hati

Bangga jual produk tempatan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Susuk tubuh wanita ini sering dilihat berkebaya manis di kaca televisyen. Rancak berceloteh mengenai produk keluaran syarikat, di samping berbicara mengenai pasaran kerja untuk sesiapa saja yang mahu menempa kerjaya sebagai usahawan.

Nama Nurzarina Zakaria, 34, mungkin tidak asing bagi kebanyakan suri rumah yang gemar menonton program bual bicara di televisyen sambil menguruskan rutin harian. Wanita muda ini jarang tampil berseorangan sebaliknya berpakaian sedondon ditemani suami, Khairilaziry Wahid, 35.

Kesempatan bertemu dengan wanita ini kelmarin membawa banyak perkongsian menarik. Dari jauh, Nurzarina sudah menyambut dengan senyuman lebar. Ramah bertanyakan itu dan ini hingga hilang rasa kekok.

Ternyata anak sulung daripada empat beradik ini seorang yang mudah diajak berbual. Kata Nurzarina, latar belakang dirinya sebagai bekas wartawan penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 sedikit sebanyak mempengaruhi caranya bergaul.

Lebih daripada itu, keyakinan untuk berada di khalayak menjadikan wanita ini seorang individu yang cukup kental dalam mendepani pelbagai cabaran, berfikiran matang, rasional dan optimis dalam membuat keputusan.

Mengimbau titik mula dirinya dalam dunia perniagaan, Nurzarina berkata, dia sebenarnya sudah lama menyimpan angan-angan untuk menceburi bidang itu kerana suka melihat bapanya berniaga sejak kecil.

“Saya masih ingat, kalau dulu, setiap kali bangun pagi saya akan bertanya mak, abah pergi mana? Mak akan jawab, abah pergi berniaga. Mungkin kerana kerap mendengar jawapan sama, secara tidak langsung saya menyimpan keinginan untuk berniaga apabila besar.

“Hari ini, saya sedar memang suka berniaga. Saya suka kerana masa berniaga yang fleksibel dan minat menggunung. Apabila menginjak remaja, saya mencari kerja sambilan untuk mengisi cuti semester.

“Sasaran utama adalah kedai kosmetik. Kedai pertama saya bekerja adalah di Kuantan. Kemudian, saya bertukar ke kedai lain pada cuti semester berikutnya. Begitulah rutin setiap kali cuti. Saya nekad mencari pengalaman sebanyak yang boleh,” katanya.

Menurut Nurzarina, dia seronok apabila melihat bangsa Melayu berjaya dan maju dalam menguruskan perniagaan. Lebih-lebih lagi jika pengusahanya adalah wanita.

“Kejayaan wanita selalu menjadi inspirasi buat saya. Memang banyak cabaran untuk wanita terus berdikari. Namun, usaha adalah jalan terbaik berbanding mengharapkan bantuan suami mahupun keluarga.

“Berpegang kepada semangat yang sama, saya tidak pernah mengeluh walaupun pernah dibayar gaji RM500 ketika melakukan kerja sambilan dulu. Saya langsung tidak kisah soal gaji kerana seronok dapat bekerja dari pagi sampai ke malam.

“Ketika bekerja itulah saya membelek semua produk orang Melayu, melihat apa isi kandungan produk, bagaimana pembungkusan dibuat dan seumpamanya. Saya mudah teruja apabila melihat orang Melayu berjaya dengan perniagaan sendiri.

“Ramai wanita kini menjadi penyumbang ekonomi di Malaysia. Mereka bukanlah datang daripada kelompok graduan berpelajaran tinggi. Lihat saja Allahyarham Datuk Sosilawati dan Junaidah Kiting, mereka adalah wanita hebat yang dulunya berasal dari keluarga susah, tetapi berusaha mengubah cara hidup sehingga bergelar jutawan. Jadi, kenapa saya tidak boleh?” katanya.

Selepas meninggalkan kerjaya sebagai wartawan berita TV3, wanita ini mula memikirkan perancangan seterusnya dalam hidup. Baginya, dia mahu melakukan sesuatu mengikut pilihan dan minat.

“Sejujurnya, saya suka bidang kewartawanan, berjumpa orang dan menulis, tetapi saya mempunyai minat yang lebih besar dalam perniagaan. Saya lebih suka berniaga kerana ia mampu mengubah seluruh kehidupan sesiapa saja.

“Ketika makan gaji, banyak keinginan diri terpaksa diketepikan. Tetapi apabila berniaga, saya bebas mendapatkan apa yang saya mahu kerana tahu bisnes mampu menjana keuntungan setiap hari.

“Cuma, yang penting kita kena pandai menguruskan kewangan dan tahu membezakan untung rugi. Perancangan, kos, perbelanjaan dan hasil perlu diurus dengan baik kerana duit sentiasa masuk. Saya sendiri selalu mengingatkan diri mengenai jumlah modal yang dilaburkan untuk memiliki empayar perniagaan sendiri. Jadi, saya lebih berdisiplin dan bersemangat meneruskan perniagaan.

“Saya perlu dapatkan kembali modal, kemudian barulah menikmati keuntungan hasil titik peluh sendiri. Saya rasa, ramai yang tergelincir di sini. Dapat duit setiap hari dan mudah berbelanja kerana yakin akan menjana keuntungan baru keesokan hari. Mereka bagaikan terlupa pada jumlah modal yang dikeluarkan dulu. Inilah bahagian yang saya betul-betul jaga untuk kekal dalam industri ini,” katanya.

Bermula dari bawah

Berbeza dengan kebanyakan jutawan segera hari ini, Nurzarina berkata, pada awal permulaan perniagaan dia langsung tidak memikirkan soal mengeluarkan produk jenama sendiri.

“Saya menjual produk orang terlebih dulu. Sebagai permulaan, saya menyewa lot kecil dan membuka kedai jamu Reena Zach Beauty di pasar raya besar di Bangi pada 2010. Semua produk di kedai buatan Malaysia.

“Saya bangga menjual produk tempatan kerana mahu lebih ramai menggunakan produk keluaran Malaysia. Kenapa hendak risau sedangkan produk tempatan juga lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), halal dan boleh digunakan tanpa waswas?

“Selepas setahun, ekonomi saya kian stabil. Saya juga sudah mula faham mengenai selok-belok perniagaan, sistem stokis dan sebagainya. Oleh itu, saya ambil keputusan mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama Megah Perawan,” katanya.

Jelas Nurzarina, dia hanya mengeluarkan empat barang iaitu produk kurus, bedak asas, minuman kolagen dan gincu untuk melihat tindak balas pasaran dan tingkah laku pembeli.

“Selepas dikaji dan diamati, saya dapati bahawa pasaran Malaysia tidak mengalu-alukan produk mahal. Daripada dulu sehingga kini, kita sukar meningkatkan jualan jika menjual produk pada harga mahal.

“Andai kita jual produk mahal, ada banyak kelompok yang tidak dapat membeli, terutama suri rumah. Jadi, saya buat keputusan mengeluarkan produk yang orang suka, menepati kehendak semasa dan dijual pada harga murah. Memang saya jual murah sangat. Gincu saya baru RM26, manakala produk kurus hanya RM39.

“Ternyata apabila saya menukar strategi harga, semakin ramai yang membeli. Saya nampak peningkatan ketara. Secara peribadi, saya bukan hendak menjatuhkan perniagaan orang lain, tetapi mengutamakan kuasa beli pengguna,” katanya.

Memandangkan ibu kepada dua anak ini sudah mahir mengenai sistem stokis dan mengenali kelompok pemborong, dia tekad memilih strategi pemasaran efektif menerusi iklan radio, stesen TV termasuk TV3 dan akhbar Harian Metro.

“Semua ini memang menelan belanja yang tinggi. Malah, ramai pengusaha produk tidak sanggup memilih strategi sebegini kerana harganya. Tetapi, saya fikir kenapa kita tidak melabur sedikit untuk pulangan yang lebih besar?

“Saya berpesan pada diri supaya berani untuk mencuba. Kalau tidak, saya mungkin akan terus di takuk yang sama. Menerusi pelaburan inilah saya nampak momentum yang sangat besar. Pernah sekali keluar di kaca TV, saya menerima lebih 10,000 mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Semuanya bertanyakan mengenai produk.

“Apabila sampai di tahap itulah saya mula mencari lebih ramai pekerja dan menambah talian hotline. Enam bulan selepas itu, variasi produk bertambah. Selepas empat tahun, saya mempunyai ramai stokis termasuk dari Singapura dan Brunei,” katanya.

Jelajah negara

Tidak pernah mudah berpuas hati, Nurzarina melihat usahanya memperkasa perniagaan dalam sudut pandangan yang lebih luas. Wanita ini percaya bahawa beriklan saja tidak mampu memenuhi kehendak dan kepuasan pengguna.

Selepas berhempas-pulas mengukuhkan jenama, Nurzarina dan suami sepakat melakukan siri jelajah ke seluruh negara. Biarpun penat, namun usaha luar biasanya itu berbaloi.

“Sebagai pengasas, kita tidak boleh hanya menjual barang. Jika tidak, orang takkan kenal dan mereka mendengar nama saja. Apabila turun padang dan berjumpa pelanggan, mereka beri maklum balas yang cukup positif.

“Selain yakin dengan produk, mereka juga berpeluang bertanya soalan. Bagi saya, adalah penting untuk pelanggan mengenali siapa pengusaha sesuatu produk. Walaupun terpaksa mengusung anak yang ketika itu berusia tiga bulan, saya tidak kisah.

“Rutin menyusukan bayi, membelai dan memerah susu tetap berjalan seperti biasa. Setiap minggu saya akan menjelajah ke satu negeri dan ia tamat dalam tempoh dua bulan. Saya seronok kerana mendapat ramai pelanggan tetap yang bukan saja suka pada produk, tetapi menerima saya dengan baik. Mereka kata tidak ada lagi pengasas yang turun padang sendiri,” katanya tertawa.

Cabaran

Ketika berlakunya lambakan produk tempatan di pasaran kini, Nurzarina tidak mengeluh. Baginya, pengguna kini semakin bijak memilih dan mahukan sesuatu yang mudah dan ringkas berbanding dulu. Berikutan itu, dia dan suami menyusun langkah baru dengan melakukan penjenamaan semula produk.

“Kami bawakan produk penjagaan kesihatan untuk warga emas di bawah jenama Petua Herba. Sementara beberapa produk penjagaan wajah yang lama, diberi sentuhan baru.

“Selain perubahan kehendak, cabaran wanita berniaga selalunya adalah masa. Memandangkan saya perlu keluar pagi setiap hari, jadi pembantu banyak menolong menguruskan anak. Kalau tidak, saya sendiri akan menyiapkan anak.

“Pada sebelah malam, saya akan pastikan bebas daripada sebarang beban kerja untuk fokus kepada anak. Inilah waktunya untuk saya berjumpa mereka, membelek kerja rumah, mengajar dia menyiapkan tugasan, mendengar cerita dan sebagainya.

“Saya beruntung kerana suami sentiasa bersama di sisi. Jadi, tak ada masalah untuk berjumpa walaupun sibuk menguruskan perniagaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 2:14pm
d