hati

Solekan sempurna musim raya

Oleh Siti Zarinah Sahib

Siapa tidak ingin solekan tahan lama pada hari pertama Syawal. Tetapi, hakikatnya belum masuk jam 12 tengah hari bedak asas mulai cair dan bertompok-tompok. Celak dan maskara pula mulai gugur satu persatu di bawah mata akibat berpeluh. Ada juga menangis kesedihan disebabkan tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga tercinta. Pelbagai gelagat boleh dilihat menjelang pagi Syawal dengan kerenah masing-masing. Itu belum masuk ibu yang mempunyai anak-anak kecil yang perlu disiapkan.

Namun dalam apa juga keadaan sekalipun, wanita sudah tentu ingin penampilan jelita pada pagi raya. Jika boleh warna pembayang mata kekal sempurna, gincu tidak hilang serinya manakala celak masih dalam kedudukan asal biarpun anda sibuk menyediakan juadah di dapur atau melayan tetamu.

Mengekalkan solekan supaya tahan lama ada caranya. Apa yang penting adalah tahu teknik menyapu bedak asas dan gincu kerana kedua-duanya sama penting bagi untuk penampilan sempurna. Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti antaranya:

1. Pakai pelembap wajah

Jangan abaikan pemakaian pelembap biarpun sedikit kerana ia sangat penting bagi memastikan sapuan bedak asas tahan lama. Usai sapuan pastikan pelembap meresap terlebih dahulu dalam kulit. Biarkan sekitar 15 minit, sehingga pelembap meresap sempurna. Bagi kulit muka jenis berminyak, kurangkan penggunaan pelembap di zon T kerana ia adalah cara terbaik memastikan kulit tidak berminyak jika anda tidak berlebihan menggunakan pelembap muka.

2. Pakai bedak asas

Penggunaan bedak asas membantu membuatkan mekap lebih sempurna. Sebaiknya pilih bedak asas jenis matte sebab ia tidak berkilat dan kesannya tahan lebih lama. Selain memakai bedak asas jenis matte, anda juga boleh menggunakan asas mineral yang susah luntur. Gunakan span bersih atau jari untuk menyapu bedak asas bagi mendapatkan hasil yang sempurna dan mekap tahan lama.

3. Pakai bedak di kawasan berminyak

Teknik memakai bedak muka yang betul sangat penting kerana ini salah satu cara mekap tahan lama. Anda disarankan tidak memakai bedak di seluruh muka sebaliknya memadai dengan hanya di kawasan yang dikatakan mudah berminyak seperti di zon T dan dagu.

4. Pilih celak dan maskara kalis air

Supaya solekan mata tidak comot pilih celak dan maskara kalis air supaya tidak luntur akibat berpeluh. Sapukan pada bulu mata untuk kesan menawan.

5. Pembayang mata

Untuk memastikan warna pembayang mata tidak luntur pastikan anda menggunakan bedak asas di sekitar kelopak mata. Pilih bedak asas bebas minyak. Selain membuatkan mekap tahan lama, warna pembayang mata juga akan jadi lebih segar dan menyerlah. Selepas sapuan pembayang mata bersihkan bedak asas menggunakan berus.

6. Jangan berlebihan memakai penutup cela

Memakai sedikit penutup cela mungkin menjadi salah satu cara terbaik menjadikan mekap tahan lebih lama. Tetapi, elakkan menggunakan penutup cela terlalu banyak di muka kerana ia jelas kelihatan pada wajah berbanding warna bedak asas.

7. Gincu tahan lama

Untuk gincu pula pilih jenis pensel kemudian sapu bedak asas pada bibir bagi memastikan warna gincu kekal menyerlah.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 2:55pm
d