hati

Erti Aidilfitri buat saudara baru

Oleh Siti Zarinah Sahib

Apalah ertinya sambutan Syawal tanpa keluarga di sisi. Inilah yang dirasai saudara baru tatkala berjauhan daripada insan tersayang, pastinya kesayuan dan kesedihan cukup terasa. Walaupun sebelum ini mungkin mereka tidak pernah merasai kemeriahan lebaran, harapan meraikan perayaan bersama keluarga tetap ada.

Malah jika ditanya sejak melafazkan kalimah syahadat jiwa mereka lebih terisi dan hati semakin tenang apatah lagi ketika mendengar gema takbir pada pagi raya.

Bagi mengungkapkan makna Syawal penulis berpeluang berkongsi pengalaman dengan dua mualaf yang ditemui di Hidayah Centre Foundation (HCF) di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Menyifatkan Syawal sebagai bulan kemenangan selepas berjaya melalui 30 hari Ramadan, bagi Meuruell Everal Robert, 28, lebaran tetap dirai dengan penuh keinsafan dan ketakwaan kepada Allah biarpun berjauhan dari keluarga.

Sejak sembilan tahun lalu walaupun tidak berpeluang meraikan bersama insan tersayang di Sabah, gadis ini tetap bersyukur kerana Allah masih memberi peluang untuk merasai kegembiraan berhari raya bersama rakan.

“Siapa yang tidak sedih apabila mendengar laungan takbir seorang diri. Memang terasa sayu, mengalir juga air mata. Namun saya kuatkan hati beraya bersama rakan senasib dengan saya,” katanya.

Tidak membuat sebarang persiapan, Meuruell hanya mengenakan jubah pada pagi Syawal. Selepas menunaikan solat hari raya dia bersama rakan akan mengunjungi rumah beberapa sahabat di kawasan sekitar. Dapatlah juga merasai makanan kegemaran ketupat dan rendang.

“Saya sudah biasa beraya seorang diri. Jika tidak ke mana-mana memang di bilik sahaja aktiviti saya. Kadang-kadang rasa seperti tidak beraya. Tetapi tahun ini lebih meriah kerana saya mempunyai kenalan yang berhari raya di sini. Jadi dapatlah menziarahi rumah mereka,” katanya.

Menceritakan bagaimana hatinya terpikat kepada Islam jelas Meuruell, sejak di sekolah rendah lagi dia sudah tertarik dengan agama Allah ini.

“Ketika itu saya mengenali seorang ustazah yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah. Saya melihat keperibadiannya yang tinggi, sopan-santun, lemah lembut dan menutup aurat sepenuhnya,” katanya yang tidak tahu ada agama lain selain Kristian.

Tetapi ibu bapanya langsung tidak bersetuju dengan Islam. Perasaan untuk mendalami Islam memang ada tetapi takut mendapat tentangan keluarga. Malah mereka turut menghalangnya mempelajari Jawi di sekolah menyebabkan dia terpaksa belajar secara senyap-senyap. Keadaan ini berlarutan sehingga dia berpeluang menyambung pengajian peringkat diploma di Sarawak.

“Ketika berjauhan dengan keluarga apabila ada masalah, saya merasakan jiwa sangat kosong. Saya bergaul dengan dua rakan Muslim yang mengamalkan ajaran Islam sebenar. Saya melihat mereka mengaji dan solat. Suatu hari mereka membawa saya bertemu seorang ustaz dan dia menceritakan mengenai kewujudan Allah. Hati saya terus terbuka memeluk Islam dan pada 2009 saya melafazkan kalimah syahadah,” katanya yang merahsiakan daripada pengetahuan ibu bapa kerana bimbang mendapat tentangan mereka.

INISIATIF SENDIRI

Mengambil inisiatif sendiri, Meuruell mendapatkan maklumat mengenai Islam menerusi Internet. Dia mempelajari cara solat dan menghafaz surah al-Fatihah. Namun cabaran mula terasa selepas pulang ke Sabah kerana dia tidak mahu keluarga mengetahuinya.

“Saya terpaksa solat secara rahsia. Sehinggalah pada 2014, ibu mengetahui saya memeluk Islam selepas terjumpa buku Pendidikan Islam di rumah. Akhirnya saya terpaksa mengaku sudah memeluk Islam. Ibu sangat marah dan tidak mahu menerima saya. Dia juga tidak membenarkan saya pulang ke Semenanjung untuk menyambung pelajaran atau ke mana-mana.

“Barang-barang berkaitan Islam dibuang, telefon genggam juga dirampas. Pernah sampai satu ketika ada rasa berputus asa, saya berkunjung ke gereja tetapi merasa sangat bersalah dan kembali beristighfar semula,” katanya.

Mula mencari jalan untuk melepaskan diri, dia menghubungi rakan terdekat. Akhirnya atas bantuan seseorang kenalan, Meuruell dibawa ke Semenanjung dengan alasan untuk menyambung pelajaran. Sehingga sekarang dia langsung tidak dibenarkan pulang ke Sabah cuma menghubungi keluarga menerusi telefon sahaja.

“Walaupun tahu keluarga masih marah tetapi sebagai anak saya tetap menghubungi mereka. Ada kala telefon tidak dijawab, mesej tidak dibalas namun saya tetap cuba berbaik-baik dengan mereka,” katanya yang mengharapkan keluarganya terbuka hati menerimanya semula.

Masih mendalami Islam, Meuruell turut mengikuti kelas Fardu Ain dan Iqra setiap minggu. Dia juga turut menjadi sukarelawan HCF dan tenaga pengajar untuk solat. Menurut Meuruell salah tanggapan mengenai Islam membuatkan saudara baru sukar diterima keluarga. Misalnya ada beranggapan selepas memeluk Islam perlu mengubah cara hidup sebagai Melayu sebenarnya ia pandangan yang salah. Islam juga diibaratkan sebagai agama yang terlalu rigid dan ganas sedangkan ia agama yang mudah diterima ramai.

Bagi Muhammad Mikail Edi, 20, Syawal tahun ini lebih bermakna apabila dia dapat berhari raya bersama keluarga abang di Shah Alam, Selangor. Sah bergelar Muslim pada September 2016, dia tertarik selepas melihat kehidupan abang yang memeluk Islam lima tahun lalu.

“Saya datang ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pelajaran dan menetap bersama abang. Di rumahnya ada banyak buku berkenaan Islam. Saya tertarik selepas membaca buku mengenai dakwah Nabi Muhammad SAW. Abang juga pernah membawa saya ke masjid tetapi saya berada di luar sahaja. Saya lihat manisnya umat Islam menunaikan solat berjemaah,” katanya.

Jelas Mikail, dia menyampaikan keinginan kepada abangnya lalu tanpa pengetahuan keluarga dia dibawa bertemu seorang ustaz untuk melafazkan syahadah.

“Saya akui jiwa saya sangat tenang, terasa batu yang menghempap di belakang hilang begitu sahaja. Memang inilah yang saya cari selama ini. Tetapi saya tidak tahu sama ada ibu mahu menerima atau tidak. Apa pun yang terjadi saya tetap menghubungi mereka,” katanya.

Selepas memeluk Islam Mikail dihantar ke Madrasah di Bangi selama enam bulan kemudian ke Kedah selama lapan bulan untuk belajar mengenai al-Quran dan Fiqah.

“Saya juga turut mengikuti kelas al-Quran di HCF bagi mengukuhkan asas bacaan. Kini saya sudah mampu mengaji dengan baik,” katanya yang teruja menyambut Syawal bersama keluarga di kampung.

AKTIVITI PAGI SYAWAL ANJURAN HCF

Menurut Eksekutif Pentadbiran Pengurusan Saudara Baru Hidayah Centre Foundation, Mohammad Fakhrulrazi Mohd Fadil bagi menggembirakan mualaf yang tidak diterima saudara-mara, HCF turut mengadakan rumah terbuka di beberapa cawangan seperti Hulu Klang, Melaka dan Shah Alam pada hari raya pertama. Ini bagi memastikan mereka bersama-sama dapat meraikan Aidilfitri dengan gembira.

“Kami memahami golongan saudara baru ini seharusnya bersama-sama diberikan peluang meraikan lebaran.

Dengan adanya jamuan pada hari raya pertama dapat mengurangkan kesedihan mereka,” katanya.

Di cawangan Hulu Klang acara bermula selepas solat Aidilfitri. Tetamu terdiri daripada mualaf berkumpul bersama-sama sambil menikmati juadah hari raya yang disediakan sukarelawan. Begitu juga dengan sambutan di Shah Alam dan Melaka. Kebiasaannya selepas meraikan Aidilfitri bersama rakan, mereka berpeluang menziarahi rumah sukarelawan yang ada di sana.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 12:57pm
d