hati

Tanam sayur bebas racun

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Siapa sangka dari sekadar minat untuk berkebun di laman rumah sendiri, kini wanita ini menjadi ikutan menerusi laman sosial selepas menubuhkan kumpulan Kebun Kampung: Tanam, Teknik, Sendiri.

Menariknya, ha­nya dalam tempoh dua tahun, komuniti kebun ditubuhkan Nur Wahidah Hambali, 38, bersama beberapa rakan sudah pun mempunyai lebih 210,000 pengikut.

Menerusi komuniti itu katanya, ia bertujuan membantu masyarakat menanam sayur dengan teknik betul, bebas racun dan mengajar membuat baja organik daripada sisa dapur. Ia juga sebagai platform untuk usahawan memasarkan hasil pertanian, input pertanian dan latihan pertanian.

Menurutnya Nur Wahidah, dia aktif melakukan aktiviti itu sejak 14 tahun lalu dan menjadikan hobi itu sebagai punca pendapatan selain terapi minda.

Pada masa sama dia juga giat berkempen kebaikan menanam sayuran bebas racun kepada orang lain.

“Bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat me­ngenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak saja untuk mengusahakannya.

“Namun, apa yang memuaskan hati apabila kami sekeluarga boleh makan sayuran yang bebas racun kimia dan pada masa sama dapat menggalakkan anak-anak untuk sukakan sayur,” katanya.

Katanya, suami turut berkongsi minat dalam penanaman dan kepakarannya lebih kepada inovasi pertanian baru.

Menariknya, dia dan suami turut menjadikan rumah dan pejabat di Taman Medan Niaga, Kuala Selangor sebagai tempat menanam sayur-sayuran dan herba dengan kaedah hidroponik selain ada juga di tanam dalam pasu.

Mereka juga giat berkempen penggunaan baja organik dihasilkan syarikat mereka selain menawarkan kursus pertanian secara percuma setiap dua kali sebulan di pusat latihan miliknya.

“Konsep penanaman bebas racun lebih mengutamakan penggunaan baja organik dari bahan semula jadi sebagai pemangkin kepada kesuburan dan kesihatan pokok selain menghasilkan makanan yang sihat dan selamat.

“Selain itu, faktor persekitaran iaitu air, udara, cahaya matahari dan tanah juga diambil kira dalam menjayakan tanaman itu.

“Pembajaan berjadual, kawalan serangga dan penyakit menggunakan herba organik dan foliar organik untuk merangsang pembungaan dan pembuahan juga sa­ngat digalakkan,” katanya.

Dia turut menasihatkan mereka yang mahu terbabit dengan hobi ini untuk mengelakkan penggunaan racun kimia dalam aktiviti pertanian terutama di rumah kerana ia bukan saja tidak baik untuk tanaman itu, malah jika dimakan, ia akan memudaratkan kesihatan.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 10:38am
d