hati

Rai 80 kanak-kanak Rumah Baitus Sakinah

Oleh HM Digital

Keseronokan berkunjung ke bazar Ramadan, memilih dan membeli makanan kegemaran berbuka puasa serta menghabiskan masa mencari baju baru di pusat beli-belah pastinya saat yang dinanti-nantikan kanak-kanak.

Namun bukan semua bernasib baik dapat melalui pengalaman menceriakan bersama yang tersayang. Ada yang berseorangan tanpa ayah dan ibu, ada juga yang hanya menunggu baju pemberian orang lain untuk dipakai pada pagi lebaran.

Menyedari kegembiraan kanak-kanak adalah saat paling menggembirakan mendorong Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) meraikan 80 kanak-kanak dari Rumah Baitus Sakinah bersama jamuan bufet berbuka puasa di Hotel Concorde Shah Alam sebagai usaha berkongsi keberkatan sekali gus mengeratkan silaturahim dengan golongan kurang bernasib baik.

Kanak-kanak berumur di antara lima dan 17 tahun kelihatan ceria menikmati kelazatan pelbagai juadah enak tempatan dan barat, termasuk minuman F&N kegemaran mereka.

Menurut Ketua Komunikasi & Hal Ehwal Korporat F&NHB Karen Tan, pihaknya teruja kerana dapat menganjurkan majlis berbuka puasa dan berkongsi kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“F&N menjadi sebahagian kehidupan rakyat Malaysia sepanjang 135 tahun lalu. Sebagai jenama popular dalam kalangan rakyat Malaysia, kami bertanggungjawab menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat terutama sekali mereka yang kurang bernasib baik.

“Hati kami tersentuh melihat senyuman keseronokan pada wajah mereka. Kami gembira kerana dapat menyumbangkan hadiah keperluan raya, termasuk baju Melayu, baju kurung, songkok, tudung dan duit raya kepada kanak-kanak sebagai persiapan untuk menyambut raya tidak lama lagi. Kami benar-benar berharap sumbangan ini akan menceriakan mereka,” tambahnya.

Pada masa sama tetamu jemputan turut dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh kanak-kanak dari Rumah Baitus Sakinah. Selepas itu acara sumbangan baju tradisional dan duit raya disampaikan oleh Pengerusi F&NHB, Tengku Syed Badarudin Jamalullail, yang ditemani Tan.

Seorang daripada kanak-kanak dari Rumah Baitus Sakinah, Ahmad Athoillah, 15, berkata, dia gembira kerana diberi peluang merasai pengalaman menakjubkan ini.

“Ini majlis berbuka puasa pertama saya dengan F&N. Saya benar-benar teruja melihat makanan, hadiah dan sudah tentunya suasana ceria yang jarang sekali dapat kami rasai. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dapat berbuka puasa dengan kawan-kawan saya,” katanya.

Hannaniah Rusmi, 13, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya melihat makanan lazat serta pakaian baru yang diberikan kepadanya.

“Saya seronok berada di sini. Kami bukan sahaja mencuba pelbagai jenis makanan dan minuman berlainan tetapi peluang bercampur dengan kakitangan F&N yang peramah. Makanannya lazat dan saya dapat berbuka dengan minuman kegemaran saya, 100PLUS,” katanya.

Menurut pengasas Rumah Baitus Sakinah Kartini Maarof, dengan adanya majlis ini anak-anak benar-benar seronok. Pastinya hari raya akan lebih bermakna kerana mereka dapat memakai baju baharu pada pagi raya pertama.

Rumah Baitus Sakinah menempatkan 80 kanak-kanak dan remaja sama ada anak yatim atau golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada 45 lelaki dan 35 perempuan.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 12:52pm
d