hati

Bantu wanita berdikari

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hanya dengan usaha sendiri mampu mengubah nasib diri. Prinsip itu dipegang erat anak kelahiran Baling, Kedah ini untuk meneruskan kehidupannya tanpa menoleh ke belakang.

Dia juga memasang impian membantu wanita terutama suri rumah atau mereka yang ingin menambah pendapatan sendiri melalui kemahiran dalam bidang kraf.

Berlandaskan niat itu, Mur Azira Mohd Pakri, 40, tidak mensia-siakan kelebihan ‘tangan seni’ yang dimilikinya dalam bidang kraf untuk memastikan lebih ramai wanita mampu berdikari.

Memulakan bicara, Mur Azira berkata, segalanya bermula selepas dia mengambil keputusan berhenti kerja pada 2014.

“Disebabkan tidak biasa duduk diam tanpa melakukan sebarang pekerjaan, saya mula mencari sesuatu yang bukan saja dapat menjana pendapatan sendiri malah pada masa sama mampu membantu wanita lain.

“Bermula detik itu, saya mula memikirkan apa yang saya boleh lakukan dengan bakat dan minat saya dalam bidang kraf sehinggalah tercetusnya idea untuk menjalankan kelas pembelajaran kraf dan kelas persendirian kraf secara dalam talian,” katanya.

Menurutnya, usahanya mewujudkan kelas pembelajaran secara dalam talian itu sesuai dengan status dirinya yang juga isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.

“Segala yang terjadi pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Pada mulanya hasrat saya berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, namun siapa sangka ini masa yang tepat untuk menyalurkan kemahiran serta ilmu yang ada dalam bidang kraf kepada orang lain.

“Ia amat menggembirakan kerana saya sememangnya memasang impian untuk berkongsi kemahiran dalam bidang kraf. Saya berasa lebih puas dan seronok setiap kali dapat membantu individu lain terutama apabila mereka berjaya menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah mengajar lebih lapan kelas berbeza secara dalam talian untuk pelbagai produk kraf antaranya beg, sulaman dan dompet kepada lebih 1,000 peserta termasuk dari Singapura dan Brunei yang terdiri daripada pelbagai bangsa juga latar belakang pendidikan.

“Saya memilih membuat kelas secara dalam talian iaitu di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kerana ia lebih mudah, praktikal dan sesuai untuk pelbagai lapisan usia.

“Sesiapa saja boleh belajar dan buat masa ini saya amat gembira dengan sambutan diterima dan rata-rata peserta kelas melahirkan rasa puas hati dengan inti pati pengajaran yang saya lakukan,” ujarnya.

Katanya, antara senarai kelas kraf dalam talian dijalankannya adalah Curvy Clutch, Multi Usage Pouch/Make Up Pouch, RPH/File/Book Cover, Bento Bag/Lunch Box Bag, Daily Tote Bag, Basic Boxy Bag, Big Boxy Bag dan Reversible Pleated Tote Bag.

“Sebagai guru kraf pastinya saya mengharapkan setiap apa yang saya kongsikan dapat diguna pakai peserta terutama untuk menjana pendapatan.

“Produk kraf ini istimewa kerana bukan semua individu mampu menghasilkannya dan ia mendapat permintaan yang memberangsangkan,” katanya.

Kraf sebati dalam diri

Bukan saja sibuk mengendalikan kelas pengajaran secara dalam talian, Azira turut menghasilkan pelbagai produk kraf untuk menjana pendapatan.

Menurut Mur Azira, antara produk kraf dihasilkannya adalah kotak pensel, beg bento, beg genggam, beg alat solek, sarung buku, dompet dan sarung fail.

“Saya menyiapkan produk berdasarkan permintaan daripada pelanggan dan terbaru saya banyak menghasilkan produk kraf menggunakan fabrik batik dan permintaannya di luar jangkaan.

“Baru-baru ini saya menerima tempahan bekas pensel batik untuk satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebuah syarikat dan syukur, mereka berpuas hati dengan hasil kraf yang saya hasilkan.

“Walaupun sibuk dengan kelas dan penghasilan produk selain menguruskan suami juga anak, saya sedikit pun tidak rasa terbeban malah melalui hari dengan tenang dan gembira kerana dapat melakukan perkara yang diminati sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, bidang kraf sudah sebati dengan dirinya dan dalam sehari, tangan seninya pasti akan menyiapkan apa saja produk kraf terutama yang ditempah pelanggan.

“Bagi saya setiap individu itu ada minat tersendiri, begitu juga dengan diri saya. Kraf bukan saja membantu saya menjana pendapatan, malah pada masa sama membolehkan saya membantu ramai wanita terutama suri rumah.

“Saya gemar berkarya pada waktu tengah malam kala orang lain lena dibuai mimpi selain ketika anak-anak berada di sekolah kerana pada waktu itu membolehkan saya menyiapkan produk dengan tenang,” ujarnya.

Dia sentiasa memasang impian tinggi dan berhasrat berkongsi lebih banyak kemahiran dan ilmu produk kraf yang lain kepada suri rumah untuk manfaat diri dan seisi keluarga.

“Buat masa ini saya fokus kepada kraf berasaskan batik kerana bagi saya batik mempunyai nilainya dan peminat tersendiri. Saya juga akan mempelbagaikan produk kraf bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

“Selain perniagaan sendiri, saya juga tidak akan berhenti berkongsi kemahiran dalam bidang ini kerana bagi saya, kepuasan sebenar dapat dirasai apabila ramai individu lain dapat menjana pendapatan hasil tunjuk ajar dan bantuan kita,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 1:49pm
d