hati

Kembalikan keanjalan kulit

Oleh Siti Zarinah Sahib

Selepas melahirkan anak kedua, Siti Noorhaliz Ilias, 31, berazam menjalani tempoh berpantang secara lebih ketat dan teratur. Berbeza ketika mendapat anak pertama, banyak perkara dalam berpantang ditinggalkan disebabkan tiada masa dan anggapan ia tidak penting menyebabkan dia tidak dapat merasai perubahan yang diinginkan pada tubuh.

“Pengalaman melahirkan anak pertama mematangkan saya betapa pentingnya wanita menjaga amalan berpantang secara teratur untuk kesihatan. Ketika anak pertama, saya sering mengabaikan berbengkung dan bertungku. Akibatnya tubuh tidak cukup cergas dan ada bahagian badan menggeleber,” katanya.

Tidak mahu melalui pengalaman sama, Siti Noorhaliz terus mendapatkan pandangan ibu saudara yang juga seorang bidan cara mengelak tanda regangan sekali gus dapat mengembalikan keanjalan kulit.

“Dia meminta saya mengambil kunyit, beras, daun semambu, kelopak mawar dan kulit kayu manis. Semua bahan ini digiling dan disapu ke bahagian bermasalah terutama perut. Saya memakai secara konsisten setiap hari bahan ini saya sapu di perut diikuti berbengkung. Hasilnya selepas sebulan perut kelihatan leper dan kulit menjadi lebih halus dan lembut,” katanya gembira.

Terkesan dengan keberkesanan petua tradisional ketika berpantang, Siti Noorhaliz berasakan dia tidak seharusnya mengabaikan penggunaan herba yang memberi banyak kebaikan. Kunyit misalnya boleh mencerahkan kulit dan antioksidan terbaik.

Gembira dengan hasil diperolehnya selepas mengamalkan sapuan selama sebulan, Siti Noorhaliz berhasrat mengkomersialkan lima bahan utama menjadi satu produk.

“Dalam tempoh berpantang saya mencari pembekal bahan utama dan kilang pemprosesan produk. Alhamdulillah selepas 45 hari, barulah semuanya dapat direalisasikan,” kata lulusan ijazah Sains Perubatan Biologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Seorang yang sentiasa menunjukkan kemahuan dan semangat tinggi Siti Noorhaliz berazam menjadi pakar dalam pembuatan produk. Tambahan pula selama dua tahun dia bekerja dalam makmal membuat kajian mengenai mikrobiologi jadi sedikit sebanyak pengalaman dan pengetahuan ini digunakan untuk menghasilkan produk sendiri.

“Saya juga sering bertanya pensyarah mengenai bahan yang digunakan sama ada berkesan atau sebaliknya. Ini kerana saya sendiri belajar dalam bidang kesihatan dan farmasi jadi sedikit sebanyak ia membantu pemilihan bahan,” katanya yang menggunakan nama Adramanda Beauty Care untuk krim pelangsingan badan pertamanya.

Katanya, sebelum mengeluarkan produk ini, dia banyak membaca jurnal dan dari situ dia mulai faham krim pelangsingan hanya menunjukkan kesan sekiranya pelanggan turut melakukan aktiviti senaman. Caranya dengan menyapu krim pada perut kemudian memakai bengkung serta bersenam.

“Pada masa sama saya turut memberikan produk pelangsingan kepada keluarga dan rakan untuk dicuba bagi mendapatkan maklum balas mereka. Lagipun setiap orang memiliki kulit berbeza jadi kesannya juga tidak sama,” katanya yang kini mempunyai dua produk lain iaitu skrub badan dan muka, pembersih wajah berasaskan kulit kayu manis dan serum.

Tidak menggunakan bahan kimia dan 100 peratus berasaskan herba, Siti Noorhaliz gembira kerana selepas empat tahun di pasaran kebanyakan pelanggan datang memberikan maklum balas mengatakan walaupun produk ini tidak mendatangkan kesan dengan cepat, tetapi secara perlahan-lahan bertindak pada kulit.

Siti Noorhaliz turut memberikan panduan ringkas mengenai pemilihan produk penjagaan kulit iaitu dengan mengenali jenis kulit kerana ia membantu memilih produk sesuai. Sekiranya berlaku radang kulit seperti kesan merah dan gatal ia sebenarnya menandakan produk itu mengandungi bahan yang tidak sepatutnya.

“Sering kali ada penjual menyatakan akan berlaku proses pembaikan pada kulit, seperti kesan merah atau gatal, sebenarnya ia tidak sepatutnya berlaku. Mungkin produk itu mengandungi bahan kimia dengan jumlah yang kecil. Jadi berhati-hati memilih produk agar ia tidak merosakkan wajah,” katanya yang turut membuka jualan kepada ejen, stokis serta dropship (pesan-hantar) kepada individu yang berminat berniaga.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 3:09pm
d