hati

Risiko batu karang

Oleh Siti Zarinah Sahib

Hampir tiga minggu berpuasa, mungkin ramai terlupa mengenai tahap kesihatan terutama mereka yang sudah mempunyai penyakit tertentu. Antara penyakit yang sering dilupakan kerana dianggap tidak kronik tetapi lebih membimbangkan semasa berpuasa adalah batu karang di dalam ginjal.

Ini kerana risiko mereka yang mempunyai sejarah penyakit ini selalunya lebih tinggi semasa Ramadan. Ia berpunca daripada penyahhidratan disebabkan kurang minum air sekali gus meningkatkan masalah ini.

Menurut Perunding dan Pakar Bedah Urologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Muhilan Parameswaran, pembentukan batu karang tidak berlaku dalam masa yang singkat sebaliknya mengambil masa enam bulan sehingga setahun sebelum ia menunjukkan tanda tertentu.

“Namun pada Ramadan ini disebabkan kurang pengambilan air dan tidak menjaga pemakanan menyebabkan mereka yang berisiko mudah mendapat penyakit ini. Sebab itu gejala sakit batu karang lebih meningkat semasa dan selepas Ramadan disebabkan saiz batu bertambah, batu mulai jatuh dan jangkitan disebabkan kekeringan badan,” katanya.

Sementara itu batu karang terbentuk daripada bahan kimia tertentu dalam urin berkepekatan tinggi yang membentuk kristal. Lama-kelamaan kristal atau hablur ini melekat seterusnya menjadi batu. Kepekatan air kencing yang tinggi biasa terjadi pada mereka yang sering kali alami dehidrasi kerana kurang pengambilan cecair dan juga pengambilan makanan berprotein tinggi.

“Sebahagian mereka mungkin mempunyai paras bahan ini dalam darah yang lebih tinggi daripada paras normal dan meningkatkan jumlah di dalam air kencing. Jangkitan salur kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang. Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran kelenjar prostat, takungan air kencing menyebabkan berlaku jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang-ulang,” katanya.

Jelas Dr Muhilan, berpuasa boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang disebabkan pengambilan makanan tinggi protein seperti daging yang secara tidak langsung menambah pengeluaran kalsium oksalat dan asid urik dalam air kencing.

Pesakit yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan mengurangkan makanan kaya protein seperti daging merah, makanan laut contohnya udang, ketam dan sotong serta minuman beralkohol.

“Tiada halangan mengambil makanan kaya tenusu dan tinggi kalsium untuk mencegah batu karang jenis kalsium, tetapi biarlah bersederhana. Makanan seperti coklat, kopi dan bayam kaya oksalat dan patut dikurangkan untuk mereka yang berulang kali mendapat penyakit ini,” katanya.

Minum air satu hingga tiga liter sehari dan mengelak pengambilan kopi, teh serta minuman berkarbonat terutama ketika berbuka kerana ia akan mengeringkan badan.

“Berbuka dengan air kosong, kurma atau susu kemudian barulah ambil makanan berat seperti nasi atau roti. Untuk mereka yang bekerja di bawah terik matahari sepatutnya menambah pengambilan air kosong. Minum setengah liter selepas berbuka dan setengah liter sebelum bersahur untuk mengelak badan kekeringan,” katanya.

Dia turut mendedahkan, lelaki lebih berisiko menghidap batu karang berbanding wanita namun kes membabitkan wanita kian meningkat sejak akhir-akhir ini kerana diet tinggi protein yang menjadi amalan mereka.

“Gaya hidup dengan banyak makanan mewah dan mudah diperoleh menjadi penyumbang masalah ini. Mungkin sedekad lalu daging hanya mampu dimakan seminggu sekali atau kurang daripada itu. Tetapi kini daging boleh dimakan pada bila-bila masa,” katanya.

Jelasnya, makanan kaya protein turut menyebabkan badan terpaksa memprosesnya dengan lebih lama. Akibatnya sisa makanan dibuang ke dalam urin.

“Ini menyebabkan urin menjadi pekat, kuning dan berbau manakala campuran garam bersama protein di dalam air kencing akan membesarkan batu karang sedia ada di dalam tubuh,” jelasnya yang menasihatkan pesakit supaya mengambil makanan secara sederhana, minum air kosong dan kurangkan makanan tinggi protein untuk puasa yang masih berbaki ini.

Langkah ini katanya dapat membantu mencegah pertambahan saiz batu karang dan menyebabkan ia jatuh ke dalam saluran kencing, khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi.

Jenis batu karang

Menurut Dr Muhilan, terdapat beberapa jenis batu karang, antaranya kalsium oksalat dan asid urik. Batu jenis struvite pula terdiri daripada magnesium, ammonia dan fosfat bercampur dengan karbonat dikenali sebagai batu jangkitan. Di Malaysia, batu jenis kalsium oksalat, asid urik dan batu jangkitan biasa ditemui.

“Batu karang jenis kalsium oksalat berpunca daripada pengambilan makanan tertentu secara berlebihan, batu karang asid urik pula disebabkan makanan laut. Batu karang struvite pula mengandungi elemen magnesium, ammonium dan fosfat kerana jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu,” katanya.

Batu sistin pula wujud dalam kalangan individu yang tubuhnya tidak berupaya menghasilkan enzim serta cecair kimia pada kadar seimbang untuk memproses makanan. Secara ringkas ia disebabkan masalah genetik.

Dr Muhilan menambah, pada peringkat awal penyakit batu karang tidak menunjukkan sebarang simptom. Ini bermakna pesakit tidak mengetahui mereka mempunyai batu karang sehinggalah berlaku jangkitan atau kerosakan buah pinggang.

“Biasanya ia ditunjukkan oleh demam yang tinggi, muntah dan pening sehingga satu keadaan pesakit terpaksa menjalani rawatan dialisis kerana buah pinggangnya rosak,” katanya.

Katanya, kebanyakan batu karang yang kurang daripada empat milimeter akan keluar dengan sendiri. Namun sekiranya ia tidak berlaku pesakit memerlukan rawatan tertentu. Ini kerana batu itu mungkin membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan.

“Kadangkala batu karang tidak menyebabkan kesakitan tetapi merosakkan fungsi buah pinggang. Oleh itu rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang itu. Jika wujud gejala batu karang, doktor akan menjalankan ujian darah dan air kencing, sinar-X, ultrabunyi dan imbasan Tomografi Berkomputer (CT),” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 3:02pm
d