hati

Serak berterusan simptom awal

Oleh Redzuan Muharam

Suara adalah anugerah Allah SWT yang berfungsi sebagai medium penting untuk berhubung dengan individu lain dan tanpanya masalah komunikasi akan berlaku.

Disebabkan itu, penjagaannya amat penting antaranya dengan pengambilan makanan berkhasiat dan menjauhi tabiat yang mengundang risiko masalah suara seperti merokok serta mengambil minuman alkohol.

Namun, tidak semua bernasib baik kerana ada yang terpaksa bergantung pada alat bantuan untuk berkomunikasi selepas disahkan menghidap kanser peti suara.

Seorang daripadanya adalah ibu lima anak, Eshah Jusoh, 65, yang kini menjalani rehabilitasi suara dan mengharapkan bantuan alat prostesis suara untuk bercakap.

“Pada mulanya, saya mengalami sakit tekak, batuk, susah bernafas hingga suara juga bertukar menjadi serak.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan doktor menemui ketumbuhan di dalam peti suara pada September 2016.

“Empat bulan kemudian iaitu pada Januari 2017, doktor mengesahkan saya menghidap kanser peti suara tahap tiga dan ketika dimaklumkan, saya rasa dunia ini gelap seperti tidak bermakna lagi,” katanya yang juga pesara kerajaan.

Bagaimanapun, Eshah berkata, dia kembali bersemangat selepas mendapat sokongan keluarga yang meyakinkannya untuk menjalani pembedahan membuang peti suara selepas sebulan disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Selepas ketiadaan peti suara, Eshah menggunakan elektrolarinks untuk bercakap namun tidak serasi sebelum menggantikannya dengan alat prostesis suara pada Mac lalu.

“Kini, Allah sudah menarik semula nikmat suara namun saya terima qada dan qadar yang sudah ditentukan. Di sebalik apa yang berlaku, saya bersyukur kerana semakin sihat dan paling penting dapat melakukan ibadat dengan sempurna,” katanya.

WANITA JUGA BERISIKO

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Jabatan Otorinolaringologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz dulunya dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Profesor Dr Marina Mat Baki berkata, berdasarkan statistik Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007 hingga 2011, bilangan lelaki yang menghidap kanser peti suara lebih ramai iaitu 825 pesakit berbanding 113 pesakit wanita.

Bagaimanapun, Dr Marina berkata, itu bukan bermaksud kaum Hawa bebas daripada penyakit berkenaan sebaliknya risiko menghidap kanser peti suara meningkat berkali ganda jika merokok dan mengambil minuman beralkohol yang menjadi penyumbang utama kanser peti suara.

Sekalipun tidak merokok, wanita yang terdedah dengan perokok juga berisiko menghidap kanser peti suara kerana secara tidak langsung mereka tergolong sebagai perokok pasif.

“Majoriti pesakit kanser peti suara adalah lelaki dan kebiasaannya berpunca daripada tabiat merokok. Namun, wanita tidak terkecuali dan antara simptom awal adalah mengalami serak berterusan selama lebih dua minggu, batuk berpanjangan atau berdarah dan kesukaran bernafas.

“Sekiranya ada simptom di atas, segeralah berjumpa doktor bagi membolehkan pakar membuat pemeriksaan menggunakan alat endoskop di bahagian peti suara sebelum sampel tisu diambil untuk ujian bagi mengenal pasti sel kanser di makmal (histopatologi),” katanya.

Dr Marina berkata, jika penyakit itu dapat dikesan di peringkat awal iaitu pada tahap satu dan dua, pesakit akan disyorkan untuk menjalani rawatan pembedahan laser atau radioterapi sebanyak 33 sesi dalam tempoh tujuh minggu bagi membuang ketumbuhan di peti suara mereka.

Selepas rawatan itu dijalankan, pesakit masih boleh bertutur seperti biasa namun dinasihatkan mendapatkan rawatan susulan supaya tanda kemunculan semula kanser dapat dikesan lebih awal.

“Pembedahan laringektomi iaitu pembuangan peti suara disyorkan untuk pesakit tahap tiga dan empat. Ia akan mengakibatkan pesakit kehilangan suara secara total melainkan jika mereka menjalani rehabilitasi dan menggunakan alat bantu suara ,” katanya.

Menurut Dr Marina, alat bantuan itu boleh digunakan dalam tempoh kira-kira tiga bulan selepas menjalani pembedahan atau selepas berakhir sesi radioterapi.

Katanya, ia selamat untuk digunakan namun perlu ditukar jika tidak dapat berfungsi dengan sempurna contohnya berlaku kebocoran yang boleh mengakibatkan jangkitan kuman pada paru-paru.

“Antara alat digunakan untuk menggantikan peti suara adalah elektrolarinks yang bertindak sebagai penguat bunyi getaran di antara lidah dengan farinks (kerongkong).

“Penggunaan alat ini menghasilkan suara seperti robot tetapi kosnya agak mahal. Namun, pesakit mempunyai pilihan lain iaitu menggunakan alat prostesis suara yang dimasukkan di leher selepas pembedahan pembuangan peti suara dilakukan.

“Dengan cara ini pesakit boleh berkomunikasi dan satu lagi alternatif tidak memerlukan kos yang tinggi adalah menggunakan udara dari perut yang dikeluarkan secara perlahan-lahan melalui kerongkong untuk bercakap. Bagaimanapun, ia memerlukan latihan dan motivasi diri yang tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 1:59pm
d