hati

Belai wajah cara lama

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Lain orang, lain keinginan­nya. Jika melangkah ke pusat rawatan wajah atau spa kini, kebanyakan khidmat juruterapi sudah diganti dengan mesin serta peralatan cang­gih. Hanya rawatan badan yang masih kekal menggunakan sentuhan.

Berbeza dengan Jentayu Spa & Salon, pusat rawatan tradisional moden ini masih mengekalkan rawatan wajah menggunakan kaedah lama, namun lebih berkesan berbanding mesin.

Pemiliknya, Esma Azura Masrol berkata, dia masih menawarkan rawatan wajah secara tradisional selepas menilai tahap keberkesanan mesin yang digunakan di kebanyakan spa ada hari ini.

“Sesuai dengan konsep spa yang banyak menggabungkan rawatan tradisional dan moden, kami menawarkan pelbagai jenis rawatan, mengikut pilihan serta kesesuaian pelanggan.

“Walaupun ada banyak pilihan mesin yang digunakan di spa ini, namun saya percaya masih ramai mahukan rawatan wajah secara tradisional, dari kulit ke kulit.

“Kalau hari ini kita mempunyai mesin untuk membantu membersihkan liang pori terbuka, mengurut wajah dan meruncingkan bentuk muka, seharusnya semua rawatan ini masih boleh dilakukan dengan cara tradisional,” katanya.

Berikutan itu, Esma memilih untuk menawarkan pilihan rawatan wajah bermula daripada yang biasa hingga kepada rawatan menggunakan teknologi serta mesin baru di spa berkenaan.

“Semua rawatan ini bertepatan dengan konsep spa tradisional moden.

Kalau diperhatikan, dekorasi spa berkonsepkan Melayu tradisional, ada suasana kampung, dinding dan bilik rawatan berlantaikan kayu. Untuk membangkitkan rasa tenang, kami hidangkan lenggok gamelan, zapin dan inang sebagai latar muzik di spa,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai rawatan wajah tradisional yang ditawarkan, Esma berkata, ia akan dilakukan secara manual dengan rutin membersihkan wajah, di serta urutan sengkak muka untuk membetulkan peredaran darah, sekali gus menaikkan seri.

“Dari segi kepuasan, biasanya pelanggan lebih sukakan rawatan tradisional. Mereka suka apabila wajah dibelai dan diurut dengan sentuhan, bukan mesin.

“Jika ada pelanggan yang mahukan rawatan wajah cara moden seperti di medispa, kami akan gunakan mesin. Namun, perbezaannya jelas. Rawatan wajah secara tradisional lazimnya lebih bersih dan kepuasan dirasai pelanggan sendiri.

“Paling penting, ia sesuai untuk semua lapisan umur dari remaja hingga dewasa. Sekiranya dijadikan amalan rutin, kulit muka akan lebih bersih, berseri dan tegang,” katanya.

Selain rawatan wajah, spa berkenaan turut menawarkan pakej serendah RM50 hingga RM100 untuk rawatan sauna, urutan tubuh dan skrub badan. Ini bermakna, pelanggan tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar untuk memanjakan di spa.

“Kami tahu, dalam keadaan ekonomi hari ini, menjaga kecantikan adalah kehendak dan kemahuan bukan keperluan. Jadi, kita tawarkan khidmat pada harga berpatutan supaya semua dapat menikmati keasyikan memanjakan diri di spa,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 4:37am
d