hati

Imbas kenangan balik kampung

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, pusat beli belah the Curve turut sama memeriahkan suasana perayaan dengan mengadakan kempen raya yang diilhamkan daripada pengembaraan merentasi negara menaiki kereta api.

Bertemakan Senandung Syawal, kempen raya itu berlangsung dari 18 Mei hingga 17 Jun depan. Sejajar dengan tema itu, suasana stesen kereta api yang diwujudkan di bahagian Centre Court the Curve dilengkapi dengan replika gerabak kereta api untuk penumpang.

Akses ke bahagian dalam kereta api akan dibuka kepada orang ramai dengan 12 kerusi yang tersedia untuk memberikan pengunjung peluang menikmati sendiri pengalaman pengembaraan jarak jauh seperti zaman dahulu kala.

The Curve juga akan menampilkan persembahan khas untuk tontonan umum yang bertajuk Senandung Syawal Dance Musical Show.

Pengunjung pasti terhibur dengan sketsa ringkas dari pelakon berbakat di samping tarian tradisional yang mengasyikkan antaranya joget dan zapin.

Pertunjukan ini memaparkan kisah persahabatan, hubungan keluarga dan keseronokan waktu bersama, disulam dengan lagu klasik nyanyian Allahyarham Sudirman, Saloma dan P. Ramlee.

Pengunjung boleh menyaksikan tarian musikal sepanjang kempen pada jam 1.30 petang dan 4.30 petang pada hujung minggu juga pada cuti umum raya.

Pengurus Besar the Curve Jazmi Kamarudin berkata, Malaysia kaya dengan warisan serta budaya dan pihaknya ingin meraikannya dengan cara yang unik.

“Tradisi balik kampung sudah berkembang sejak bertahun lalu dan kami berasa gembira untuk membawa pengunjung kembali ke zaman silam, yang mungkin masih diingati dari zaman kanak-kanak.

“Kami percaya perjalanan menggamit memori ini akan mengeratkan hubungan keluarga dan kami berharap dapat menyambut hari raya dengan pelanggan setia kami,” katanya.

Selain persembahan tarian musikal, pengunjung the Curve juga boleh menikmati persembahan Eid Musika yang menenangkan. Alunan muzik oleh kumpulan instrumental klasik ini menampilkan pelbagai alat muzik seperti akordion, gitar, biola, seruling serta gambus tradisional.

Dengan lebih 35 kedai jualan berbeza yang menawarkan pelbagai jenis barangan raya, pengunjung mempunyai banyak pilihan di the Curve dari baju raya penuh bergaya dan aksesori juga hamper kuih raya yang lazat.

Bukan itu saja, sepanjang kempen, pengunjung yang berbelanja dengan nilai RM200 dan ke atas dalam maksimum dua resit (RM150 untuk pengguna Presto) akan dapat menebus satu set sampul raya ‘Salam Restu’.

Bantal dan selimut eksklusif dua dalam satu juga boleh ditebus dengan belian minimum sebanyak RM480 dalam maksimum dua resit (RM430 untuk pengguna Presto). Semua penebusan tertakluk kepada terma dan syarat serta boleh didapati sementara stok ada.

Kunjungi laman web www.thecurve.com.my untuk maklumat lanjut mengenai kempen raya ini.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 11:49am
d