hati

Sihat waktu hamil

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Berita kehamilan sering menjadi khabar indah buat ramai wanita yang belum memiliki zuriat mahupun sedang menanti cahaya mata baru dalam keluarga. Dalam tempoh menanti, ada yang kecewa, tidak kurang juga yang sujud gembira.

Tamatnya fasa menunggu menjadi permulaan kepada cerita baru. Bagi kebanyakan wanita, perubahan diri pastinya memberi sedikit tekanan jika tidak diurus dengan baik.

Bagaimanapun, rezeki dan amanah baru tetap perlu dijaga sebaik-baiknya. Tidak kira sama ada sudah bersedia atau tidak, akan ada banyak lagi perkara baru dan perubahan diri yang perlu dilalui.

Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, berkongsi 12 masalah kesihatan paling lazim berlaku sepanjang proses kehamilan untuk dijadikan panduan ringkas.

1. Alahan atau mabuk hamil

Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada ibu mengandung akan mengalami simptom mabuk hamil seperti loya, muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu.

Keadaan ini tidak semestinya bermula pada awal tempoh kehamilan, sebaliknya boleh berlaku sekitar minggu keenam dan berakhir paling lewat ketika usia kandungan mencecah 16 minggu.

Tahap keterukan mabuk hamil juga berbeza antara wanita. Ada ibu yang mengalami mabuk hamil paling teruk atau gravidarum hiperemesis (loya dan muntah teruk semasa hamil trimester pertama sehingga mengakibatkan asidosis iaitu keadaan asid darah yang kurang daripada pH 7.3, dehidrasi dan susut berat badan).

Mereka yang berdepan keadaan ini perlu mendapatkan nasihat dan rawatan di samping mengubah diet harian supaya bersesuaian dengan selera serta keadaan tubuh.

2. Gastrik

Percaya atau tidak, wanita berisiko mendapat gastrik lebih teruk ketika hamil. Keadaan ini berlaku kesan hormon reproduktif yang menyebabkan otot sempadan antara saluran pemakanan esofagus dengan perut ‘longgar’ sedikit.

Situasi ini akan menyebabkan asid melimpah keluar dari perut dan naik semula ke dalam esofagus. Asid inilah yang akan menyebabkan rasa pedih ulu hati dan gastrik.

Saiz bayi dalam rahim yang semakin membesar juga akan menyebabkan perut gagal menjalankan proses penghadaman dengan baik.

3. Jangkitan pundi kencing yang kerap

Kira-kira 30 peratus wanita yang mengandung boleh mendapat jangkitan saluran kencing (UTI). Dalam kebanyakan kes, UTI berlaku apabila sistem perkumuhan itu dijangkiti bakteria.

Kadang-kadang, jangkitan ini juga boleh berlaku secara senyap. Wujud kuman, namun tiada simptom. Sebab itulah doktor atau jururawat akan mengulang ujian air kencing setiap kali pemeriksaan kehamilan di klinik.

UTI yang tidak dirawat boleh mendatangkan sakit dan risiko jangkitan sampai ke buah pinggang.

4. Jangkitan fungus

Ramai yang keliru dengan simptom jangkitan fungus pada kemaluan dengan UTI. Perlu diketahui bahawa kedua-dua ini berbeza. Jangkitan fungus atau kulat pada faraj wanita hamil ini selalunya berbau.

Jangkitan ini kerap menyerang wanita hamil kerana faktor suhu tubuh yang tinggi sedikit berbanding normal selain kawasan faraj yang lembap dengan pH kurang berasid. Keadaan ini biasanya akan menyebabkan rasa gatal yang teruk, panas, keluarnya cecair berwarna kuning, bengkak, kemerahan di dalam atau di bibir faraj serta timbulnya bau yang tidak menyenangkan.

Ibu hamil juga akan berasa sakit ketika melakukan hubungan kelamin atau kencing. Sekiranya ini berlaku, segeralah merujuk kepada doktor untuk rawatan. Walaupun jangkitan fungus dikatakan hilang selepas wanita selamat melahirkan, usah ambil mudah dengan merawatnya sendiri.

5. Sembelit

Ini masalah lazim buat wanita mengandung. Hampir semua wanita hamil pernah mengadu mengalami sembelit terutama apabila kandungan semakin membesar.

Tahap keterukan sembelit pula berbeza-beza mengikut individu. Ada yang tidak dapat membuang air besar berhari-hari lamanya, ada yang rasa tidak selesa (kembung) pada abdomen dan ada juga yang mengeluh bimbang kerana najis keras dan sukar dikeluarkan.

Sembelit berlaku atas beberapa faktor antaranya peningkatan hormon progesteron yang menyebabkan usus memproses makanan dengan lebih lambat atau perlahan. Selain itu, sembelit juga boleh terjadi disebabkan tekanan, rasa bimbang, kurang pengambilan serat, air dan pergerakan fizikal.

Satu lagi punca berlakunya sembelit adalah kerana saiz janin yang semakin besar dan menyebabkan tekanan pada usus. Secara tidak langsung, ibu akan berasa susah sedikit untuk membuang air besar.

Sebagai panduan, doktor kerap menasihatkan wanita hamil minum air yang cukup (1.5 liter sehari), mengambil sumber serat dan mengamalkan pemakanan sihat. Jika semua pilihan sudah dicuba tetapi masih juga sembelit, barulah doktor akan membekalkan ubat bersesuaian.

6. Bengkak atau urat simpul

Urat simpul atau vena varikos adalah keadaan di mana salur darah berwarna ungu atau biru kelihatan timbul dan nyata pada kaki individu. Jika diperhatikan, masalah ini lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki.

Bagi wanita yang sudah mempunyai urat simpul, ia mungkin menjadi lebih teruk ketika hamil. Ini kerana janin, uri dan rahim menekan salur darah pada bahagian pelvik. Ini termasuklah salur darah besar (vena kava inferior) pada bahagian kanan badan.

Tekanan yang diterima vena kava inferior seterusnya membuatkan darah dari kaki sukar kembali ke jantung. Kesannya, kaki akan mudah penat, kejang pada sebelah malam, bengkak pada buku lali dan sebagainya.

Bagi wanita yang sudah banyak kali hamil, risiko akan meningkat seiring kehamilan seterusnya. Perlu diketahui bahawa urat simpul tidak menyebabkan masalah serius. Namun jika ia berlaku di kawasan perineum (di antara faraj dan dubur), doktor perlu mengawasinya ketika proses bersalin. Ini bagi memastikan perineum tidak terkoyak sekali gus menyebabkan pendarahan yang teruk.

7. Buasir

Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia boleh membawa masalah apabila menjadi radang atau membengkak. Secara umumnya, buasir atau hemoroid terbahagi kepada dua iaitu dalaman dan luaran.

Bagi wanita yang memang mempunyai masalah buasir, keadaan mungkin lebih mencabar pada usia kandungan mencecah tujuh bulan dan ke atas.

Ketika ini rahim akan semakin membesar dan jumlah darah bertambah. Lebih banyak pada kawasan dubur dan menyebabkan salur darah vena membengkak, seterusnya menjadi radang.

Ibu juga lebih cenderung untuk mengalami sembelit dan buasir ketika hamil disebabkan perubahan hormon yang melambatkan sistem pencernaan badan.

Apabila ibu meneran, lapisan anus akan mengembang. Ada waktunya, keadaan ini akan menyebabkan pendarahan dan sakit. Untuk mengelakkan buasir, ibu perlu mengelak risiko sembelit.

Jika buasir tidak dapat dimasukkan semula, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat. Ketika proses bersalin, hemoroid mungkin menjadi lebih teruk. Jika tidak boleh dirawat, ia mungkin memerlukan pembedahan.

8. Diabetes gestasi

Dalam keterujaan mengidam pelbagai hidangan, jangan lupa mengandung juga boleh menyebabkan risiko kencing manis dan darah tinggi.

Diabetes gestasi lazimnya berlaku kepada golongan ibu hamil yang mempunyai sejarah keluarga kencing manis. Dalam tempoh ini, badan biasanya akan menghasilkan lebih insulin untuk memenuhi keperluan bayi. Namun jika badan ibu tidak boleh menyediakan insulin tambahan ini, tubuhnya akan mempunyai terlalu banyak gula dalam darah sekali gus mengakibatkan diabetes gestasi.

Doktor akan nasihatkan ibu supaya menjaga diet dan mengurangkan pengambilan karbohidrat. Tidak kira sama ada kencing manis atau darah tinggi, lazimnya kedua-dua masalah ini akan hilang selepas bersalin.

9. Kekejangan

Ada wanita mengadu kejang terutama pada sebelah pagi, ketika sejuk atau melakukan pergerakan secara tiba-tiba.

Kekejangan mudah berlaku kepada wanita hamil yang kurang pengambilan kalsium. Walaupun semua wanita boleh mengalaminya tetapi ia jarang berlaku.

Untuk mengatasinya, amalkan meminum susu dua gelas sehari dan mengambil kalsium mengikut saranan doktor. Mereka ini juga perlu mendapatkan rehat yang cukup.

10. Sindrom terowong karpus

Kebas dan tidak selesa pada bahagian tangan serta jari semasa hamil berkemungkinan disebabkan oleh sindrom terowong karpus. Ia boleh terjadi berikutan kebengkakan dan peningkatan berat semasa hamil hingga menyebabkan urat saraf deria terhimpit.

Tidak terjadi kepada semua wanita hamil, masalah ini selalunya berlaku pada waktu pagi, ketika sejuk atau duduk dalam ruang yang dilengkapi pendingin hawa.

Bagi kebanyakan wanita yang mengalaminya, rasa kebas dikatakan berterusan sepanjang hamil dan hilang selepas bayi dilahirkan.

Namun bagi sesetengah wanita, keadaan ini boleh jadi teruk dan berterusan selama beberapa bulan. Cuba rendam tangan dalam air suam dan lakukan latihan regangan secara kerap.

11. Kaki bengkak

Bengkak air memang biasa. Senario ini berlaku apabila kandungan menjengah usia tujuh ke lapan bulan. Namun, jika kesan bengkak tidak sama kanan dan kiri, sakit serta berdenyut, ibu dinasihatkan membuat pemeriksaan doktor kerana bimbang berlakunya salur darah sempit.

Dapatkan rehat mencukupi dan sentiasa duduk dalam keadaan kaki lebih tinggi. Alaskan kaki dengan bantal ketika berehat, baring atau tidur untuk mengurangkan kesan bengkak.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 8:15am
d