hati

Wajah tidak dilap dengan kasar

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Wajah keanak-anakan milik wanita ini mudah mencuri tumpuan. Redup mata dan senyuman manisnya cukup menyenangkan. Ramah bercerita tatkala disapa, Amal Farahin Lokman, 27, memang mesra orangnya.

Anak kelahiran Jengka, Pahang ini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pemasaran di Shah Alam. Biarpun sibuk dengan komitmen kerja dan tanggungjawab sebagai isteri, Amal masih aktif berkongsi ilmu solekan di media sosial.

Alang-alang bertegur sapa, Hati mengajak wanita ini berkongsi petua kecantikan yang diamalkan untuk kekal cantik dan bertenaga.

“Sejak dulu, saya memilih pemakanan tradisional yang diamalkan ibu turun-temurun. Tidak kira ulam-ulaman atau tanaman herba, banyak yang diperkenalkan kepada kami adik-beradik. Malah, saya sendiri tidak kekok untuk menikmati makanan kampung yang ada.

“Saya percaya petua tradisional cukup penting untuk dikekalkan dalam memastikan kami sekeluarga kekal cantik dan yakin. Walaupun, saya ada menggunakan produk jenama di pasaran, tetapi petua ibu tetap diutamakan sehingga kini.

“Lebih-lebih lagi, bahan semula jadi bukan saja membantu memelihara kesihatan dalaman tubuh, ia juga mampu menonjolkan kecantikan asli dan segar pada luaran,” katanya.

Kata Amal, dia masih ingat teguran ibu mengenai sikap dia dan kakak yang acuh tidak acuh serta sering mengabaikan penjagaan muka walaupun hanya mempunyai satu dua jerawat di wajah.

“Bermula daripada teguran ibulah saya mula ambil serius mengenai penjagaan muka. Saya akan pastikan wajah dicuci sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekarang, dengan wujudnya teknologi moden, saya pastikan wajah dibersih menggunakan berus pembersih wajah elektronik tiga kali seminggu.

“Saya juga sentiasa pastikan wajah tidak dilap dengan kasar dan menggunakan pelembap jenis krim serta semburan bermula dari bahagian dagu ke atas. Wajah perlu dibersihkan sepenuhnya daripada mekap dan tidak bersolek melebihi lapan jam sehari.

“Dalam seminggu, akan ada tempoh sehari dua merehatkan wajah daripada sebarang produk kosmetik, supaya kulit boleh bernafas dan berehat,” katanya.

Jelas Amal, dia tidaklah begitu cerewet dalam memilih produk penjagaan wajah, namun cukup teliti membuat pilihan.

“Sejujurnya, saya lebih gemar menggunakan bahan semula jadi seperti kulit kayu manis untuk mengecutkan jerawat atau lidah buaya bagi mengekalkan kelembapan kulit. Ketika tinggal di asrama dulu, saya dan rakan bilik begitu bersungguh-sungguh mengasah kulit kayu manis pada bahagian bawah alas pasu bunga untuk dijadikan pupur.

“Sehingga kini, walaupun saya menggunakan produk yang dijual di pasaran, tetapi saya tetap percaya dengan penggunaan bahan semula jadi. Saya percaya produk di pasaran mempunyai kelebihan dari segi memudahkan pengguna. Banyak produk semula jadi kini diproses dan dibotolkan untuk menyenangkan pemakai,” katanya.

Berkongsi rutinnya setiap pagi, Amal berkata, dia akan minum segelas air kosong sebelum membersihkan diri.

“Selesai mandi, saya akan pastikan kulit sentiasa segar dengan aplikasi pelembap. Kemudian barulah kekalkan tenaga dengan pengambilan makanan sihat,” katanya.

Menurut amal, bukan senang untuk dia mengekalkan kulit wajah sihat. Sebagai pemilik kulit jenis kombinasi, kering dan berminyak di bahagian zon T, dia perlu sentiasa memastikan wajahnya kekal lembap supaya solekan bertahan lebih lama dan nampak cantik sepanjang hari.

“Kalau saya hendak bersolek tebal, pada malam sebelumnya saya memakai topeng rawatan wajah atau melakukan pupur ais ke seluruh wajah untuk mengecilkan pori,” katanya sambil tersenyum.

Amal berkata, dia yakin wajah yang cantik lahir dari dalaman yang dijaga dengan baik. Sebab itulah perlunya mengambil diet bersesuaian dengan keperluan tubuh, di samping minum air yang cukup.

“Penggunaan bahan yang selamat dan bersesuaian dengan tubuh badan juga sangat penting untuk tampil cantik berseri. Usah terlalu bergantung dengan penggunaan produk yang menjanjikan hasil segera tanpa mengetahui kesan jangka panjang. Apabila muka berseri, pasti diri sentiasa yakin dan ceria.

“Satu hal yang masih tidak diketahui ramai, produk pelembap di pasaran sepatutnya tidak boleh dipakai pada bahagian bawah mata. Selain dari mengelak daripada termasuk ke dalam mata, ia juga boleh menyebabkan wujudnya lingkaran gelap dan kesan bengkak. Hal ini berlaku disebabkan lapisan bawah mata yang nipis.

“Bagaimanapun, jangan terlalu mementingkan kecantikan luaran semata-mata. Bahagian dalaman juga lebih penting untuk kehidupan lebih sihat dan tampak yakin setiap masa,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 4:43am
d