mereka akan datang mengambil buah dengan lori. Sambil itu, saya akan petik dan ikat rambutan untuk dibawa ke sekolah,” katanya memulakan perbualan.

Ada waktunya, dia juga memanjat pokok dan mengutip jambu batu. Sehinggalah apabila menyambung pelajaran di sekolah berasrama, Rosnawati akan meminta ibunya membuat kerepek pisang untuk dijual.

“Biasanya, belum sempat tiba ke pekarangan asrama, kerepek sudah pun habis terjual di pintu masuk. Itulah yang membuatkan saya suka berniaga. Kemudian, habis saja sekolah, saya melanjutkan pelajaran dan mula bekerja.

“Nak dijadikan cerita, saya juga berkahwin awal iaitu pada usia 19 tahun. Masa itu saya baru hendak masuk universiti. Saya berkahwin atas prinsip tidak mahu menjalinkan hubungan cinta secara bebas. Mungkin kerana pengaruh dan didikan keluarga yang mengajar saya untuk selalu dekat dengan mereka, jadi saya fikir ada eloknya kalau soal cinta tidak dibuat main.

“Saya beritahu kawan lelaki, jika ada yang betul-betul serius untuk menjalin komitmen, eloklah dia bertemu keluarga dan usulkan supaya kami berkahwin. Mana tahu, rupanya ada yang datang berjumpa datuk di Kuala Kangsar dan dialah suami saya sekarang,” katanya tertawa.

Selepas bertunang dan berkahwin, Rosnawati nekad untuk fokus kepada keluarga, sementara suaminya pula meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

“Saya begitu optimis untuk membina keluarga dan memiliki anak. Pada masa sama, saya ligat memikirkan pekerjaan sesuai. Akhirnya saya pilih untuk berniaga. Saya tahu, kalau bekerja dengan majikan, mungkin susah untuk bawa anak bersama.

“Perniagaan paling mudah ketika itu adalah menyolek orang. Tetapi saya bukanlah orang yang pernah belajar ilmu solekan. Saya tidak tahu bagaimana untuk mekap orang dan paling utama, saya tidak suka mengenakan solekan,” katanya.

Rezeki terpijak

Ketika sibuk mencari kelas untuk menyambung pelajaran dalam bidang kecantikan, Rosnawati termenung. Pilihan yang ada terlalu mahal. Mengenangkan dirinya menjadi isteri orang, dia jadi malu untuk meminta wang atau bantuan keluarga.

“Mungkin sudah rezeki, saya ternampak iklan syarikat pengeluar produk kosmetik dan penjagaan diri di akhbar mencari calon perunding kecantikan untuk ditemu duga.

“Soal tidak ada pengetahuan dan pengalaman saya letak ke tepi. Apa yang penting adalah mencuba. Syukur selepas mencuba nasib, saya diterima sebagai perunding kecantikan. Sepatutnya jawatan ini perlu ada sijil kelayakan, namun tuah dan rezeki menyebelahi. Saya hanya bermodalkan jawapan jujur saja,” katanya.

Enam bulan pertama, Rosnawati diberi latihan kecantikan dan penjagaan diri dari hujung rambut ke hujung kaki. Memandangkan perunding kecantikan bertanggungjawab memberi khidmat nasihat, dia perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan terbaik.

“Saya bekerja dengan syarikat berkenaan tidak lama. Selepas setahun, saya ambil keputusan berhenti. Saya gunakan segala ilmu dan kemahiran diri untuk menyolek dan menawarkan rawatan kecantikan.

“Saya mula menyolek kawan dan saudara. Apabila ada pendapatan lebih sedikit, saya menyambung pengajian diploma di akademi kecantikan. Belajar sendiri juga banyak cabaran. Apa saja perkongsian dan peluang akan saya rebut.

“Selepas bidang solekan, saya melebarkan khidmat sebagai perancang perkahwinan. Tidak perlu kedai atau pejabat, semuanya saya lakukan dari rumah saja. Saya memang tidak mahu meminta duit daripada keluarga. Kerana cita-cita menggunung, saya kumpul duit dan buat studio di rumah sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang rawatan spa dan solekan,” katanya.

Buka butik

Kata orang, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Duit simpanan dan ilmu pengetahuan dijadikan modal untuk Rosnawati membuka kedai pertama, JR Salon. Salun ini lebih kepada dandanan rambut sebenarnya. Mekap pengantin hanya sampingan.

“Bagaimanapun, di Petaling Jaya dulu memang banyak kilang. Pemilik salun Melayu pula hanya saya seorang. Mungkin sebab nama salun yang umum dan orang tidak tahu pemiliknya Cina, Melayu atau India, saya terima banyak pelanggan. Apabila pelanggan berpuas hati dengan khidmat dandanan, mereka datang secara tetap.

“Melihat perkembangan JR Salon, saya mengatur selangkah lagi ke depan dan membuka butik pengantin di Petaling Jaya. Kekal dengan nama sama, butik ini lebih besar dan lengkap dengan salun, spa dan studio bergambar.

“Di situlah saya betul-betul bergerak. Karier saya juga menyinar sebagai jurusolek artis. Tujuh tahun saya membina jenama dan perniagaan saya dilimpahkan rezeki sehingga tidak menang tangan melayan tempahan pelamin.

“Buat seketika, saya lupa. Saya upah ramai pekerja untuk memenuhi tempahan pelanggan. Sehinggalah suatu hari, seorang pekerja mengalami kemalangan dalam perjalanan pulang ke kampung kerana terlalu penat,” katanya.

Rosnawati berkata, kejadian itu membuatkan dia berfikir dua kali. Pekerja yang disangka menghilangkan diri rupanya terlantar koma di hospital. Patutlah anak muda itu tidak muncul mengotakan janjinya untuk kembali bekerja.

“Memang saya tidak bagi dia pulang ke kampung sebab kami semua tidak tidur menyiapkan pelamin. Tetapi dia tetap mahu pulang dengan alasan ibunya sudah menunggu.

“Bimbang kejadian sama berulang, saya nekad berhenti menawarkan khidmat sewa pelamin. Saya takut andai kerja keras saya menjejaskan kehidupan dan keluarga orang lain,” katanya.

Kebetulan, Allah SWT melorongkan Rosnawati dan suami, Johar Mohd Noor, 49, untuk membuka kilang sabun sendiri. Yakin dengan pengalaman dan ilmu yang ada, Johar pula mengambil keputusan untuk berhenti dan sama-sama memajukan kilang.

Perjalanan yang disangka mudah rupanya penuh liku. Pelbagai konflik terpaksa dilalui pasangan suami isteri ini. Empat anak yang masih kecil turut membawa cabaran besar.

“Ketika jatuh, memang kawan ramai hilang. Namun masih ada sahabat bangsa lain yang sudi menghulurkan tangan. Mereka menegur supaya kami lebih fokus. Katanya, kalau hendak buka kilang, kami perlu fokus kepada kilang saja. Tidak boleh lakukan dua kerja dengan mengeluarkan produk jenama sendiri.

“Mahu tak mahu, saya terpaksa akur. Kami tersungkur kerana terbabit dengan pinjaman along. Anak ketakutan sehinggakan saya terpaksa berterus terang. Namun untuk berkongsi dengan keluarga adalah mustahil. Saya tidak mahu mereka tahu dan berasa terbeban,” katanya.

Hari ini, selepas melalui banyak dugaan dan jatuh bangun dalam perniagaan, Rosnawati mampu kembali tersenyum. Selain kilang sabun, dia kini memiliki dua lagi syarikat yang dibina atas usaha gigih demi mencapai cita-cita sebagai usahawan wanita berjaya.

“Saya kembali kepada cabang kecantikan dengan misi untuk melahirkan lebih ramai jurusolek artis yang bijak berniaga. Kita mahu kerjaya ini terus mendatangkan pulangan walaupun mereka sudah bersara kelak.

“Menyokong aspirasi itu, saya juga tubuhkan Persatuan Jurusolek Artis Bumiputera Malaysia (MBMUAA) dan menyandang jawatan presiden. Persatuan ini dianggotai lebih 300 juru solek dan pengasas produk kosmetik.

“Memandangkan saya sendiri banyak mengendalikan latihan di bawah agensi kerajaan, sudah pasti banyak manfaat dan kerjasama pintar yang boleh dilakukan di masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 2:07pm
d